Semua itu dicapai hasil kepimpinan dan pentadbiran  yang dinamik, sokongan padu majoriti rakyat dan kemampuan negara untuk menangani dugaan. 2018 akan menjadi satu lagi tahun yang menarik dan sudah tentu diharapkan lebih makmur. Iklim ekonomi dunia diramalkan lebih kukuh dengan pertumbuhan empat peratus (yang terbaik sejak 2011). Perkembangan ekonomi Malaysia pula dijangka terus teguh pada kadar lima peratus, satu lagi petanda positif. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, negara juga perlu bersedia menempuh cabaran besar. Walaupun kerajaan telah melakukan banyak usaha dan inisiatif bagi menangani  kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda, ia akan terus menjadi isu utama 2018. Dengan kata lain, ia memerlukan perhatian luar biasa agar dapat memberi impak.
              

Satu lagi isu yang menghantui rakyat adalah kebanjiran  pekerja asing dan masalah dadah yang Awang lihat menjadi ancaman serius umpama bom jangka menanti ledakan. Dalam pada itu, rakyat Malaysia mengimpikan kebangkitan pasukan bola sepak negara. Tercapaikah, atau Harimau Malaya terus menjadi pasukan belasahan negara lain? 

Yang lebih mendesak adalah usaha menyelamatkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). Sukan itu terus merudum ekoran kegagalan panjang di bawah teraju Presiden, Ahmad Ismail selama 15 tahun. 

Secara keseluruhan, Alhamdulillah, Malaysia terus aman dan makmur. Moga-moga dijauhi musibah, juga pergolakan sebagaimana menimpa Syria, Iraq dan  Mesir. Usah diambil mudah keamanan di tanah air ini yang sebenarnya boleh bertukar rapuh sekelip mata. Awang sangat berharap solidariti umat Islam untuk membantu Palestin dan Rohingya terus diperhebatkan biar apa pun dugaannya. Mudah-mudahan ada keajaiban yang akan membawa sinar baharu.
               

Ambillah iktibar daripada segala kejutan, tragedi dan kedukaan yang menimpa negara pada 2017 - banjir besar, kebakaran pusat tahfiz dan puluhan kes rasuah berprofil tinggi. Apa lagi kejutan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ‘jerung’ mana pula akan didakwa? 

Bagaimana nasib Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang perbicaraan kes rasuah beliau akan bermula tahun depan  setelah perkembangannya sangat perlahan. 

Yang pasti rakyat mahu agenda melawan rasuah terus diperhebatkan selepas 2017 menampakkan peningkatan besar. Di samping itu, sebagai rakyat Malaysia,  berdoalah  agar misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 yang menggemparkan dunia akan terjawab pada 2018. 

Begitu juga dalam menuntut keadilan ke atas individu dan pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 di Ukraine pada 17 Julai 2014 agar dapat diheret ke muka pengadilan. Awang teruja untuk melihat kes tersebut diselesaikan seawal tahun 2018 kerana ia adalah soal kedaulatan dan maruah negara. 

Teruslah berwaspada bagi menghadapi apa sahaja ancaman terutama keganasan seperti Daesh. Ratusan ahli dan penyokongnya telah diberkas tetapi risiko tetap besar. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu. Maka bersatulah demi Malaysia. 

Semboyan PRU-14
Apabila detik tahun 2018 bermula, ia menandakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU- 14) sudah makin menjengah tiba.

PRU-14 akan menjadi tumpuan utama pada 2018 apatah lagi ia disifatkan sebagai bapa kepada segala pilihan raya umum. Spekulasi mengenai tarikh bubar Parlimen, penamaan calon dan hari mengundi rancak berlegar dalam media sosial.

Awang sekadar senyum apabila membaca semua spekulasi itu, yang jawapan hanya ada pada Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Cuma yang pasti suhu politik tanah air akan melonjak tinggi menjelang PRU-14. Malah dijangka 2018 menjadi tahun politiking yang berlebihan. Fitnah, tohmahan dan sentimen liar akan berleluasa. 

Biarpun selepas keputusan PRU-14 nanti, akan banyak tumpuan, energi dan masa terbuang kerana sentimen politik sebagaimana senario PRU-13. 

Suka atau tidak untuk diakui, inilah sisi jelek politik Malaysia. Semboyan PRU-14 sudah berbunyi, bersedialah hadapi semuanya. 


PM kitar semula?
Formula Pakatan Harapan berhubung pemilihan Perdana Menteri jika menang PRU-14 menjadi bahan sinikal.

Pertama, Dr. Mahathir Mohamad mahu kembali menjadi Perdana Menteri. Kedua,  ia bersifat sementara iaitu dalam tempoh enam hingga 12 bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim. 

