Janji ke-35 dalam Buku Harapan iaitu manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) adalah menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujud lebih banyak pekerjaan di Malaysia.

Bagaimanakah kerajaan ingin melaksanakan manifesto itu jika tindakan dilakukan adalah sebaliknya apabila mengurangkan 16,000 pekerjaan sedia ada?

Ini bermakna manifesto itu adalah satu lagi janji yang tidak akan tertunai seperti janji-janji manis lain.

Adakah 1MDB dan hutang negara terlampau banyak akan sekali lagi dijadikan alasan untuk mengurangkan penjawat awam?

Pada saat kakitangan kerajaan mahu dikurangkan, pihak kami sangat terkilan dengan pelbagai lantikan politik yang dibuat di kementerian, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan, tetapi sahabat kepemimpinan PH termasuk ahli keluarga diberi jawatan baharu.

Adakah ‘peluang pekerjaan’ yang disebut dalam manifesto itu ditujukan kepada sahabat dalam parti politik dan ahli keluarga mereka?

Oleh itu, pihak kami menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan ini kerana rakyat semakin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Kurangkan lantikan politik, biar penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas. Harus diingat, penjawat awam adalah tunjang kepada pentadbiran negara.

Ahli politik datang dan pergi, tetapi kakitangan kerajaan akan terus kekal.

SHAHIR ADNAN

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia