Pesawat F/A-18 Hornet juga digunakan oleh angkatan udara dari luar Amerika Syarikat seperti Tentera Udara Canada (103 pesawat), Sepanyol (72), Finland (62), Kuwait (35), Switzerland (33) dan Malaysia (8). F/A-18 Hornet mempunyai keupayaan sebagai pesawat pelbagai peranan termasuk keupayaan air-to-air dan air-to-ground. Antara tugasan yang mampu dilakukannya adalah seperti pertahanan udara, sokongan udara jarak dekat, peninjauan udara dan pengiring pesawat pejuang. Pesawat F/A-18 Hornet juga berupaya membawa pelbagai senjata terkini termasuk AIM-120 Advance Medium Range Air-to-Air Missile, Joint Direct Attack Munitions dan Join Air-to-Surface Stand-Off Missile.

Walaupun telah berada di pasaran sejak tahun 1980, sehingga kini pesawat F/A-18 Hornet masih lagi relevan untuk membuat misi dan tugasan yang diperlukan selain mempunyai dukungan logistik yang baik daripada pihak US Navy dan juga pembuat pesawat Boeing Aircraft Company. Berasas­kan faktor tersebut, pesawat F/A-18 Hornet yang digunakan dengan meluas oleh US Navy, Marine Corps dan juga angkatan udara dari luar Amerika sehingga kini dijangka akan masih digunakan untuk 15 tahun akan datang atau lebih.

Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada masa ini menggunakan F/-18D sebanyak lapan pesawat yang mula beroperasi sejak tahun 1997. Pesawat ini telah terlibat dengan pelbagai operasi, eksesais udara dan digunakan sepenuhnya oleh TUDM dan merupakan salah satu pesawat tempur utama bagi Malaysia sehingga hari ini.

Pada tahun 1990, pihak US Navy telah memulakan pembangunan pesawat F/A-18E/F Super Hornet dan pesawat pertama mula digunakan pada tahun 1999. Pesawat F/A-18E/F Super Hornet sebenarnya bukanlah peningkatan kepada pesawat F/A-18 Hornet, tetapi ia adalah pesawat baru dengan airframe yang lebih besar, peralatan yang lebih canggih menggunakan konsep rekabentuk yang sama dengan Hornet.

Pesawat F/A-18E/F Super Hornet Blok II merupakan pesawat tempur yang tercanggih ketika ini. Pesawat ini dilengkapi dengan radar terkini APG-79 AESA dan injin General Electric GE F414 yang lebih bertenaga, menjadikannya sebuah pesawat yang matang (mature) dan terbukti pengunaannya dalam pentempuran dengan tempoh penerbangan lebih daripada 1.4 juta jam sehingga kini.

Pesawat ini memiliki kemampuan melakukan serangan udara untuk sasaran air-to-air, air-to-ground dan juga mampu memusnahkan sasaran di darat dari jarak jauh. Radar APG 79 AESA yang berteknologi tinggi dan combat proven ini mampu untuk mengesan sasaran yang kecil dan mengesan musuh jauh sebelum masuk kejangkauan misil.

Pesawat F/A-18F Super Hornet merupakan calon terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia untuk memenuhi keperluan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) TUDM. Walaupun dilengkapi dengan teknologi terkini, pesawat F/A-18F Super Hornet mempunyai kos perolehan yang berpatutan dan kos operasi yang rendah berbanding dengan pesawat dalam kelas yang sama dengannya.

Pesawat juga mempunyai potensi pertumbuhan untuk masa akan datang jika diperlukan untuk memastikan pesawat adalah relevan dengan ancaman semasa. Antara pembaharuan yang dilakukan pada pesawat ini adalah seperti jajaran tempur tambahan hasil dari tangki bahan api yang disesuaikan yang memberi kelebihan besar untuk berupaya terbang dengan lebih jauh, sistem peperangan elektronik yang dinaik taraf, sistem tindakan balas bersepadu dan pod senjata tertutup.