Pada Awang, ia urusan pemilihan yang serabut, berundur ke belakang dan memberi isyarat yang salah kepada rakyat. 

Memperlihatkan betapa Pakatan ketandusan calon wibawa hingga terpaksa bergantung kepada pemimpin kitar semula berusia lebih 90 tahun dan pesalah kes liwat berusia lebih 70 tahun. 

Sudah tentu juga ia berisiko mengundang pengkhianatan kerana antara Dr. Mahathir dan Anwar serta pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang yang saling tidak percaya malah masih berdendam.

Ibarat tangan kanan mereka bersalaman dan tangan kiri di belakang menghunus pisau menunggu siapa terlebih dahulu dapat menikam. Siapa akan menang dan siapa akan jadi korban dalam percaturan muslihat itu nanti, kita tunggu.


Isu tanah Felda
Isu yang paling panas diperkatakan dalam minggu ini adalah pindah milik tanah  Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur kepada Syarikat Synergy Prominade Sdn. Bhd. melalui transaksi yang meragukan pada 2015. 

Ia menjadikan Felda kehilangan hak milik tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM270 juta  sebagaimana didedahkan oleh Pengerusinya, Shahrir Abdul Samad. Awang agak terkejut kerana istilah yang digunakan oleh

Shahrir sebenarnya bukan pindah hak milik tetapi dirampas oleh syarikat itu yang dilantik oleh  Felda Investment Corporation Sdn. Bhd  (FIC) bagi membangunkan tanah di situ. 

Tahniah kepada Shahrir kerana telah membongkar hal tersebut  tanpa ragu dan gentar sebelum segala-galanya terlewat. Malah keazaman beliau untuk mendapatkan kembali tanah 16 hektar itu melegakan kita semua.

Awang simpati dengan Felda yang terpalit dengan satu demi satu isu integriti yang serius. 

Tetapi eloklah semua itu dibersihkan supaya Felda dapat diperbetulkan. Sekali lagi bekas Pengerusi Felda, Mohd. Isa Samad menjadi perhatian apabila beliau akan dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Awang percaya siasatan pihak polis yang telah dimulakan akan mendedahkan pihak terbabit. Siapa yang bertanggungjawab, yang jawapannya menjadi berita panas paling dinantikan pada awal tahun baharu 2018.

Petunjuk dan bayang-bayangnya sudah ada...


Kotornya tandas
Dalam keterujaaan rakyat Malaysia suka bersiar-siar mencari sajian makanan yang sedap, ia kerap berakhir dengan keresahan. 

Apa yang Awang maksudkan ialah tandas yang kotor di kebanyakan restoran dan kedai makan di negara ini. Ini termasuk restoran makanan laut dan ikan bakar popular. Sayang sekali, masakan  sedap dan boleh tahan tetapi tahap kebersihan memalukan. 

Awang berpendapat pihak berkuasa tempatan mesti bertegas dari segi pemantauan dan penguatkuasaan jika benar-benar mahu melihat perubahan. Bagaimana Malaysia mahu menjadi  negara maju seandainya budaya kebersihan masih mundur. Maka sudah sampai masanya diwujudkan revolusi tandas untuk beri kejutan kepada semua. 


Iktibar kes Pudit
Ada iktibar besar daripada kisah seorang lelaki, Pudit Kittithradilok, 34, dijatuhi hukuman penjara selama 13,275 tahun semalam kerana kesalahan penipuan skim pelaburan di Thailand. 

Keputusan oleh Mahkamah Thailand itu dilihat begitu luar biasa tetapi ia mencerminkan ketegasan dan proaktif dalam menangani skim pelaburan kewangan haram. Kira-kira 40,000 orang berjaya ditipu oleh Pudit bagi melaburkan sebanyak AS$160 juta (RM649 juta) ke dalam syarikatnya. 

Awang sangat berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membuka mata mencontohi ketegasan Thailand. Seperti yang diketahui ramai, skim pelaburan haram dan memungut deposit di negara ini berleluasa. 

Walaupun sebahagian penganjur skim berkenaan telah ditahan dan didakwa, ramai lagi masih bebas menjalankan kegiatan. Terdapat salah seorang pengasas memperoleh keuntungan berbilion ringgit melalui pengubahan wang haram.  Sejumlah besar wang dipindahkan ke luar negara secara licik selain membeli aset-aset ratusan juta ringgit dan melabur bisnes lain di negara ini. 

Mengapa pihak berkuasa tidak boleh bertindak seolah-olah usahawan itu tidak boleh disentuh. Di mana silapnya?