Adalah juga terdengar suara-suara nyaring tapi kita anggap ia sebagai kes-kes terpencil. Misalnya, rintihan Susan Loone dari portal berita Malaysiakini yang menganggap Kerajaan PH sebagai kerajaan baharu dengan budaya lama, ala budaya BN. 

Komen itu dibuat hanya kerana cara beliau dilayan kasar oleh beberapa orang pengikut pemimpin tertentu. Kita ambil kira insiden itu tapi seperti kata Datuk Seri Johari Ghani, kita beri peluang kepada kerajaan baharu ini membuktikan kemampuan mereka.

Tapi rakyat tidak lupa akan harapan mereka kepada kerajaan ini untuk melegakan kebimbangan  mengenai kedudukan ekonomi mereka, sama ada isu kos sara-hidup mahupun peluang bisnes atau peluang pekerjaan. Bagi kebanyakan rakyat, enam minggu masa berlalu sepatutnya debu-debu kepolitikan sudah mendap ke bumi. 


Kerajaan PH dikira sudah punyai masa mencukupi untuk menggerakkan jentera pentadbiran mereka memenuhi aspirasi rakyat. Mereka mengandaikan mula ternampak lorong-lorong ekonomi yang sepatutnya mereka lalui dengan selesa.

Dengan barisan Kabinet yang kecil tetapi mantap, diperkuatkan lagi dengan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminent Persons (CEP) yang dianggotai lima tokoh ekonomi terkenal, pastinya usaha

Kerajaan PH memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara berada dalam tangan mereka yang amat kompeten.

Kerajaan dilihat melakukan rombakan pentadbiran perkhidmatan awam dan sektor korporat. Bukan calang-calang rombakan dilakukan. Rakyat dapat terima itu semua. Turut mencelah ialah usaha NGO yang menubuhkan IRC (Institutional Reform Committee) yang dilihat cuba menjalankan kerja-kerja kerajaan.

Malah banyak pihak juga keliru buat seketika, seolah-olah IRC ini ibarat adik kembar kepada CEP. Itu pun rakyat kurang ambil peduli walaupun sesetengah pihak sudah mula berbunyi.

Apa pun, yang banyak mencuri tumpuan berkaitan ekonomi pada masa ini ialah keghairahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang hampir saban hari membuat kenyataan yang pastinya tidak disaring langsung oleh Kabinet.

Pembangkang pastinya melenting akan gelagat ini (rujuk komen Tengku Razaleigh mengenainya). Paling mengejutkan ialah tindakan Guan Eng itu turut ditegur oleh sekutu mereka dalam PH (rujuk teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Guan Eng). 

Rakyat juga peka terhadap perkembangan ini. Mereka juga mengerti akan implikasinya daripada tindakan beliau itu yang dianggap agak keterlaluan. Kita lihat kepada empat petunjuk ini: 
(i)  Pengaliran keluar dana pelaburan asing. Beberapa kenyataan Bursa Malaysia mengenainya amat membimbangkan. Rakyat ada sebab untuk berasa mula curiga.
(ii)  Penguncupan nilai pelaburan domestik yang menyebabkan kerugian amat besar. Laporan terkini ialah kerugian dialami oleh KWSP, dalam nilai yang amat besar. Jauh di lubuk hati rakyat, mereka mula cemas.
(iii)  Nilai mata wang RM berbanding kebanyakan mata wang asing, kekal lemah, dan 
(iv)  Kadar inflasi bagi bulan Mei meningkat berbanding April. Ini yang didedahkan oleh RAM Rating yang dipetik oleh Malaysia Today yang disiarkan pada 19 Jun.

Memahami
Saya setuju pentingnya usaha menyelongkar segala salah laku oleh kerajaan yang lepas. Yang benar tetap benar dan yang salah usah dilindungi. Tapi usahlah terlalu dipolitikkan, sebaliknya lakukanlah dengan cara yang lebih berhemah dan teratur. 

