Isu ini sekali lagi mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan kerana semua pihak dan negara yang terlibat seolah-olah cuba menuding siapa yang perlu bertanggungjawab terhadap kebanjiran golongan PATI ini.

Untuk mendapat kupasan lebih mendalam wartawan Minguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PROFESOR DR. AZMI HASSAN baru-baru ini.

Ujar beliau, habuan kewangan yang lumayan diperolehi oleh sindiket, selain faktor kesempitan hidup di tempat asal dan janji pekerjaan di destinasi akhir adalah antara punca tarikan utama mengapa isu pemerdagangan manusia kini menular pada peringkat yang membimbangkan.

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sedang mempercepatkan usaha membentuk konvensyen mengenai pemerdagangan manusia yang melibatkan semua ahli ASEAN. Tetapi keadaan kritikal pada ketika ini memerlukan tindakan yang lebih drastik terutama sekali dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Myanmar," katanya.

MINGGUAN: Isu penemuan rangkaian kem rahsia di mana pendatang asing tanpa izin (PATI) dipenjara dan hanya akan dibebaskan jika ahli keluarga mangsa membayar wang pampasan adalah kisah sedih bagaimana manusia tergamak melakukan apa sahaja termasuk memperdagangkan manusia demi wang ringgit. Boleh Dr. komen tentang hal ini?

Azmi Hassan : Perkara tersebut adalah sesuatu yang lazim dalam dunia pemerdagangan manusia di mana wujud sindiket yang begitu teratur tetapi amat kejam dalam melaksanakan operasi mereka. Perolehan habuan kewangan yang diperolehi oleh sindiket adalah amat lumayan kerana mangsa tidak mempunyai pilihan selain mempertaruh nyawa dan wang ringgit. Kesempitan hidup di tempat asal dan janji pekerjaan di destinasi akhir adalah faktor tarikan utama mengapa isu pemerdagangan manusia menular pada peringkat yang membimbangkan.

Bagaimana kegiatan sebegini boleh terlindung dari perhatian pihak berkuasa di kedua-dua negara. Sudah tentu ia melibatkan elemen rasuah, rentas sempadan yang serius atau bagaimana?

Azmi Hassan : Jika ia melibatkan sindiket, maka besar kemungkinan terdapat kecuaian melalui elemen pemberian rasuah kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Tetapi masalahnya adalah apabila ia melibatkan sempadan dua negara yang pada lokasi tertentu tidak wujud kawalan sepenuh masa.

Maka berleluasanya isu ini bukan hanya disebabkan kecuaian pihak berkuasa tetapi keadaan fizikal sempadan tersebut. Jika hendak disabitkan kesalahan pada pihak berkuasa, tanggungjawab paling kritikal bermula di negara asal mangsa iaitu dalam kes ini sama ada di Myanmar atau Bangladesh.

Pada pandangan Dr. sejauh mana seriusnya penglibatan pihak berkuasa negara kita dalam kes ini?

Azmi Hassan : Pihak berkuasa negara destinasi akhir seperti Malaysia tidak dapat dinafikan telah banyak melaksanakan langkah proaktif dalam mengekang fenomena ini kerana beban yang ditanggung adalah begitu mencabar. Baru-baru ini kerajaan telah memperkemaskan Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (ATIPSOM) sebagai langkah memudahkan kesalahan disabitkan di mahkamah.

Cuma yang menjadi tanda tanya adalah kesungguhan negara transit umpamanya Thailand atau Indonesia dalam mengambil langkah proaktif dan setakat ini kedua-dua negara ini mengambil jalan mudah iaitu tidak membenarkan bot mendarat tetapi membiarkan di perairan antarabangsa.

Singapura pula sebagai negara destinasi PATI telah mengeluarkan kenyataan tidak akan menerima PATI dengan memberi alasan keluasan negara tidak mampu menampung sejumlah yang ramai.

Zon selatan Thailand merupakan laluan utama bagi aktiviti pemerdagangan manusia, apakah kawalan lebih ketat mampu dilakukan melibatkan kedua-dua negara terutama di kawasan Thailand. Namun antara masalah yang dihadapi ialah pemberontakan pejuang kemerdekaan selatan Thai yang dilihat membantutkan usaha ini. Komen Dr.?

Azmi Hassan : Memang benar kawalan sempadan darat di antara Malaysia dan Thailand adalah tidak sempurna jika ditinjau jumlah penyeludupan barangan yang berlaku setiap hari. Ini adalah kerana jalan tikus terlalu banyak dan mudah diwujudkan mengikut keperluan pihak yang terlibat.

Tambahan pula sebahagian sempadan adalah kawasan bergolak di sebelah Thailand dan faktor keselamatan seperti ini menyukarkan kerjasama antara dua negara yang bersempadan. Jika dilihat faktor laut pula, jalan laut sebagai laluan seperti sepanjang Selat Melaka maka senario sebegini begitu sukar sekali dikekang.

Masalahnya sekarang PATI ini dihantar pula ke Langkawi atau ke Malaysia oleh pihak-pihak yang bersekongkol dengan penyeludupan PATI untuk mengelak tindakan. Tidakkah ini satu tindakan tidak bertanggungjawab pihak ini?

