Jumlah ini ternyata tidak selari dengan keperluan ekonomi abad ke-21 yang menekankan pe­nguasaan kemahiran yang tinggi, penguasaan teknologi maklumat (IT), kreativiti dan inovasi.

Ini sebenarnya boleh dianggap sebagai cabaran kritikal dalam menjayakan hasrat negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada seluruh tenaga kerja dalam usaha menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ke­perluan pemain industri untuk mendapatkan modal insan berkemahiran tinggi sebenarnya amat difahami kerajaan.

Selari dengan cita-cita tersebut, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang memulakan operasinya pada 1 Januari 2011 dengan matlamat untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan berkemahiran di dalam negara ini.

Ketika melancarkannya di Putrajaya pada 6 Disember 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tugas Ta­lentCorp bukan setakat membawa rakyat Malaysia dari seberang laut balik ke tanah air tetapi juga mengekalkan bakat yang ada di Malaysia.

Malah, kata beliau, TalentCorp akan bertindak sebagai perantara yang perlu berhubung dengan sektor swasta dan GLC untuk menjadi rakan sepadan yang baik bagi menarik rakyat Malaysia bekerja di tanah air.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TalentCorp, Shareen Shariza Abdul Ghani, TalentCorp bertindak berpandukan kepada empat bidang iaitu meningkatkan kebolehpasaran siswazah, menggalakkan kepelbagaian ba­kat, melibatkan rakyat Malaysia di luar negara dan memudahkan bakat asing.

Kata beliau, tugas TalentCorp adalah unik dalam pelbagai bidang. Selain mengenal pasti kekurangan kemahiran di beberapa sektor utama, TalentCorp juga berfungsi mencadangkan strategi sesuai bagi mendapatkan serta mengekalkan jenis modal insan yang diperlukan.

“Melalui kerjasama di antara kerajaan dan pemain industri, TalentCorp melaksanakan inisiatif untuk menangani jurang yang wujud dalam bidang kemahiran kritikal dengan menarik dan mengekalkan bakat yang dapat memacu transformasi ekonomi negara,” katanya.

Menurut Shareen Shariza, Ta­lentCorp telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengembangkan bakat-bakat tempatan sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar negara.

Sebagai contoh katanya, sejak 2011 melalui program Biasiswa Penarikan dan Pengekalan Bakat (STAR), TalentCorp membantu lebih 3,000 pelajar yang dibiayai kerajaan untuk ditempatkan di pelbagai sektor termasuk syarikat-syarikat terkemuka seperti Petronas, Samsung dan Ernst & Young.

Selain itu, katanya, hampir 4,000 permohonan untuk Prog­ram Kepulangan Pakar (REP) te­lah diluluskan dalam usaha membawa pulang mereka yang mempunyai kemahiran kembali ke tanah air untuk menabur bakti.

Kumpulan-kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi ini telah berkhidmat menjadi tenaga penggerak syarikat-syarikat ter­kenal seperti Kumpuan UEM, AIG dan Shell Malaysia.

Untuk maju Shareen Shariza berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu berganding bahu dalam melahirkan bakat-bakat yang dapat memenuhi keperluan sektor berkemahiran tinggi negara.

Kerjasama di antara pemain industri dengan kerajaan juga katanya, perlu diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan melahirkan bakat-bakat yang boleh mengisi kehendak pasaran.

Ini juga selaras dengan kenya­taan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa masyarakat tidak boleh terlalu bergantung dengan kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) semata-mata di dalam semua perkara.

Katanya, sebenarnya banyak GLC telah menyumbang dalam membangunkan bakat anak-anak tempatan terma­suklah dalam bidang keusahawanan.

“Komitmen GLC ini sangat tinggi, kalau kita tengok banyak program vendor yang dilaksanakan telah berjaya melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang keusahawanan.

“Contohnya kalau kita te­ngok Petronas, melahirkan ramai usahawan dalam bidang industri dan gas. Tenaga Nasional Berhad (TNB) ada program vendor. Te­lekom Malaysia (TM) ini adalah contoh GLC yang lakukan banyak aktiviti membantu usahawan bumiputera secara langsung atau menerusi program vendor,” jelasnya.

Pembangunan tenaga kerja bumiputera yang berbakat dalam sektor-sektor strategik sememang­nya perlu bagi membantu lebih banyak isi rumah bumiputera berada di dalam kelompok pendapatan yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pelbagai prog­ram dijalankan seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di samping GLC yang berperanan membangunkan bakat bermula seawal peringkat sekolah sehinggalah ke universiti. Ini turut melibatkan program melatih semula pekerja bagi meningkatkan kemahiran mereka selain program untuk profesional.

Apatah lagi statistik bilangan profesional dalam kalangan bumiputera masih lagi rendah berbanding kaum lain antaranya akauntan bertauliah hanyalah 8.1 peratus, 35.5 peratus jurutera dan 38.9 peratus arkitek.

Bagi membangunkan bakat bernilai tinggi untuk memimpin organisasi penting, GLC secara berterusan memikul peranan besar ini menerusi pelbagai program yang diperkenalkan. Malah bakat-bakat berkualiti tinggi ini merentasi sektor dan mempunyai pendedahan di peringkat antarabangsa. Bakat terbaik de­ngan komitmen untuk mencipta kecemerlangan sememangnya amat diperlukan bagi membawa Malaysia menuju sebuah negara berpendapatan tinggi.

Tanpa bakat yang bertepatan dengan kehendak pasaran kerja semasa, maka adalah satu perkara yang menjadi cabaran besar kepada mana-mana syarikat. Oleh itu, langkah-langkah yang diambil TalentCorp, GLC dan sektor awam serta korporat dalam program pembangunan mereka adalah tepat bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat berkelas dunia.