Jangan terlalu ghairah mendedahkan sesuatu penyelewangan itu yang akan mengheret rakyat untuk sama menghukum, walhal penyiasatan mendalam belum dilakukan. Kesan langsung pendedahan sebegitu menyaksikan pelabur mula menekan butang panik dan mengambil langkah menarik keluar dana pelaburan mereka.  

Niat menteri berkenaan juga tidak salah, cuma niatnya itu terlalu berbaur politik membalas dendam.  Atau mungkinkah itu satu muslihat yang terancang. Ia sengaja dilakukan bagi menjunamkan kedudukan pasaran saham dan nilai RM. 

Jika ia sesuatu yang disengajakan dengan hasrat tersembunyi bagi membolehkan pihak-pihak tertentu yang kemudiannya akan ‘menangguk di air keruh’, maka ia sesuatu yang amat malang, terutama kepada rakyat jelata yang menaruh harapan menggunung kepada kerajaan. Harap-harap tidak begitu. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad  pastinya ada cara tersendiri untuk mencorakkan semula ekonomi negara yang dikatakan tenat. Sebagai contoh, pada mulanya beliau agak kritikal terhadap pelaburan dari China, saya bertanggapan itu mungkin satu helah beliau dalam menangani agenda geopolitik. 

Sekalipun beliau ke Jepun untuk menarik pelaburan dari negara berkenaan dan membuka mulut untuk mendapatkan pinjaman Yen, persepsi kritikal beliau terhadap China mula berubah. 

Tabib ekonomi China bernama Jack Ma dari AliBaba datang dengan satu ramuan perubatan ekonomi Malaysia-China yang pastinya  mampu meredakan, jika pun tidak menyembuhkan sepenuhnya bisa-bisa kerenggangan ekonomi Malaysia-China pasca PRU-14.

Dengan Datuk Seri Azmin Ali sudah pun melunaskan tugasnya dalam kemelut perlantikan penggantinya sebagai Menteri Besar Selangor, diharapkan beliau kini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio barunya yang dilihat lebih berpengaruh daripada rakan sejawatnya yang memegang portfolio Kementerian Kewangan. 

Sama-sama kita nantikan berita-berita gembira daripada beliau yang menerajui kementerian baru, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, yang ramai antara kita menganaggap ia sebagai the engine of the economic growth.  

Bagi Komuniti Ekonomi Bumiputera pula, buat seketika mereka agak tersentak dengan kenyataan Anwar yang menyatakan apabila berada dalam kerajaan kelak, beliau akan pastikan semua dasar berteraskan ras akan ditamatkan dan digantikan dengan dasar-dasar berteraskan merit dan keperluan. 

Ada logiknya juga kenyataan Anwar itu, tapi beliau kenalah menggubal dasar yang berteraskan merit atau keperluan itu dengan  mengambil kira suasana semasa yang mana Komuniti Ekonomi Bumiputera belum cukup berdaya-saing, apatah lagi untuk bersaing di arena global. 

Semua ini terjadi bukan salah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal pada awal 1970-an, tapi banyak cacat-celanya dari segi pelaksanaan yang acapkali tidak konsisten. 

Saya sokong hasrat Anwar itu dengan syarat program ekonomi nasional itu punyai sistem handicap yang mana mereka yang kurang berkemampuan diberikan handicap mengikut tahap kemampuan mereka. Hadir bersama sistem handicap itu ialah pelbagai bentuk sokongan, fasilitasi, insentif dan sebagainya bagi mengimbangi tahap handicap seseorang usahawan itu. 

Jika kita menggalakkan usahawan tempatan mengadakan usahasama dengan usahawan atau pelabur asing, mengapa tidak saranan yang sama digalakkan dalam kalangan usahawan atau pelabur tempatan pelbagai etnik, tanpa sebarang diskriminasi.

Tatkala kita mengharapkan Menteri Kewangan memahami aspirasi rakyat dan mengurangkan keresahan yang beliau timbulkan, kita juga mengharapkan Menteri Hal Ehwal
Ekonomi dapat bergerak seiringan dengan rakannya itu bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara. Malaysia boleh.

* Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).