Apatah lagi kesan luka dan parut akibat kecederaan teruk yang pernah dialami masih kekal di tubuh mereka.

Melihatnya sahaja, sudah cukup membuatkan hati penulis merasa simpati, namun bagi Norhaila Mohd. Hanis, rasa syukur di atas nikmat hidup yang diberikan Allah mengatasi segala kesedihan dan penderitaan yang pernah dialami.

“Jika diimbas semula peristiwa tersebut memanglah membuatkan hati saya sedih. Apatah lagi insiden itu turut melibatkan anak perempuan saya yang pada masa itu baru sahaja berusia setahun tiga minggu.

“Saya menangis setiap kali menatap anak perempuan saya. Namun, kami tetap menerima segala ketentuan Ilahi,” katanya.

Berkongsi cerita tentang kejadian itu, menurutnya, insiden pada tengah hari Jumaat, 15 September 1995 berlaku ketika dia membawa bayinya bersiar-siar di kawasan kampung.

Tanpa diduga pesawat Fokker Friendship F50 Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru mendarat di Lapangan Terbang Tawau (lapangan terbang lama yang terletak di Jalan Utara), terbabas arah sehingga merempuh beberapa rumah setinggan di kampung berkenaan yang terletak di hujung landasan.

Lebih kurang 10 minit kemudian, satu letupan kuat kedengaran sehingga menggemparkan penduduk sekitar dan menyebabkan suasana bertukar kecoh. Api yang menjulang dari pesawat itu menyambar Norhaila dan bayinya sebelum mereka bertindak menyelamatkan diri dalam keadaan cedera teruk.

“Biarpun rempuhan itu tidak mengenai kami, namun disebabkan kami berada berhampiran lokasi kejadian, percikan minyak panas dan api yang menyambar menyebabkan tubuh kami melecur.

“Paling teruk dialami anak saya yang pada masa itu, terjatuh dari pegangan saya. Saya cuma melecur di bahagian yang tidak diliputi kain seperti muka, kepala dan tangan. Bahagian belakang juga terasa sakit, namun tidak mempunyai kesan parut,” katanya yang tidak menyangka kemalangan seumpama itu akan berlaku pada hari tersebut.

Kedua-dua anak-beranak itu kemudian diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan memandu kenderaan melalui jalan berhampiran lokasi berkenaan.

“Saya, pada masa itu sudah dalam keadaan lemah dan separuh sedar. Saya hanya fikirkan keselamatan anak. Selepas sebuah kenderaan berhenti, mereka dengan segera membawa kami ke Hospital Besar Tawau.

“Pada keesokan hari, saya bersama anak dan seorang lagi penumpang pesawat MAS yang terselamat dibawa ke sebuah hospital di Kota Kinabalu dengan menaiki helikopter. Di sana, saya dan anak menjalani rawatan kecemasan,” katanya.

Sepanjang proses rawatan, kesakitan yang dialami tidak dapat digambarkan namun, dia lebih khuatirkan bayinya yang hanya mempunyai peluang 50 peratus untuk hidup.

“Jika melihat keadaannya yang melecur teruk pada ketika itu, peluang untuk anak saya hidup hanya 50 peratus. Namun, syukur Allah beri kesempatan untuk kami meneruskan kehidupan,” katanya.

Dugaan yang dilalui-

nya tidak berakhir di situ. Kala berdepan dengan situasi getir di hospital, dia dan keluarganya rupa-rupanya turut diuji dengan kehilangan rumah yang menjadi satu-satunya tempat mereka berteduh.

“Insiden rempuhan pesawat itu menyebabkan keseluruhan rumah kami musnah. Habis hangus segala harta benda,” katanya.

Pahit getir yang dilaluinya bagaimanapun sedikit terubat apabila pihak MAS membayar pampasan sebanyak RM10,000 sebagai bayaran ganti rugi kehilangan harta benda.

Selain itu, dia turut diberikan wang pampasan sebanyak RM10,000 dan anaknya sebanyak RM40,000 akibat kecederaan yang mereka alami.

Sementara itu, menurut anaknya, Asnur Liza Baharuddin yang kini berusia 22 tahun, meskipun kejadian yang menimpanya berlaku ketika bayi namun, dia membesar dengan keadaan anggota tubuh yang tidak sempurna dan sedikit-sebanyak memberi kesukaran kepadanya.

“Parut di tangan dan wajah tidak dapat disembunyikan menyebabkan orang sekeli­ling terutama ketika di sekolah merasa pelik melihat saya.

“Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka menggelar saya robot dan raksasa. Ada juga memanggil saya cacat. Saya sering mengadu kepada mak dan bertanya padanya, kenapa saya diberikan keadaan sebegini.

“Dahulu, setiap malam, saya menangis mengenangkan nasib yang dilalui. Stres juga apabila setiap kali diejek kawan-kawan di sekolah namun, lama kelamaan saya menjadi tabah dan menganggapnya sebagai perkara biasa,” katanya.

Selain parut di seluruh tubuh dan di pipi kirinya, dia turut mengalami kesakitan dan kekejangan di bahagian kaki pada masa tertentu.

“Biasanya, kalau berdiri terlalu lama, kaki saya akan kejang. Saya juga tidak boleh memakai kasut yang mempunyai permukaan kulit keras kerana boleh menyebabkan rasa sakit.

“Sehingga sekarang saya hanya mengenakan kasut yang mempunyai lapisan kain yang lembut,” katanya.

Meskipun hidup dalam serba kekurangan dan kepayahan namun, itu tidak pernah melunturkan semangat Asnur untuk cemerlang dalam bidang akademik. Buktinya, dia kini berjaya menyambung pengajian di peringkat ijazah pendidikan Geografi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).