Serangan yang dipercayai dilakukan oleh Mossad iaitu agensi perisikan Israel (berdasarkan banyak laporan) adalah terkutuk. 

Hakikat bahawa pembunuhan itu berlaku di negara ini oleh ejen perisikan asing sesuatu yang mengejutkan. Nampaknya sudah dua kali Malaysia menjadi sasaran pihak asing melakukan misi pembunuhan berprofil tinggi.

Pada 13 Februari 2017, Malaysia menjadi perhatian dunia apabila Kim Jong Nam, adik kepada Presiden Korea Utara mati selepas diserang menggunakan racun di KLIA. 

Kejadian terbaru ini mencetuskan keresahan ramai bahawa Malaysia menjadi sasaran mudah ejen asing dalam menjayakan misi mereka. 

Sekali lagi pihak berkuasa kita gagal menghidu konspirasi pembunuhan rangkaian antarabangsa. Harapan besar kini agar pembunuh Dr. Fadi dapat diberkas sebagaimana kejayaan polis menangkap penyerang Kim Jong Nam yang kemudian didakwa di mahkamah. 

Awang percaya pihak berkuasa akan mengambil langkah komprehensif terbaik bagi menangani insiden seperti itu agar tidak berulang. 

Kita harus memberikan mesej yang jelas dan tegas kepada dunia bahawa Malaysia bukan negara yang boleh diambil mudah oleh pihak asing. Semoga kita benar-benar mengambil iktibar, cukuplah dua kali. 


Konspirasi ...
Seperti yang telah dijangka, banyak tohmahan akan dilemparkan, begitu juga pelbagai serangan politik menjelang PRU-14. Salah satu kononnya UMNO sebuah pertubuhan politik haram dan tidak sah untuk bertanding pada PRU-14. Awang tidak terkejut isu tersebut dimainkan kerana ia adalah konspirasi yang telah diatur. 

Ini kerana  gabungan parti pembangkang di bawah PKR kini makin terdesak ekoran perkembangan yang tidak memihak kepada mereka. Penjelasan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor semalam membuktikan dakwaan tersebut tidak benar dan berasas. 

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah memperakukan UMNO parti yang sah dan mengikut perlembagaan. Maka sebarang cubaan termasuk menerusi permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan UMNO tidak akan memberi kesan.

Tindakan Tengku Adnan mengumumkan pemecatan  16 anggota UMNO yang memfailkan permohonan di mahkamah kelmarin, adalah sangat tepat. Difahamkan mereka sudah lama dikenalpasti tidak berpegang kepada prinsip UMNO dan menjadi gunting dalam lipatan.

Perbuatan  melakukan sabotaj seperti itu menjelang PRU-14 sangat serius. Ini bukan kali pertama UMNO cuba diharamkan kerana pernah UMNO diharamkan pada 1988 ketika era Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Bukan rahsia Mahathir  di belakang gerakan pengharaman UMNO pada waktu itu yang motifnya bagi melemahkan musuh beliau dalam parti. Kali ini usaha yang sama juga dilaporkan dibuat oleh orang yang sama dengan menggunakan ahli UMNO yang kecewa.

Misinya untuk menggugat UMNO yang kelihatan teguh dalam menghadapi PRU-14. Namun Awang amati, sebaik isu itu dimainkan beberapa hari lalu, ahli-ahli UMNO tidak goyah. Dengan kata lain cubaan kali ini dengan taktik kitar semula  tidak  berjaya. Realiti berbeza, supaya pisang tidak berbuah dua kali.


Jerat Dinasti Lim
Kepimpinan DAP yang dikuasai Dinasti Lim iaitu Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng  kini panas dengan gelombang kritikan yang dihadapi. Keputusan DAP atas pengaruh dua beranak itu untuk tidak menggunakan lambang DAP pada PRU-14 terus dipersoalkan akar umbi. 

Berbanding PRU-13, DAP melangkah ke PRU-14 pada 9 Mei ini dengan imej yang merudum. Daripada kes rasuah Guan Eng, pelbagai kepincangan termasuk projek-projek mega bermasalah dan isu banjir hinggalah kepada bersekongkol dengan Dr. Mahathir, kekuatan DAP tidak seperti ketika PRU-13. Sudah ada suara akar umbi DAP mahu ‘mengajar’ Kit Siang dan Guan Eng pada penentuan di peti undi nanti bagi mengurangkan keangkuhan mereka. 

Awang boleh baca bahasa badan dan air muka dua beranak  itu yang mencerminkan keresahan dengan gelombang penolakan. (Apatah lagi segala propaganda untuk berlakunya tsunami Melayu tidak mendapat sambutan). Antara yang menarik perhatian Awang adalah kenyataan tokoh DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang mahu pemimpin rasuah dalam DAP meninggalkan parti. 

