Sukan ini tiba-tiba menjadi magnet yang menarik jutaan orang. Tidak sedikit yang sanggup datang ke Taman Ekuestrian Putrajaya. Banyak yang berhabis data untuk menonton siaran langsung acara ini melalui platform media sosial.

Semua ini kerana aura Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Putera Abdul Mateen Bolkiah. Kedua-duanya ada tarikan sebagai lelaki idaman terutama Abdul Mateen yang telah 'menyihir' banyak gadis Malaysia.

Laporan langsung Utusan Online perlawanan polo Malaysia-Brunei itu ditonton 834,002 orang sekali gus mencatat rekod. Siaran langsung Abdul Mateen bersama peminat pula ditonton oleh 301,422 orang.

Kesantunan Mateen yang sanggup melangkah pagar dan hadangan lain untuk bertemu peminat yang histeria menyeru nama putera Sultan Hassanal Bolkiah itu menarik perhatian ramai.

Begitu budi dan sopan seorang putera sultan melayani setiap permintaan peminatnya untuk berswafoto. Walaupun pasukannya kalah, Abdul Mateen tetap menunjukkan sifat santun dan budiman.

Khairy yang membahasakan dirinya Abah memang kini sedang menjadi fenomena di media sosial. Pengikut laman Twitternya berjumlah 2.1 juta orang. Mereka menyatu berkongsi apa sahaja berkaitan si dark, tall and handsome (berkulit gelap, tinggi dan tampan) ini.

Terkesan tiada jurang yang memisahkan antara menteri ini dan pengikutnya. Interaksi Abah @khairykj dengan bahasa generasi milennial berserta gambar begitu disenangi. Menurut pegawai, semua bahan Twitter dan Instagram Khairy disediakan oleh beliau sendiri.

Panggilan Abah itu tercetus se­lepas Khairy dalam tweetnya ber­tanya mengapa orang memanggilnya Daddy pada akhir Jun lalu. Per­tanyaan itu tanpa disangka telah menjadi trending. Pelbagai reaksi timbul termasuk daripada selebiriti dan ikon media sosial.

Akhirnya, hari ini panggilan Abah tidak lagi janggal malah sangat cocok dengan wibawa Khairy. Bukan mudah untuk menjadi Khairy.

Seorang menteri, pengerusi sekretariat KL2017 dan juga buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA menjadi peserta. Soalan yang selalu timbul, bagaimana beliau membahagikan masa.

Inspirasi

Tugas utamanya memastikan kelancaran perjalanan temasya ini dan memastikan Malaysia muncul juara selain sudah tentu membantu pasukan polonya meraih emas.

Nyata bukan tugas mudah untuk cemerlang dalam tiga misi ini. Sejak kempen dimulakan, Khairy berada di merata lokasi untuk memberi inspirasi menjadikan temasya ini dekat di hati rakyat.

Beliau orangnya yang berada di puncak Gunung Kinabalu menyalakan obor Sukan SEA pada bulan puasa, 5 Jun lalu.

Beliau juga orangnya yang dilihat berada di banyak venue termasuk sempat menghadap Sultan Johor di Johor Bahru. Benar, ada masalah timbul - bendera terbalik, pengangkutan dan penginapan, makanan serta penyelarasan keputusan. Hakikatnya bermacam perkara boleh timbul dalam temasya sebegini besar.

Yang penting apa jua masalah yang timbul dan dibangkitkan diselesaikan dengan kadar segera, tanpa bertangguh-tangguh. Inilah yang sentiasa diperlihatkan oleh tenaga sekretariat KL2017.

Barangkali atas sebab ini, ada sahaja pihak yang sengaja mencari-cari kelemahan penganjuran. Terkesan mereka tidak mahu KL2017 mencatat kejayaan. Almaklum pilihan raya umum digembar-gemburkan bakal diadakan sebaik Sukan SEA berakhir.

Walaupun sukan di atas politik, kejayaan negara dan Ketua Pemuda UMNO ini bakal memberi kesan buruk kepada pereka dan penyebar cerita negatif tentang negara. Ada sahaja perkara yang cuba dipolitikkan oleh kumpulan anti kerajaan ini.

Begitupun Khairy tidaklah lebih besar daripada KL2017. KL2017 adalah milik rakyat Malaysia. KL2017 juga adalah milik 11 negara rantau ini. Cuma aura Khairy atau yang dikenal sebagai Abah dalam kalangan netizen sering sahaja mencuri tumpuan.

Khairy memang layak dicemburui. Bukan salahnya. Beliau ba­nyak meneroka per­ka­ra baharu malah pa­­­da masa sama men­­­cipta sejarah. Ten­­tu sukar bagi ba­kal penyandang ja­watan itu kelak.

Tanpa berlebihan, walaupun KL2017 be­lum melabuhkan tirainya, Khairy l­a­­­­­yak me­­ndapat e­mas.

Malaysia la­yak men­­­jadi juara. Tah­niah Abah, Tah­­niah Malaysia.