Bagaimanapun agak mengecewakan apabila beberapa acara yang menjadi sandaran pingat emas gagal memenuhi impian. Olahraga juga gagal menyumbangkan pingat. Alasan paling popular sudah tentu nasib tidak menyebelahi atlet walaupun sudah berusaha.

Persoalannya sejauh mana persiapan negara dalam menghadapi edisi berikutnya di Birmingham, England? Amat membimbangkan sama ada negara sudah menyediakan atlet pelapis untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh beberapa atlet harapan.

Biarlah edisi kali ini menutup tirai dengan meninggalkan semangat yang tinggi untuk memperbaiki kedudukan. Bersediakah kita melahirkan seorang dua lagi jaguh yang konsisten untuk menyumbang emas atau sebarang pingat seperti yang ditunjukkan oleh Lee Chong Wei. Tempoh empat tahun bukanlah lama.

Awang berharap, semua pihak tanpa mengira acara sukan dapat meningkatkan usaha untuk melahirkan penyumbang pingat secara tetap sama ada emas, perak atau gangsa dalam mana-mana kejohanan. Jangan terus dibuai kejayaan yang lalu khususnya pencapaian Sukan SEA ke-27 Kuala Lumpur 2017. Kelemahan yang ada perlu diperbaiki demi kecemerlangan sukan negara.

AWANG – Sentiasa melahirkan pelapis.