Walaupun tidak menamakan sesiapa, semua tahu ia ditujukan kepada Guan Eng yang enggan bercuti dan melepaskan jawatan setelah  didakwa di mahkamah.  Keputusan Dinasti Lim menggugurkan seorang lagi tokoh DAP, Dr. Tan Seng Giaw atas prinsipnya (menyatakan kebenaran bahawa tiada bukti membabitkan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak dengan isu 1MDB), turut mengundang simpati ramai. 

Seng Giaw yang mempunyai pengaruh tersendiri membidas keputusan DAP mengorbankan lambang roket, yang selama ini menjadi kebanggaan ahli dan para penyokong? Manifestasi kekecewaan terhadap DAP juga terzahir dengan keputusan empat bekas  wakil rakyatnya, Lim Jack Wong, Goh Leong San, Sim Tong Him dan Chin Choong Seong untuk bertanding bebas di Melaka. Lebih mengejutkan adalah suara kritikan dan sinikal daripada Zaid Ibrahim terhadap DAP menerusi dua kenyataan dalam tempoh empat hari.

Antara lain beliau menyifatkan DAP hanya parti untuk kaum Cina dan keangkuhan kepimpinannya tidak akan dapat menarik sokongan Melayu. Awang sudah  lama menjangka bahawa Zaid yang menyertai DAP pada Februari tahun lepas akan akhirnya menjadi mangsa sebuah parti paling rasis

Eloklah beliau tersedar lebih awal sebelum makin  hanyut dalam parti itu. Sebelum ini puluhan pemimpin Melayu meninggalkan DAP yang strateginya hanya mempergunakan pemimpin dan orang Melayu untuk mengelirukan dan menarik sokongan Melayu. Apabila parti itu sudah kuat dan mencapai objektif serta agendanya, pemimpin dan ahli Melayu tiada nilai dan harga diri - sekadar alat dan pencacai. 

Dinasti Lim sanggup lakukan apa sahaja untuk terus memerangkap sokongan Melayu termasuk merelakan penggunaan lambang PKR. Maka berwaspadalah dengan logo PKR, satu lagi jerat untuk pengundi Melayu. Undi PKR=Undi DAP. 


Selamatkan ...
Setiap kali menjelang pilihan raya umum, slogan Selamatkan Malaysia daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dijaja. Lalu Awang tertanya- tanya mahu selamatkan Malaysia daripada siapa sebenarnya?

Bukankah slogan tersebut lebih tepat ditujukan kepada kerajaan PKR Selangor pimpinan Azmin Ali dan kerajaan DAP Pulau Pinang diterajui Lim Guan Eng? 

Kedua-dua kerajaan negeri yang gagal  itu berdepan dengan pelbagai skandal, kepincangan dan banyak janji manifesto PRU-13 yang gagal dilaksanakan. Seorang lagi yang ghairah bercakap kononnya mahu menyelamatkan Malaysia adalah Dr. Mahathir Mohamad.

Persoalannya, layakkah bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu menjadi penyelamat atau pemusnah? Sedangkan realitinya banyak kemelut hari ini adalah legasi daripada era kepimpinan beliau selama 22 tahun.

Dr. Mahathir dilingkari isu kronisme, pelbagai skandal kewangan, kekayaan luar biasa anak-anaknya, pemerintahan diktator dan kini dengan isu pencabulan prinsip yang serius. Awang sedih melihat seorang negarawan Islam tunduk kepada agenda parti paling rasis iaitu DAP dan mengundang campur tangan asing, mengulangi kisah pengkhianatan si kitul.

Reputasi Mahathir juga lebur. Banyak tohmahannya ternyata tidak benar antaranya Malaysia bakal  bankrap sejak dua tahun lalu. Mesejnya, makin banyak mudarat yang beliau bawa kepada rakyat dan negara. Mengapa harus berundur ke belakang? 

Jadi mahu selamatkan Malaysia daripada siapa, sudah tentu jawapannya - Mahathir, DAP dan PKR. Bagai ayam kokok berderai-derai ekor bergelumang najis.


Renungkanlah
Awang tertarik dengan gambar (atas) yang dihantar oleh seorang jeneral bersara menerusi WhatsApp baru-baru ini. 

Seekor singa dan kuda belang sedang minum air lalu mengundang pelbagai tafsiran. Menurut komen yang disertakan singa  itu sama ada mabuk (kerana tidak membaham kuda belang) atau mahu meraih undi dalam pilihan raya hutan. 

Awang sekadar senyum kerana sindirannya begitu tajam. Lebih-lebih lagi dalam konteks gerakan politik pembangkang yang tidak lagi berteraskan prinsip menjelang PRU-14. 

Lalu tanda tanya seterusnya siapa sebenarnya menjadi singa (dijinakkan) dan siapa pula menjadi kuda belang (bijak)?