Sepanjang pertemuan santai yang berlangsung di kilangnya, JenamaSendiri.com, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, Amin membuktikan bahawa dia sememangnya merendah diri.

Berulang kali memberitahu, dia mahu menjadi dirinya yang sebenar, tidak terikut dengan rentak orang lain malah adakalanya tidak peduli. Tuturnya yang lembut dan perlahan, hakikatnya berbeza dengan ketegasannya setiap kali memperkatakan tentang usaha membantu golongan bumiputera yang mahu berniaga.

Hidupnya tertumpu kepada apa yang ingin dilakukan. Salah satu daripadanya tentulah meneruskan legasi perniagaan arwah bapanya, JenamaSendiri.com.

“Kilang ini merupakan perniagaan keluarga. Berbeza dengan awal 90-an dahulu, kilang seperti ini tidak popular. Maklum sahaja waktu itu, tiada media sosial. Ketika itu, masyarakat terikat dengan cara kerja lama.

“Syarikat kami membantu usahawan baharu menghasilkan produk dan jenama sendiri seperti kosmetik, penjagaan kulit dan suplemen. Kemudian, kami akan membantu usahawan tersebut melakukan promosi berdasarkan pakej-pakej dna modal tertentu. Ada antara usahawan yang kami bantu kini menjadi jutawan.

“Saya sendiri sekarang banyak berurus niaga dan mempromosi perniagaan ini melalui media sosial. Malah itu lebih fleksibel dan saya dapat bersama keluarga pada bila-bila masa yang saya mahu,” katanya.

Hidup susah

Mengakui pernah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Amin sudah biasa hidup serba kekurangan. Katanya sejak kecil lagi, arwah bapanya mendidik dia dan adik-beradik lain supaya berdikari dan bertanggungjawab.

Biar pun telah acap kali berkongsi kisah lara hidupnya sejak kecil sehingga berusia 38 tahun, namun Amin masih tidak mampu membendung air matanya tatkala mengimbau kisah yang satu ini.

Mungkin kerana pengalaman itu ada kaitan dengan pengorbanan ibu bapanya.

"Waktu kecil dulu kami adik-beradik teringin untuk makan sedap-sedap. Ada satu ketika kami mahu makan sate. Arwah bapa pun beli empat cucuk sate dan kami kongsi bersama. Apa yang bapa lakukan ialah meminta kuah kacang lebih supaya kami terus menikmati kelazatan sate tersebut,” katanya.

Dia dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan. Ketegasan arwah bapanya ternyata berjaya membentuk sifat tegas, berani dan terbuka dalam dirinya.

“Bapa sanggup berkorban dan menghabiskan wang ringgitnya untuk memastikan anak-anaknya belajar tinggi. Kini berbekal ilmu pelajaran kami menempah kejayaan masing-masing,” ujarnya.

Berhenti kerja

Bercerita pengalamannya yang pernah makan gaji dengan beberapa syarikat terkemuka sebelum berniaga, Amin mengakui pada awalnya sukar membuat keputusan sama ada ingin terus bekerja atau menceburi perniagaan.

Ketika itu dia perlu mengambil tindakan drastik untuk meletakkan jawatan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan.

“Perubahan jadual memang saya rasai kerana sebelum ini saya hanya perlu berada di pejabat pukul 8 pagi dan pulang pada pukul 5 petang. Sekarang saya banyak menghabiskan masa menguruskan perniagaan dan kadangkala sehari suntuk tanpa rehat. Tetapi itu tidak bermakna saya harus mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa,” ujarnya yang sudah lapan tahun terbabit dalam perusahaan ini.

Ditanya mengenai tindakannya memperjudikan jaminan hidup apabila berhenti makan gaji, Amin tidak meragui tindakan itu disebabkan percaya dengan usaha syarikatnya membantu usahawan khususnya bumiputera.

Pada awalnya, Amin hanya melibatkan diri secara sambilan dan bermula daripada bawah. Setelah melihat potensi syarikat arwah bapanya, dia tekad berhenti.

“Semuanya dapat dilihat selepas mengambil alih syarikat bapa pada 2009. Saya cuba mengubah corak pemasaran dan saya lihat berjaya. Kebetulan lima tahun kebelakangan ini kebanyakan orang Melayu mahu memiliki produk sendiri,” katanya.

Berkongsi petua pengurusan masa, Amin berkata, tentu sekali dia perlu seimbangkan keluarga dan kerjaya dengan bijak.

Dia berasa bertuah kerana urusan pejabat banyak dibantu oleh pekerja yang berpengalaman. Katanya, dia masih mengekalkan pekerja lama dengan tugas masing-masing dan merekalah yang banyak membantunya.

Sudah tentu kebanyakan masanya dihabiskan bersama Amber Anggun. Malah ketika sesi fotografi baru-baru ini, Amin membawa bersama anaknya. Tidak sedikit pun Amber berasa kekok bergambar bersama.

Pada masa lapang Amin akan menghabiskan masanya menunggang kuda atau memandu kereta berkuasa tinggi. Tidak ketinggalan, Amin juga memperuntukkan masa berkongsi cerita dengan umum melalui Instagram dr_aminabdullah dan laman web www.Jenamasendiri.com.