Warkah terbuka Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad sempena 100 hari menerajui suruhanjaya itu, Selasa lalu menarik perhatian Awang. Paling terserlah adalah komitmen beliau kepada rakyat Malaysia dalam memerangi salah guna kuasa dan rasuah. "Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan ini, dengar amaran ini...hentikan pengkhianatan yang berumbikan rasuah, salah guna kuasa,'' demikian penegasan beliau. Belum pernah ada peneraju SPRM yang memberi amaran yang sebegitu lantang, mencerminkan iltizam tinggi SPRM di sebalik cabaran besar dan kompleksiti yang dihadapi. Awang setuju dengan label pengkhianatan yang digunakan oleh beliau berbanding slogan jijik rasuah yang kurang efektif. Sehari selepas warkah itu mula terdedah siasatan SPRM terhadap pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melakukan rasuah melibatkan pemberian kontrak selama bertahuntahun tetapi gagal dikesan. Suspek, 56, yang hidup mewah antara lain membeli sembilan rumah bernilai RM8 juta dipercayai secara tunai tunai. Lebih mengejutkan suspek memecat 20 kakitangan bawahan yang enggan bersubahat dengan salah lakunya. Awang tabik Dzulkifli dan SPRM atas kejayaan membongkar kes tersebut. Sejak mengetuai SPRM 1 Ogos lalu, beberapa kes berprofil tinggi telah dibongkar antaranya membabitkan dua bos Bank Rakyat, seorang pegawai tinggi DBKL, Pengarah JKR Melaka, Pengurus TNB Kelantan, beberapa pegawai dan kontraktor Petronas. Paling menggemparkan kes rasuah melibatkan agensi air Sabah yang dianggap luar biasa dengan rampasan wang rasuah berjumlah RM112 juta termasuk RM52 juta tunai. Dzulkifli, pengurusan SPRM dan warga kerjanya telah memberikan impak dalam tempoh yang begitu singkat. Imej SPRM melonjak kembali. Awang melihat ia mesej sangat jelas buat semua. Sudah tentu Dzulkifli tidak akan sebarangan membuat amaran kerana setiap kita dinilai dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata. Setakat ini, beliau tidak mengecewakan. Sudah dua kali Dzulkifli memberikan peringatan, pertama ketika baru dilantik dan kedua semasa genap 100 hari. Awang percaya banyak lagi dalam senarai pembongkaran SPRM yang menanti masa ledakan. Siapa lagi orang kenamaan dan tokoh yang terbabit, kita tunggu kejutannya. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

 

Trump dan umat Islam

Walau apa pun tafsiran dan analisis, Donald Trump telah pun menang dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS). Awang mahu ambil positif kejayaan Trump dan menghormati keputusan rakyat AS. Diharap Trump akan menjadi presiden negara kuasa besar, yang berwibawa dan membawa kebaikan kepada dunia, bukan sebaliknya. Realiti semasa kempen dan segala janji termasuk yang memudaratkan, tidak sama realiti ketika di puncak kuasa. Awang mahu melihat Trump mengkaji semula pendiriannya yang anti dan tidak mesra Islam. Ini termasuk janjinya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel jika menang. Kini Israel dan para pelobinya menuntut janji itu. Seandainya Trump mengambil keputusan tersebut, ia pasti mengundang bantahan umat Islam seluruh dunia dan implikasi besar yang tidak akan menguntungkan AS. Sepatutnya yang lebih dibela adalah hak Palestin sebagai negara berdaulat. Sebarang silap percaturan akan menjatuhkan lagi imej AS yang kini bukan lagi negara kuasa besar yang hebat melainkan kekuatan kenteraan. China sudah berada pada kedudukan teratas sebagai negara berkekuatan lebih seimbang dan Rusia masih kuat pengaruhnya, yang tidak boleh diambil mudah. Semasa Perang Dingin, AS merayu sokongan negara-negara Islam atas nama demokrasi berbanding komunisme diketuai Kesatuan Soviet (ketika itu). Negara-negara Islam memilih bersama AS. Namun setelah AS menjadi kuasa tunggal, negara-negara Islam bukan sahaja diketepikan malah dijadikan sasaran dan ditekan. Awang berharap pengkhianatan AS ke atas dunia Islam itu tidak akan berulang dan diburukkan ketika era Trump. Sentimen Islamfobia yang dimainkan oleh beliau ketika kempen diharap bersifat gimik dan sementara. Inilah kesempatan terbaik untuk lebih mendampingi negaranegara Islam dan negara membangun bagi memenuhi impian Trump bagi mengembalikan kegemilangan AS. Seandainya pendekatan Trump mahu terus membenci dan memusuhi, umat Islam dan negara-negara Islam juga boleh mencatur. AS bukan lagi pilihan.

