Selepas beberapa minggu SAR dilakukan, titik noktah terpaksa diputuskan kerana tiada petunjuk dapat digunakan untuk membawa pasukan SAR menemui bangkai pesawat mahupun mayat mangsa. Hari demi hari, minggu berganti bulan dan tahun silih berganti, berlalu begitu sahaja.

Sehinggalah dengan izin Yang Maha Esa, bangkai pesawat yang terdampar kaku sejak puluhan tahun lalu ditemui secara tidak sengaja oleh sama ada pencari hasil hutan, Orang Asli mahupun pembalak.

Ketua Penyelidik dan Pegawai Penyiasat Op Gangga, Kapten Muhd Zuraiman Abd. Ghani berkata, terdapat lebih 500 pesawat yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua terhempas di negara ini yang mana pesawat pelbagai jenis itu dimiliki oleh beberapa negara seperti Britain, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan Jepun.

Menurutnya, Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan telah mendaftar sebanyak 10 pesawat kargo jenis Dakota yang terhempas di negara ini.

“Daripada 10 pesawat kargo Dakota yang didaftar, enam pesawat milik Tentera Udara Diraja (RAF) British, dua kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), satu dari Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) manakala sebuah lagi milik awam,” katanya kepada pemberita di tapak nahas pesawat Dakota C-47B milik Amerika Syarikat di Hutan Simpan Kekal Bubu, Beruas, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, daripada 10 pesawat Dakota yang terhempas itu, hanya satu berjaya diselesaikan iaitu kes melibatkan pesawat DC-3 Dakota (KN630) milik Tentera Udara Diraja British di Gua Musang, Kelantan pada 2008.

“Setakat ini, misi ekskavasi pertama yang berjaya diselesaikan ialah operasi mengeluarkan pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) milik Tentera Udara Diraja British di Gua Musang, Kelantan pada 2008 dan ia telah diserahkan dengan upacara penghormatan ketenteraan kepada kerajaan Britain pada 2012,” katanya.

Dalam pada itu, penulis yang merupakan seorang pendaki gunung yang kerap masuk dan keluar hutan bagi menawan puncak-puncak gunung di seluruh Malaysia sejak tahun 1996 melihat sendiri bangkai pesawat perang yang terhempas dekat Kem Gedong, Gunung Tahan, Banjaran Tahan, Pahang dan di hutan Langkap, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Serpihan pesawat yang melanggar di satu kawasan dekat puncak Gunung Tahan yang mencecah ketinggian lebih 2,000 meter dari paras laut (dpl) itu dipercayai sebahagian daripada bangkai pesawat milik British yang terhempas sekitar 1972. Dilaporkan sebanyak dua orang terkorban termasuk juruterbang. Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut tidak diketahui.

Penulis yang ketika itu sedang dalam ekspedisi mendaki Gunung Tahan (2,187 meter) mengikut laluan Merapoh ke Kuala Tahan pada 1998 tidak melepaskan peluang bergambar bersama sebahagian bangkai pesawat tersebut.

Kemudian pada 2012, penulis bersama ahli kelab OGKL melakukan eksplorasi B24 Liberator KL654 di Negeri Sembilan. Selain menjayakan misi menakluk dua puncak gunung iaitu Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun dalam satu ekspedisi, kami juga mahu melihat sendiri bangkai pesawat malang itu.

Gunung Telapak Buruk berketinggian 1,193 meter dpl manakala Gunung Berembun pula hanya 690 meter dpl. Hakikatnya, bukan ketinggian yang menarik perhatian kami untuk ke gunung tersebut tetapi tinggalan sejarahnya.

Ini kerana di antara dua puncak gunung itu, terdapat bangkai pesawat perang British yang mana sebahagian daripada sisa bangkai kapal terbang ini telah dibawa keluar dan ditempatkan di Muzium Tentera di Port Dickson.

Mengikut maklumat yang dikumpul, pada 23 Ogos 1945, sebuah pesawat pengebom B-24 yang membawa lapan kru berlepas dari Cocos Island, Australia dalam satu misi ‘resupply’ pasukan Force 136. Namun pesawat itu dilaporkan tidak tiba di lokasi yang telah ditetapkan dan seminggu kemudian, pesawat itu dilaporkan terhempas.

Sebahagian bangkai pesawat malang itu ditemui pada 1996 di Negeri sembilan sebelum ‘pencarian rasmi’ dilakukan pada 22 Disember 2006. Tiga tahun kemudian, ekskavasi yang dilakukan pada 29 Ogos 2009 menemui 80 cebisan tulang kru pesawat tersebut. Kesemua cebisan tulang itu telah diserahkan kepada Penasihat Pertahanan Tentera British, Kapten Kenneth Taylor dan disemadikan di Commonwealth Military Cemetery, Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2012, sambil disaksikan oleh waris dan ahli keluarga kru terlibat.