Ia berikutan penahanan beberapa individu warga asing di sebuah institusi pengajian agama di negeri itu baru-baru ini oleh Bahagian Counter Terrorism-E8 Bukit Aman.
Apakah benar, perbezaan amalan beragama serta keterbukaan Perlis dalam pengajian bidang-bidang ilmu Islam dan menerima kemasukan pelajar asing menjadi punca ini berlaku.
Untuk rekod, Perlis mempunyai seramai 2,000 pelajar asing menuntut di negeri itu ketika ini. Untuk negeri sekecil itu, ia adalah satu jumlah yang agak besar.
Bagi mendapatkan penjelasan, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan perkara ini.
Berikut adalah wawancara antara Mohd. Asri dengan wartawan Mingguan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI bersama jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI.


MINGGUAN: Bolehkah Datuk terangkan pengertian dan latar belakang ideologi Salafi Jihadi?

MOHD. ASRI: Salafi itu merupakan perkataan yang muncul selepas berlakunya idea-idea perubahan dalam dunia Islam. Mereka ingin mengembalikan amalan Islam seperti mana di zaman nabi - ini idea asal mereka. 
Namun apabila berlaku hegemoni (penguasaan) Barat dan Amerika Syarikat (AS) memasuki ke dalam dunia Islam, maka muncullah satu kumpulan daripada aliran Salafi yang menuju ke arah pendekatan berjihad (menentang penjajahan).
Cumanya, kumpulan ini menggunakan pendekatan ekstrem iaitu tanpa mengambil kira disiplin jihad  dalam Islam. Maka mereka kadang-kadang telah mengebom dan membunuh, kononnya untuk menentang penjajahan Barat yang tanpa disedari telah menjadikan orang-orang awam sebagai mangsa.
Kumpulan ini turut menyerang tempat-tempat orang Islam itu sendiri yang sepatutnya bukan medan mereka. Idea ini (berjihad) berasal daripada Osama bin Laden yang datang daripada peperangan di Afghanistan, ketika Mujahidin menentang Rusia.Kumpulan ini telah berkembang kerana sebahagian daripada mereka telah mendapat latihan ketenteraan.
Dalam Islam, kita tahu bahawa apabila negara diserang adalah wajib untuk mempertahankannya. Cuma yang kita persalahkan Salafi Jihadi adalah kerana mereka tidak mengikut disiplin (jihad). 
Soal mempertahankan tanah air dipersetujui semua manusia yang berwarganegara tetapi haruslah kena caranya supaya tiada pihak dianiaya dan diserang tanpa sebab.
Untuk makluman, Perlis telah mengeluarkan fatwa tentang penyelewengan jihad fisabilillah pada April 2015 supaya dapat menangani keganasan.
 Saya rasa Perlis adalah antara negeri yang paling awal mengeluarkan fatwa ini, bahkan serentak dengan itu, kita telah mengadakan seminar di peringkat antarabangsa. Pihak Kedutaan Australia dan AS serta tokoh-tokoh ilmuwan pada masa itu telah datang ke Perlis, saya juga memberi ucapan manakala Raja Perlis telah merasmikannya.

Adakah ideologi Salafi Jihadi bertentangan dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah?

MOHD. ASRI: Yang bertentangan adalah idea jihad itu, yang lain mereka bersembahyang macam kita dan juga berpuasa seperti kita. Untuk makluman, istilah jihadi tiada pada zaman dahulu dan diwujudkan oleh media Barat, namun tiada masalah untuk kita hendak mengguna pakai istilah ini.
Cumanya, yang jadi masalah ialah idea jihad itu yang tidak kena pada tempatnya dan jihad yang tidak mengikut disiplin. Perlu diingat bahawa jihad itu sendiri mempunyai disiplinnya.
Bukan tiada jihad  dalam Islam. Kalau negara kita diserang, takkan tiada jihad. (Begitu juga apabila) Rakyat Palestin dibunuh takkan hendak duduk sahaja. Barat mudah melabel orang Islam yang melawan semula sebagai pengganas. Ini mentaliti mereka.
(Apa pun) Kita tidak mempertikaikan untuk (berjihad) mempertahankan tanah air dan umat Islam, tetapi pendekatan yang diambil kadang-kadang melanggar disiplin jihad yang diajar oleh agama. Di situ, mereka bercanggah dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimana pendapat Datuk tentang orang Islam yang berjuang di negara lain atas alasan berjihad?

MOHD. ASRI: Di dalam kitab fikah, ada bab untuk kita mempertahankan saudara se-Islam. Tetapi persoalannya ialah apabila hendak pergi ke sana, kita hendak bersama dengan siapa?
Apa yang dibimbangi ialah kita pergi kepada satu pasukan yang mereka memerangi rakyat tempatan sendiri seperti mana banyak berlaku di Iraq dan Syria. Kita dapati ISIS (Kumpulan militan, Negara Islam Iraq dan Syria) akhirnya bukan melaksanakan jihad.
Setelah seluruh dunia Islam menyokong mereka, apa yang berlaku, mereka telah melaksanakan perkara-perkara seperti memotong tangan dan membunuh orang dengan mengisytiharkan itu hukum Allah SWT.
Sedangkan hukum tersebut tidak patut dilaksanakan dalam suasana seperti itu (tidak aman). Jadi akhirnya kita menyokong sebuah pasukan yang kita tidak tahu hujung pangkalnya yang sebahagian mereka bertempur sesama sendiri dan Muslim, bahkan membunuh rakyat tempatan.
Saya tidak mahu seperti sesetengah golongan yang terlalu apologetik sehingga menafikan bahawa kita 
boleh untuk mempertahankan saudara se-Islam, tetapi dengan syarat mestilah menerusi saluran yang betul. Sebagai contoh menerusi pengisytiharan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara Islam lain. 
Kalau kata tidak boleh (berjuang di negara lain), maka apa yang dilakukan oleh tentera kita di bawah panji PBB adalah salah.