 

Mahathir dan Pas
Impian Mahathir Mohamad untuk menarik Pas menyertai Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP, tidak kesampaian sebagaimana terzahir dalam konvensyen pakatan itu semalam. Sudah hampir pasti Pas tidak akan bersama-sama DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang telah mencapai persetujuan meniru konsep BN menggunakan logo yang sama. Pada Awang, tanpa penyertaan Pas yang mempunyai pengaruh akar umbi, Pakatan Harapan tidak akan memberi impak pada pilihan raya umum akan datang. Awang boleh faham sekiranya Mahathir Mohamad marah dan kecewa terhadap pendirian Pas lalu menuduh parti itu menyokong Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Sesiapa yang menyokong Najib akan ditentang, kata Mahathir. Awang tidak fikir Pas gentar dengan apa jua tekanan daripada Mahathir dan Pakatan Harapan. Hubungan tegang dan kurang mesra antara Pas dan Mahathir telah berpuluh tahun lamanya. Pas dengan rekod yang begitu lasak telah lalui dugaan itu semua. Kini realitinya, Najib lebih menghormati Pas berbanding Mahathir. Harus juga disyukuri, Najib dan Presiden Pas, Hadi Awang samasama responsif kepada agenda perpaduan Islam. Apa pun, Awang tabik kepada Pas yang terus menolak DAP (37 kerusi Parlimen) iaitu kuasa utama Pakatan Harapan. Biarlah Mahathir sahaja akur.

 

LGE, dap dan realiti
Sejak didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah, imej Ketua Menteri Pulau Pinang, merudum bukan sahaja dalam kalangan rakyat negeri itu malah ahli serta penyokong DAP. Beberapa perkembangan terbaru menjadi bukti antaranya Konvensyen DAP Pulau Pinang yang hambar dan kurang mendapat sambutan walaupun berlangsung di negeri pemerintahan parti itu. Kehadiran terendah dalam sejarah sejak 2008 adalah mesej yang sangat jelas buat semua. Pada hemat Awang, ternyata DAP berdepan dengan krisis keyakinan paling serius terhadap kepimpinan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung parti berkenaan. Keputusan Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang menjalin kerjasama dengan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad yang mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut memberi kesan negatif. Seperti mana ramai Melayu membantah Dr. Mahathir bersatu dengan Kit Siang, begitu juga pihak penyokong DAP. Dengan kata lain pengikut DAP tidak boleh memaafkan Dr. Mahathir yang disifatkan sebagai musuh tegar sekian lama dan lebih berbahaya daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Hal itu turut disuarakan oleh pemimpin akar umbi DAP seperti Shamser Singh Thind melalui kritikan kerasnya menolak Dr. Mahathir pada konvensyen itu - lagi tamparan kepada Guan Eng. Lebih memburukkan keadaan adalah kegagalan kerajaan negeri pimpinan beliau menangani isu banjir kilat dan beberapa projek mega yang terus dipersoalkan. Awang tidak nampak bagaimana Guan Eng dapat memulihkan segera imejnya. Apatah lagi pengaruhnya makin terhakis selepas beliau mengumumkan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow sebagai penggantinya jika didapati beliau bersalah dalam kes rasuahnya. Guan Eng bagaikan boleh menghidu nasibnya nanti. Walau apa sekalipun versinya termasuk menuding jari kepada pihak lain, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

 

Marina-Soros
Sejarah tidak berbohong betapa hartawan George Soros adalah penyangak matawang yang menyerang Malaysia mengakibatkan krisis kewangan pada 1998. Terlalu banyak fakta juga tidak dapat dinafikan bagaimana Soros campur tangan di banyak negara termasuk menerusi dana yang berselindung atas nama demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia. Terbaharu, sudah terbukti hartawan tersebut turut menaja perhimpunan haram Bersih selain membiayai beberapa organisasi anti kerajaan yang diketahui mahu menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi, ala Arab Springs. Sebab itu apabila aktivis sosial, Marina Mahathir memuji Soros sebagai dermawan yang pemurah dan juara hak asasi manusia, Awang hanya geleng kepala. Hartawan yang ternyata membawa ancaman dan mudarat besar kepada negara mahu dijulang sebagai hero. Ketika rakyat dan pelbagai pihak lantang membantah agenda campur tangan Soros, Marina bertindak songsang. Lupakah apa yang telah dilakukannya terhadap negara kita, yang rakyat dan golongan peniaga turut sengsara. Sepatutnya Marina meletakkan kedaulatan dan kepentingan negara mengatasi pemikiran sempit walau apa pun perbezaan aliran politik. Meskipun beliau kini agresif mempromosi Bersih 5, janganlah mahu memberi kewajaran kepada campur tangan Soros dalam perhimpunan haram itu. Racun tetap racun, bukan madu. Membenarkan campur tangan asing bukan sahaja penghinaan malah pengkhianatan kepada mana-mana negara. Belajarlah bertanggungjawab dan jagalah sensitiviti rakyat Malaysia. Lagipun siapa Marina, bersih dan hebat sangatkah beliau?