Tidak terkecuali kebarangkalian Pakatan Harapan yang dianggotai oleh DAP, PKR, PAN serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat kejutan lebih-lebih lagi dengan adanya penyertaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Juga, peluang Pas untuk mengekalkan pemerintahan di Kelantan di saat parti itu tidak lagi menjadi anggota pakatan seperti mana beberapa siri PRU sebelum ini.

Apapun secara jujurnya kami berpandangan pilihan raya umum kali ini adalah antara paling kritikal buat BN kerana terpaksa berhadapan dengan saingan sengit Pakatan Harapan yang kini diperkuatkan dengan kehadiran beberapa bekas pemimpin utama negara.

Sehubungan itu, dalam tempoh sembilan bulan ini (mandat pemerintahan BN berakhir, Jun 2018) BN perlu menyusun strategi agar setiap kerusi dimenangi pada PRU-13 dapat dipertahankan dan mana-mana kerusi yang kalah akan dirampas semula.

Dan antara perkara terpenting ialah pemilihan calon BN. Dua minggu lalu Kalam pernah meminta pucuk pimpinan tidak lagi mencalonkan warlord dan kitar se­mula. Bukannya apa, semuanya ini adalah untuk kebaikan BN sendiri.

Isu ini tidak boleh dilihat sebelah mata kerana yang akan menjadi pengundi terdiri daripada rakyat akar umbi. Oleh itu kesilapan percaturan dalam meletakkan calon boleh mengundang padah kepada BN.

Mahu tidak mahu pandangan masyarakat perlu diambil kira agar calon BN yang dipilih kelak benar-benar diterima penduduk setempat. Cuba kita belajar dari kesilapan. Sedarlah bahawa orang yang bijak tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

Selain itu, sudah kedengaran suara-suara pengundi yang tidak akan memilih BN di kawasan majoriti Melayu jika calonnya bukan orang Melayu. Sebaliknya, mereka akan memilih calon pembangkang kerana biasanya calonnya adalah calon Melayu. Ini bukan satu rahsia tetapi te­lah lama diketahui umum.

Contohnya kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Te­luk Kemang. Difahamkan terdapat beberapa kawasan lain yang nasibnya sama dengan dua kawasan ini. Oleh itu perubahan drastik perlu dilakukan demi kelangsungan BN. Pengorbanan perlu dibuat jika kita mahu melihat BN terus memerintah negara ini.

Dalam pada itu, Kalam turut dimaklumkan yang Pakatan Harapan akan meletakkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar sebagai calon Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU-14 akan datang. Sahih atau tidak sukar untuk dipastikan. Namun sekiranya benar, cuba kita ba­yangkan jika BN masih mengekalkan calon MCA untuk berhadapan dengan Kamarudin, agak-agak siapa yang akan menang?

Pada PRU-12 dan PRU-13 lalu penyandang kerusi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR berjaya mengalahkan calon BN dari MCA, Datuk Tan Chai Ho dan Tan Kok Eng dengan majoriti 2,515 (PRU-12) dan 11,832 (PRU-13)

Begitu juga dengan kawasan Parlimen Teluk Kemang yang kini disandang oleh Datuk Kamarul Baharin Abas dari PKR. Kalam diberitahu yang pengundi-pengundi kawasan itu mahukan calon Melayu.

Seperti mana Abdul Khalid, Kamarul Baharin juga berjaya menewaskan calon BN dari MIC iaitu Datuk S. Sothinathan dan V. Mogan dalam PRU-12 serta PRU-13.

Kalam faham bahawa BN mengamalkan semangat berkongsi kuasa termasuk soal pengagihan kerusi pilihan raya dalam kalangan semua parti komponen sejak sekian lama. Namun untuk PRU-14 akan datang, mana-mana parti yang sukar mencapai kemenangan sebaik-baiknya berkorbanlah demi kelangsungan BN. Diharap Dewan Tertinggi BN membuat satu keputusan berani agar kemena­ngan terus berpihak kepada BN. Renung-renungkanlah.