Seorang guru wanita di salah sebuah sekolah menengah di Sabah, memuat naik status dalam Facebooknya: Saya tidak tahu apa ke namanya tendangan itu, tapi mari semua rakyat Malaysia undi Faiz Subri! Masih ada masa lagi.

Seorang lagi wanita menulis dalam statusnya: ‘Boleh tak sesiapa letak dua lagi video finalis (selain gol Faiz) dalam ruangan komen. Kakak-kakak kaki bangku mahu nengok juga.

Tak kiralah sama ada anda memang kaki bola atau kaki bangku, semuanya pasti teruja dan bangga dengan pencalonan penyerang dari Pulau Pinang itu. Ia adalah yang pertama kali. Kemuncaknya, apabila akhirnya Faiz di­umumkan sebagai pemenang. Pertama kali dalam sejarah Malaysia dan juga benua Asia!

Ia memang jaringan yang cantik. Bukan sahaja rakyat Malaysia memujinya dalam komen-komen di YouTube, rakyat dari negara-negara lain di pelosok dunia turut kagum dengan sepakan percuma Faiz yang meledakkan gol itu.

Saya turut menyaksikan siaran langsung anugerah tersebut di kaca televisyen, walaupun kena menunggu sehingga pukul 2.30 pagi. Saya tidak mahu melepaskan peluang melihat pemain bola sepak negara ini menaiki pentas yang sama dengan legenda bola sepak dunia seperti Diego Maradona, Gabriel Batistuta, Roberto Carlos dan Cristiano Ronaldo. Ini satu detik yang cukup istimewa dan bersejarah.

Maka, tidak perlulah membangkitkan isu kenapa Faiz tidak berbaju Melayu di majlis itu dan tidak payahlah mencari-cari apa yang tidak kena dengan kemenangan tersebut dan penampilan beliau. Yang penting, Faiz sudah mengharumkan nama negara. Ini bukan satu pencapaian yang mudah dan tidak juga dapat dicapai setakat ini oleh segelintir pemain bola sepak kita yang dibayar dengan gaji yang tinggi.

Sesuatu yang perlu diakui dan tidak boleh dinafikan bahawa sukan bola sepak mempunyai peminat yang paling ramai di dunia. Bintang-bintang bola sepak dunia mempunyai jutaan pengikut dalam akaun Facebook, Twitter dan Instagram, yang mengalahkan artis-artis terkenal dunia. Aktiviti seharian mereka sentiasa dipantau dan mendapat komen yang banyak dalam laman sosial mereka.

Beberapa hari sebelum anugerah ini berlangsung peminat-peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), bertelagah sesama sendiri di dalam laman sosial apabila membandingkan jaringan gol yang dikira paling cantik (goal of the year) antara pemain kelab Arsenal, Olivier Giroud ketika menentang Crystal Palace dan pemain Manchester United, Henrikh Mkhitaryan ketika bertemu Sunderland.

Dalam tempoh sekejap sahaja video gol kedua-dua pemain ini disaksikan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Kedua-dua gol mempunyai gaya ala kala jeng­king tetapi malangnya, gol Miki tidak dikira kerana offside dan ini mencetuskan perbincangan dan perbalahan yang hangat sehingga kini. Penyokong kelab masing-masing mendakwa gol pemain mereka lebih menyerupai kala jengking manakala gol yang dijaringkan pihak lawan, tidak lebih kepada gaya balerina (penari balet perempuan)!

Begitulah kegilaan dan minat orang ramai terhadap sukan bola sepak. Bila saja berlangsung perlawanan tidak kira di peringkat dunia, Liga Perdana Inggeris mahupun liga tempatan kita sendiri dan adanya jaringan-jaringan yang cantik, mereka akan mengulasnya berhari-hari lamanya, tidak kira menang atau gagal mengaut tiga mata penuh.

Maka kemenangan Faiz sepatutnya mencetuskan semangat kepada pemain-pemain bola sepak negara kita yang lain, agar dapat melakar nama di peringkat dunia. Diharapkan Faiz bukan satu-satunya pemain bola sepak tempatan kita yang berjaya melakukannya.

Dan rakyat Malaysia juga harus diberi pujian kerana berterusan mengundi Faiz, yang membuatkan dua lagi saingannya ketinggalan jauh. Yang pasti, tidak kira kaki bola atau kaki bangku masing-masing bergabung memberi undian. Inilah semangat sebenar cintakan Malaysia.