Hakikatnya, musibah banjir terutamanya di pantai timur bukanlah perkara baharu kepada kita. Hampir setiap tahun kita berhadapan dengan bencana alam ini, sehinggakan ada yang sudah lali dan sudah tidak hairan apabila rumah ditenggelami air. Ini kerana mereka sudah menjangka dan ramai juga yang sudah bersedia untuk mengharungi bah. Bezanya adalah seteruk mana kerosakan dan kemusnahan yang berlaku atau setinggi mana kali ini air bah tersebut.

Banjir walaupun perkara biasa namun kemusnahan yang berlaku akibatnya tetap memeritkan. Sekali air masuk dalam rumah pasti semua perabot akan rosak. Itu belum lagi peralatan elektrik serta barangan lain. Maka jumlah kerugian kebiasaannya cukup besar dan bagi keluarga yang berpendapatan rendah, apatah lagi orang kampung yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang pastinya masalah banjir ini cukup membebankan kehidupan seharian selepas air surut.

Justeru anggota masyarakat yang lain wajar ambil iktibar daripada musibah yang melanda ini dan perlu bersatu menghulurkan apa jua bantuan ikut kemampuan masing-masing. Dalam keadaan seperti ini antara jenis bantuan yang biasa diperlukan adalah wang ringgit, barangan keperluan seperti makanan serta barangan lain seperti pakaian, selimut, katil, tilam dan dapur di sam­ping bantuan tenaga sukarelawan untuk mengagihkan sumbangan orang ramai serta untuk membantu membersihkan rumah, ba­ngunan kegunaan awam seperti sekolah, surau atau masjid, balai raya, pejabat dan dewan orang ramai.

Percayalah pengalaman penulis sendiri yang pernah terlibat sebagai sukarelawan mangsa banjir sebelum ini, bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir ini cukup pelbagai.

Malah bilangan sukarelawan juga tidak pernah mencukupi dan sangat bergantung kepada tahap kemusnahan serta bilangan kawasan yang terjejas. Maka inilah masanya untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu dan bersolidariti menghulurkan bantuan kepada mereka.

Bagi yang ada masa dan ruang disyorkan menjadi pasukan sukarelawan untuk membantu apa jua keperluan baik di pusat pemindahan mahupun di lokasi banjir selepas air surut. Perca­yalah kerja-kerja pembersihan selepas air surut atau ketika pasca banjir sangat memerlukan bilang­an sukarelawan yang ramai. Sekolah misalnya perlu dibersihkan segera supaya anak-anak boleh ­menyambung sesi persekolah­an tanpa gangguan. Jelas inilah masanya untuk kita menyemarakkan budaya kesukarelaan bagi menunjukkan rasa kekitaan dan solidariti kepada anggota masyarakat yang berada dalam kesusahan.

Semua agensi mahupun NGO yang berminat untuk menjadi sukarelawan wajar diselaraskan dengan baik oleh pihak berkuasa supaya proses bantuan ini dapat dilaksanakan dengan lancar. ­Misalnya pelajar-pelajar universiti boleh menjadi kelompok pasukan sukarelawan yang mantap dan mereka biasanya akan bernaung dan digerakkan secara bersepadu melalui penyelarasan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Bilangan pelajar universiti yang ramai perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mangsa banjir kerana di samping dapat meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing, melalui aktiviti ini mereka juga dapat menyalurkan khidmat dan sumbangan bakti kepada masyarakat.

Dalam konteks ini penulis juga ingin menarik perhatian umum terhadap jenis bantuan yang hendak disalurkan. Hal ini penting kerana penilaian dan pemerhatian penulis sebelum ini mendapati mangsa banjir menghadapi masalah kerosakan dan kemusnahan harta benda yang teruk ­seperti pakaian, perkakasan rumah, barang elektrik, dapur serta tilam dan bantal.

Tetapi malangnya kebanyakan kita lebih menitikberatkan kepada bantuan makanan semata-mata sehingga kadang kala beras, gula, susu dan sardin berlonggok di rumah mereka namun mereka tiada kerusi untuk duduk mahupun tilam dan bantal untuk tidur mahupun perkakasan dapur untuk masak. Kita lupa yang mereka juga memerlukan barangan keperluan asas seperti itu untuk meneruskan kehidupan selepas banjir.

Justeru dalam hal ini apa yang ingin penulis syorkan kepada pihak yang ingin menyalurkan bantuan pasca banjir agar terlebih dahulu melaksanakan satu proses penilaian ke atas keperluan mangsa banjir sebelum membeli barangan yang hendak disalurkan. Melalui proses penilaian ini kita boleh mendapatkan maklumat terperinci jenis bantuan yang diperlukan.

Secara prinsipnya, ini bukan masa untuk berpolitik mahupun bertelagah menuding jari mencari kesalahan orang lain. Pihak berkuasa misalnya melalui pelbagai agensi sudah mula bertindak pantas dan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Jika ada kelemahan di mana-mana sekalipun marilah kita ba­iki­nya bersama dan terus membantu mangsa banjir dengan jujur dan ikhlas tanpa sebarang ­kepentingan mahupun agenda tersembunyi.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).