Azmi Hassan : Apa yang dilakukan oleh pihak Thailand dan juga Indonesia seolah-olah memberi bantuan, tetapi sebenarnya menghalau mangsa tersebut ke Malaysia kerana menggunakan logik, Malaysia sebagai negara destinasi akhir. Ini sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada strategi cuba lari daripada tanggungjawab.

Tetapi perlu jua dinyatakan Australia juga melakukan perkara sama dengan menahan bot diperairan antarabangsa dan mengusir supaya kembali ke Indonesia (negara transit) iaitu di mana bot itu berlepas. Malaysia saya pasti tidak sekejam itu tetapi dasar kemanusiaan sebegini ada batasannya kerana kemampuan negara menampung PATI adalah begitu terhad.

Kenapa begitu mudah sempadan negara kita dibolosi sindiket-sindiket sebegini dan tidakkah dilihat Malaysia ini seolah-olah pusat pengumpulan PATI seperti mana tindakan yang dilakukan oleh pihak Indonesia dan sindiket pemerdagangan manusia di Thailand?

Azmi Hassan : Begitu sukar untuk mengawal sempadan darat Malaysia-Thailand kerana keadaan rupa bumi yang berhutan tebal menyebabkan sindiket mempunyai banyak pilihan jalan masuk. Begitu juga sempadan perairan Selat Melaka antara Malaysia-Indonesia lebih sukar di pantau kerana terlalu panjang dan juga longgar terutama sekali di sebelah Indonesia. Malaysia tidak boleh dipersalahkan kerana kawalan sempadan yang longgar kerana kesemua ini bergantung apa yang berlaku di sebelah sempadan negara jiran.

Malaysia ditakrifkan sebagai negara destinasi mangsa kerana banyak peluang ekonomi yang boleh diperoleh berbanding tempat asal mereka. Kesalahan juga perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang mengambil mangsa sebagai pekerja tidak sah kerana mangsa mudah diekploitasi dengan memberi gaji yang rendah. Akhirnya masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap Malaysia walaupun kita melayan mangsa dengan begitu baik.

Lebih menakutkan dikatakan terdapat ribuan PATI yang kini berlegar di perairan utara untuk memasuki negara ini. Kenapa tidak ada langkah yang boleh dilakukan supaya mereka dihantar sahaja ke negara asal daripada memasuki negara ini?

Azmi Hassan : Itu boleh dilakukan tetapi untuk mengiringi mereka ke negara asal perlu mendapat persetujuan dari negara tersebut iaitu Myanmar dan juga Bangladesh. Masalahnya ialah Myanmar tidak mengaku mangsa adalah rakyat mereka. Begitu juga dengan Dhaka tidak akan bersetuju kerana walaupun boleh dibuktikan mangsa adalah rakyat Bangladesh, kerajaan Dhaka seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab menjaga mangsa kepada Malaysia.

Kuala Lumpur boleh mengikut langkah Canberra yang menghantar mangsa ke kem pelarian di Nauru tanpa terlebih dahulu mangsa menjejak kaki ke Australia tetapi masalahnya kem di negara berkecuali seperti ini tidak wujud. Akhirnya Malaysia terpaksa bertanggungjawab atas dasar kemanusiaan dan menempatkan mereka di kem pelarian dalam Malaysia.

Sindiket kumpulan pemerdagangan manusia di Thailand dilapor menjadikan kira-kira 250,000 rakyat Bangladesh sebagai tawanan untuk pertukaran dengan wang tebusan sejak lapan tahun lalu dan mengutip berjuta-juta baht hasil kegiatan itu. Mungkin perlu ada satu kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh dan melibatkan negara-negara ASEAN lain untuk menghalang perlakuan sebegini berterusan?

Azmi Hassan : Fenomena ini masih berterusan kerana ada permintaan dari industri yang memerlukan tenaga buruh yang murah dan mudah dieksploitasi. Sebab itu sindiket bermaharaja lela kerana keadaan di Myanmar dan Bangladesh menjadikan sumber buruh manusia yang tiada hadnya. Kuala Lumpur dan Dhaka ada perjanjian tentang penghantaran pekerja melalui saluran yang sah tetapi lazimnya ada pihak yang menggunakan saluran tidak sah (iaitu sindiket) kerana lebih cepat prosesnya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sedang mempercepatkan usaha membentuk konvensyen mengenai pemerdagangan manusia yang melibatkan semua ahli ASEAN. Tetapi keadaan kritikal pada ketika ini memerlukan tindakan yang lebih drastik terutama sekali daripada Malaysia, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Mengikut Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), kesedaran masyarakat di negara ini terhadap isu pemerdagangan manusia masih rendah dan ramai yang tidak faham tentang skop jenayah ini?

Azmi Hassan : Memang ada kebenaran mengenai hal ini kerana kadangkala rakyat Malaysia tidak ambil peduli mengenai pekerja asing terutama sekali dalam sektor pembinaan dan perladangan yang mendapat layanan buruk seperti pemberian gaji rendah.

