Awang cuma boleh menjawabnya begini, ‘baru masuk hari kelima kempen, masih berbaki sembilan hari lagi’.
Tapi berulang kali pula Awang ditunjukkan bukti di gelanggang kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih ini terutama di kawasan kampung akan keluhan mereka yang merasakan kehidupan lebih baik di era kerajaan terdahulu.
Ya, Awang akui rakyat sedikit sebanyak tertekan dengan kos hidup hari ini. Bahkan, banyak pihak mempersoalkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang cuma RM100 dikembalikan kepada golongan bujang.
Nilai RM100 untuk tiga juta orang bujang yang layak itu mencukupikah? Walhal, semasa pentadbiran BN, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk orang bujang berpendapatan kurang RM2,000 adalah RM450.
Isi minyak kereta untuk ulang-alik mencari rezeki pun sudah cecah RM80 dalam tiga atau empat hari.
Dan tiba-tiba Awang ‘sedikit gerun’ bila teringat pola pengundian orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang tidak terikat dengan sentimen politik, tetapi dikatakan faktor penyebab tumbangnya kerajaan yang berkuasa selama enam dekad. 

AWANG - Hanya kritik bertempat.