“Apakah anda gila atau apa?” tanya beliau dalam satu forum sebagai merujuk kepada  pemimpin tertentu di benua Afrika. 

Kata-katanya itu disambut gelak ketawa para hadirin. Mo menyifatkannya sebagai jenaka lalu berkata lagi. “Anda berhak untuk ketawa kerana seluruh dunia mentertawakan kita.” Ini kerana rakyat mana-mana negara mengharapkan pemimpin yang dipilih cergas, bertenaga  dan sihat. 

Nasihat  Mo begitu relevan dalam konteks politik Malaysia. Pada Januari lepas, Dr. Mahathir Mohamad, 93, dipilih sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU-14. 

Bukan sahaja di benua Afrika, di Malaysia juga menyaksikan sentimen menolak  langkah Dr. Mahathir (yang telah bersara selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri ) mahu kembali berkuasa. Dengan kata lain beliau akan menjadi calon kitar semula jawatan Perdana Menteri yang tertua dalam sejarah dunia.

Awang lihat Pakatan Harapan telah memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia seolah-olah berundur ke belakang  dan ketandusan pemimpin. Dr. Mahathir  sendiri terlupa penghinaan yang ditujukan kepada Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat pada 2013. 

“Ini umur  82 tahun, nak berdiri pun tak boleh, masih nak bertanding lagi, sampai bila-bila. Apa jenis manusia. Suruh kita tukar (kerajaan), tukarlah diri engkau terlebih dahulu.” Rakaman video ucapannya itu kini tular kembali. 

Ketika itu Dr. Mahathir telah bersara dan berusia 78 tahun. Kini pada usia lebih lanjut dan beberapa kali telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), beliau akan bertanding pada PRU-14. 
Usia tidak menipu walau apa pun tafsiran. 

Cuba bayangkan sekiranya Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun, bagaimana tahap kecergasan dan kesihatannya?

Hal tersebut menjadi bahan perbualan orang ramai termasuk melalui media sosial. Antara yang disentuh,  Dr. Mahathir hanya mampu bekerja selama empat jam sehari kerana mudah penat, selebihnya perlu berehat.

Selain itu, tidak mampu berdiri lama termasuk untuk berucap dan berjalan. Pertuturan pula tidak berapa jelas dan pendengaran makin merosot. 

Risiko terkena serangan jantung dan angin ahmar amat tinggi. Masalah kesihatan Dr. Mahathir adalah kebimbangan utama keluarganya. Dalam kes sedemikian, beliau memerlukan pasukan perubatan lebih besar sepanjang masa seumpama klinik di kediamannya. 

Lebih dikhuatiri, pada usia sebegitu, beliau berisiko alami nyanyuk sedangkan pemimpin negara  tidak boleh mudah lupa. Maka Dr. Mahathir perlu berlaku adil kepada  rakyat dan negaranya. 

Demi rakyat dan negara, Malaysia berhak mendapat pemimpin yang cergas. Bebanan dan tekanan tugas sebagai Perdana Menteri begitu tinggi termasuk dalam urusan diplomatik dan melawat ke luar negara. Faktor usia dan kesihatan ternyata tidak memihak kepada Dr. Mahathir. 

Mesejnya, nafsu dan realiti adalah dua perkara berbeza. Jika beliau mahu mengangkat dirinya sebagai   pemimpin harapan maka seperti kata Mo, harapan itu sudah tiada. Kelam yang menanti. 


Relevankah hari penamaan calon ?

Tidak lama dahulu Awang pernah menulis tentang sejauh mana relevannya hari penamaan calon setiap kali pilihan raya di negara ini. 

Sudah sampai masanya ia dikaji semula kerana tidak lagi sesuai. Kebanyakan negara di dunia tidak lagi mengamalkannya. 

Berhimpun dan berarak bukan tuntutan utama dalam demokrasi. Malah hanya meningkatkan lagi suhu ketegangan yang kerap mencetuskan kekecohan terutama di kawasan-kawasan panas. Puluhan ribu anggota polis terpaksa dikerahkan menjaga keselamatan. Sepatutnya yang utama adalah hari mengundi, bukannya penamaan calon. Pada Awang, ia membuang masa dan tidak produktif. 

Lagipun untuk apa berhimpun hanya mahu mendengar pengesahan pencalonan. Sedangkan ia boleh dipermudahkan dengan sistem yang lebih fleksibel hanya melibatkan calon, pencadang dan saksi. Pendaftaran sebagai calon boleh dikemukakan lebih awal kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan boleh disahkan dalam tempoh dua atau tiga hari - tanpa perlu suasana pesta dan risiko ketegangan. 