Ataupun fenomena mendapat pembantu rumah melalui saluran tidak sah boleh juga ditakrifkan membantu sindiket pemerdagangan manusia. Sebab itu didikan perlu diterapkan kepada rakyat Malaysia bahawa pihak yang terlibat dengan pemerdagangan manusia ini (sekecil mana pun skopnya seperti mengambil pembantu rumah melalui saluran tidak sah) perlu dipandang jijik dan dengan cara ini tidak akan ada permintaan daripada rakyat dan industri Malaysia.

Malaysia kekal diletakkan dalam Tier 3 Watch List Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ini dilihat sebagai serius apatah lagi dengan insiden yang berlaku baru-baru ini. Apa langkah lain yang boleh dilakukan bagi memastikan Malaysia sekurang-kurangnya bukan lagi menjadi tumpuan PATI pada masa hadapan?

Azmi Hassan : Malaysia pada tahun 2013 berada di Tier 2 tetapi pada tahun berikutnya di Tier 3 iaitu tahap yang paling rendah dalam laporan tersebut. Antara sebab utama mengapa Jabatan Negara AS mentakrif Malaysia pada tahap terendah adalah kurangnya kes pendakwaan terhadap pesalah dan sindiket pemerdagangan manusia. Sebagai langkah menjawab isu ini kerajaan telah memperkemaskan Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (ATIPSOM) pada persidangan Dewan Rakyat yang lepas.

Tetapi oleh kerana kebanjiran ekstrem PATI pada ketika ini membolehkan Malaysia kekal pada Tier 3 untuk tahun 2015. Adalah penting langkah yang seimbang perlu diambil untuk menangani fenomena ini supaya tidak memberi "senjata" kepada Jabatan Negara AS mengutuk Malaysia. Maksud seimbang adalah faktor kemanusiaan perlu menjadi teras tetapi di samping itu kemampuan Malaysia menampung jumlah PATI yang ramai perlu menjadi kekangan.

Jelas sesuatu yang serius perlu dilakukan untuk membantu minoriti Rohingya kerana jika tidak ditangani, masa depan dan kedudukan mereka di negara sendiri akan berterusan diabai selain menjadi punca lambakan PATI terutama di Malaysia. Apa pandangan Dr.?

Azmi Hassan : Sumber masalah ini perlu dihadapi dan ditangani melalui mekanisme ASEAN. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu mengambil tindakan drastik mengadakan mesyuarat tergempar dan tidak timbul lagi isu tidak mahu campur tangan masalah domestik negara ahli (dalam kes ini Myanmar) kerana hampir semua negara ASEAN telah terbabit dan menanggung kesannya.

Jika Myanmar masih berdegil di peringkat ASEAN, maka Malaysia sebagai ahli Majlis Keselamatan PBB boleh membawa usul ini ke peringkat PBB yang paling tinggi. Tetapi apa yang penting ialah negara yang banyak berurusan ekonomi dengan Myanmar seperti Kesatuan Eropah, AS, China dan India perlu juga memberi tekanan kepada Myanmar iaitu rakan perdagangan mereka. Masalahnya ialah negara kuasa besar ini berdiam diri kerana manfaat ekonomi berurusan dengan Myanmar.

Mungkin sebuah mahkamah khas melibatkan kes pemerdagangan manusia perlu dipercepatkan penubuhannya supaya kes-kes berkaitan isu ini boleh dipercepatkan? Azmi Hassan : Pada ketika ini sabitan dalam mahkamah bergantung kepada perundangan negara individu seperti Malaysia yang mempunyai ATIPSOM. Harapannya adalah dengan terbentuknya Konvensyen ASEAN Mengenai Pemerdagangan Manusia, semua negara ASEAN mempunyai perundangan yang selari dan lebih ketat. Masalahnya pada ketika ini terdapat beberapa negara ASEAN yang memandang remeh terhadap isu ini kerana tidak melibatkan mereka.

Kem penjara maya di mana pendatang dipenjarakan di dalam sangkar yang diperbuat daripada buluh seolah-olah mengingatkan kembali kisah pada zaman Perang Vietnam atau kekejaman Rejim Pol Pot. Apakah kemajuan akal dan pendidikan zaman moden tidak mampu memulihkan manusia daripada sifat kejam atau manusia terlalu bertuhankan wang ringgit ?

Azmi Hassan : Jika ada pihak iaitu sindiket yang hanya mementingkan wang ringgit dan ada satu pihak lagi yang terdesak iaitu PATI, maka fenomena ini akan berterusan.

Paling buruk lagi ialah wujud pihak ketiga iaitu dalam bentuk permintaan buruh bergaji murah dan keadaan yang memungkinkan perkara ini berlaku iaitu keadaan di Myanmar dan Bangladesh.

Selagi wujud kesemua faktor ini ini maka selagi itu masalah ini akan berterusan. Tindakan undang-undang hanya boleh mengekang tetapi tidak mampu menyekat secara menyeluruh. Sumber masalah ini iaitu keadaan politik di Myanmar dan ekonomi Bangladesh perlu ditangani terlebih dahulu.