Boleh Datuk komen tentang penahanan beberapa pelajar Perlis di sebuah institusi pengajian agama kerana disyaki terlibat dalam keganasan, baru-baru ini?

MOHD. ASRI: Kita kena tahu bahawa pengganas ini bukan sahaja berada di Perlis. Di negara-negara lain hatta di United Kingdom (UK) juga ada. Cumanya, di Perlis, terdedah (pengganas) kerana kita mempunyai dasar yang agak terbuka (pengajian ilmu) iaitu kita agak lunak (lembut) berbanding majlis agama Islam negeri-negeri lain dalam memberikan ruang (pendapat). 
Kita ada sekolah-sekolah Pas yang ditubuh tanpa mengikut peraturan. Bahkan ada sekolah Pas yang ditubuhkan ini, mewujudkan kubur berasingan seperti di Matin (Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi).
Dianggarkan kira-kira 2,000 orang pelajar asing berada di Perlis. Bagi sebuah negeri yang tidak begitu besar, jumlah itu adalah tinggi. Di institusi pengajian (pelajar ditahan kerana disyaki terlibat keganasan) itu sendiri terdapat seramai 120 pelajar  warga asing daripada 20 buah negara dengan sebahagiannya dari Barat.
Sebelum ini, saya telah berulang kali dalam mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertanyakan kepada Ketua Polis Perlis.
Untuk pengetahuan, sesiapa sahaja yang memegang jawatan itu (Ketua Polis Perlis) di Perlis, beliau (secara automatik) dilantik sebagai ahli majlis MAIPs. Tujuannya, jika  wujud perkara-perkara yang tidak kena, beliau (Ketua Polis Perlis) akan memaklumkannya daripada segi perundangan dan keselamatan.
Ini bermakna, kita sangat telus dalam soal ini (keganasan) iaitu dengan memberikan ruang kepada pasukan keselamatan untuk mengetahui aktiviti kita. Sepanjang yang kita tanya (Ketua Polis Perlis) sebelum ini, beliau memaklumkan tiada masalah (keganasan). 
Seharusnya, polis memaklumkan kepada kita jika ada masalah (wujud elemen keganasan) kerana polis bukan jauh dengan kita dan sentiasa bermesyuarat bersama-sama.
Kita tiada mekanisme (menyiasat), maka sebab itu kita minta PDRM menapis pelajar dan hanya apabila laporan mengatakan okay, barulah pelajar-pelajar ini dibenarkan mendaftar belajar di Perlis.
Kemudian apabila timbul masalah lagi, bola bukan di kaki kita sebaliknya di pihak polis. Untuk makluman juga, institusi berkenaan bukanlah di bawah MAIPs. Ada pihak tertentu yang memfitnah MAIPs sebagai sumber kewangan kepada mereka.
Majlis agama ini bukan pemberi sumber kewangan sebaliknya memberi peruntukan kepada hampir kesemua sekolah agama di negeri ini termasuk sekolah Pas yang mempersoalkan MAIPs.
MAIPs telah menyalurkan bantuan yang berjumlah hampir RM5 juta setahun yang diberikan semasa Ramadan iaitu ada antaranya RM50,000 sehingga RM100,000 mengikut keperluan sesebuah sekolah.
MAIPs juga menyalurkan bantuan kepada institusi terlibat kerana polis memaklumkan tiada masalah (keganasan). Jadi itu isunya dan bukan isu MAIPs. Pada masa sama, saya secara peribadi berpendapat bahawa ada perkara-perkara tertentu (diamalkan di institusi terbabit) yang kurang sesuai dengan budaya setempat iaitu pemakaian purdah.
Kalau boleh, saya rasa tak perlulah wanita di situ memakai purdah kerana susah untuk kita mengenali mereka. Saya tahu mereka datang daripada budaya yang lain (memakai purdah) dan atas pilihan sendiri. Selain itu, pengasingan tempat pengajian lelaki dan wanita juga seharusnya tidak berlaku, campur sahaja satu tempat, kerana Malaysia bukanlah tempatnya (pengasingan).
Dalam soal purdah, walaupun saya tahu (hukum) pemakaian purdah ini ada (dalil), tetapi ia pendapat yang lemah.
Dalam negara moden di Malaysia, ketika Islam berhadapan dengan banyak 
tuduhan tentang isu wanita, eloklah pada era ini, kita khususnya rakyat Perlis memilih pendapat tidak memakai purdah.
Ini kerana pendapat majoriti para ulama adalah tidak wajib memakai purdah dengan dalil-dalil yang lebih kuat.
Ia menyusahkan proses untuk kita mengenali mereka di sebalik wajah dan memberi imej negatif kononnya kita mengongkong wanita.