Walaupun Awang sedar SPR tidak dapat melakukan pembaharuan  pada PRU-14 yang semakin hampir, usaha ke arah itu perlu difikirkan dengan serius untuk PRU-15. Pilihan raya kecil dijangka akan berlaku dari semasa ke semasa selepas PRU-14 maka kita boleh mengelak daripada terjebak dengan situasi hari penamaan calon. Cukuplah dengan cara lama yang memualkan.  Dunia sudah berubah. 


Azmin disekolahkan

Awang tidak kisah sangat jika Menteri Besar Selangor, Azmin Ali  jahil dalam soal pengurusan air di negeri itu sehingga mencetuskan krisis air. 

Namun apabila beliau mahu mencampak Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Ir. Zaini Ujang dan diikuti menterinya, Maximus Ongkili ke dalam empangan, ia sudah melampau. Tidak sepatutnya beliau mengugut dan menghina penjawat awam begitu sekali. 

Awang lihat Azmin tidak dapat menyembunyikan rasa panik sambil terus dibuai gaya pemerintahannya yang angkuh. 

Hujah-hujah yang beliau gunakan dalam menyerang Zaini adalah dangkal. Beliau tidak dapat membezakan antara bekalan air mentah dan air terawat, membuatkan ramai tersenyum. Memalukan rakyat Selangor.

Ternyata Zaini yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ‘sekolahkan’ Azmin dalam isu air. 

Dengan segala kepincangan di Selangor terutama krisis air sehingga rakyat merana, beliaulah sepatutnya dicampakkan ke empangan. Barulah tepat orangnya. 


Azmin diganti?

Spekulasi bertiup kencang Azmin Ali tidak akan dipilih semula oleh PKR sebagai calon Menteri Besar Selangor jika Pakatan Harapan mempertahankan kuasa di negeri itu. 
Selain PKR, DAP dan PAN turut  menolak Azmin atas pelbagai faktor. 

Antaranya kelemahan pentadbiran beliau dan banyak skandal termasuk rasuah penjualan tanah Ijok yang menyaksikan tujuh individu ditahan. Itu belum menyentuh sikap angkuhnya ke atas sekutu Pakatan. Awang difahamkan sudah ada beberapa nama bakal dicalonkan oleh Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail. 

Bukan rahsia lagi kemelut dalaman PKR bagai retak menanti belah terutama melibatkan antara  pasukan Wan Azizah dan penyokong Azmin. Pemimpin de facto PKR, Anwar Ibrahim telah mendapat mesej daripada banyak pihak mahukan Azmin diganti. Inilah akibat menjadi Menteri Besar (menggantikan Khalid  Ibrahim yang digulingkan) melalui konspirasi Langkah Kajang yang mempersendakan demokrasi. 

Awang melihat kedudukan Azmin kini rapuh. Sebab itu, Azmin mahu tentukan pemilihan calon-calon PKR di Selangor pada PRU-14  di bawah pengaruh beliau sepenuhnya. Ia bagi memberi tekanan kepada PKR supaya mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar. 

Sama ada Azmin  berjaya atau sebaliknya, kita tunggu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. 


Bertindaklah ....

Pendedahan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bahawa terdapat lebih 1,000 individu dan organisasi yang merancang mencetuskan kekecohan pada musim PRU-14 adalah serius. 

Jika ia tidak ditangani dengan tegas dan pendekatan terbaik dari awal, PRU-14 boleh bertukar menjadi medan huru-hara. 

Awang tidak terkejut kerana bibit-bibit ke arah itu sudah boleh dihidu termasuk hasutan pemimpin, aktiviti politik gelap dan provokasi di media sosial. 

Tahniah kepada polis kerana mengambil langkah ke hadapan dalam menangani ancaman pada musim PRU-14 nanti. Ketenteraman dan keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi, yang padahnya dahsyat. Awang pasti ada pihak yang akan menangguk di air keruh jika tercetus kekecohan. Sebelum nasi menjadi bubur, bertindaklah. 


Anak beranak

Awang tidak berminat untuk membuat spekulasi bila tarikh PRU-14 dan hari penamaan calon walaupun ada maklumat yang mencukupi. Memandangkan ia makin hampir, tiada lagi elemen kejutan untuk kita teruja soal tarikh. Yang lebih menarik untuk kita nantikan adalah tentang calon muka baharu, penyandang veteran yang masih tidak mahu beri laluan dan siapa yang gugur. 

Tidak terlepas perhatian adalah calon anak-beranak yang Pakatan Harapan juarai. 

Seperti biasa Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Setiausaha Agung, Lim Guan Eng akan bertanding – meneruskan penguasaan  Dinasti Lim. 

Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menjadi sandaran parti itu. Kalau Penasihat PKR,  Anwar Ibrahim tidak dipenjarakan pastinya beliau juga bertanding sebagaimana sebelum ini. Turut menjadi perhatian Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir yang dijangka bertanding di Kedah walaupun tidak pasti atas tiket parti apa. Itulah hebatnya nepotisme
dalam Pakatan. Anak beranak didahulukan.