LIMA ‘17 mendapat penyertaan sebanyak 520 syarikat pempamer dari 35 negara yang mewakili lebih 55 peratus daripada 100 syarikat maritim dan aeroangkasa terulung di dunia. Tahniah kepada penganjur yang sekali lagi berjaya menjadikan Malaysia pentas bagi negara-negara di dunia khususnya anggota ASEAN untuk meneroka peluang kerjasama dalam industri pertahanan.

Malaysia juga bersedia berkongsi teknologi dan pengetahuan de­ngan negara anggota ASEAN lain. Difahamkan, industri pertahanan di rantau ini dijangka menjana kira-kira AS$100 bilion menjelang 2030. ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam industri ini sebaliknya perlu meningkatkan diri sebagai rakan usaha sama dalam sistem industri pertahanan secara bersepadu.

Awang juga berharap, LIMA ‘17 dapat meningkatkan pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Begitu juga peluang Malaysia untuk memoden dan menaik taraf peralatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi peperangan moden.

Selain sektor industri, rakyat Malaysia juga harus mengambil ke­sempatan untuk melihat lebih dekat kemajuan industri pertahanan. Saksikan kehebatan LIMA ‘17 ini melalui kehadiran 55 kapal perang dan bot serta 106 pesawat dari seluruh dunia.

AWANG – Hantar wakil ke Langkawi .