Edisi ini juga telah dikemas kini dengan tambahan bilang­an muka surat berbanding naskhah asal yang diterbitkan pada 2012 yang memuatkan 92 puisi dan anekdot beliau sejak 1975.

Antara kandungan tambahan dalam edisi kemas kini ialah gambar sekitar majlis pelancaran buku berkenaan oleh kartunis, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

Turut dimuatkan ialah tambahan enam puisi iaitu Blues III, Belalang Kupu-Kupu, Melayu vs Melayu, Ruang, Hari Itu Latiff Pulang ke Studio dan Masa Lalu Itu.

Beberapa gambar tambahan daripada koleksi peribadi Pyan­habib turut dimuatkan dalam edisi kemas kini ini.

Lat ketika melancarkan buku berkenaan berkata, telah tiba masanya untuk puisi pilihan Pyanhabib dibukukan kerana karya beliau penuh dengan unsur nasihat.

“Kebolehan Pyan dalam seni penulisan tidak boleh dinafikan. Beliau seorang yang berterus-terang, justeru tidak salah jika pandangannya menerusi puisi diketengahkan untuk pembacaan umum agar menjadi teladan,” kata kartunis itu.

Buku ini boleh disifatkan sebagai kronologi kehidupan Pyan­habib kerana setiap puisi yang dimuatkan diganding­kan di muka surat bersebelahan dengan karikatur atau gambar-gambar nostalgia beliau berserta kapsyen ringkas.

Antaranya gambar ketika beliau memakai pakaian yang dibeli daripada gaji pertama sebagai pencuci pinggan pada 1977 dan ketika dalam lokap Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur pada 1986 semasa penggambaran filem Kembara Seniman Jalanan.

Turut dimuatkan ialah keratan akhbar Utusan Malaysia pada 1989 yang ditulis oleh wartawan, Nazeri Nong Samah mengenai berita Pyanhabib yang ketika itu berusia 30 tahun akan meng­akhiri zaman bujang dengan mengahwini Zurina Zakaria, 23.

Antara puisi menarik yang terkandung dalam buku ber­kenaan bertajuk ‘Bapakku Seorang YB’ yang telah dijadikan lagu yang dinyanyikan oleh Meor Yusof Aziddin.

Sajak yang ditulis pada 1984 disukai penduduk berbilang kaum kerana menceritakan situasi sebenar yang berlaku dalam masyarakat.

Puisi itu adalah satu kritikan sosial yang mengisahkan kerenah wakil rakyat yang hanya pandai menggula-gulakan pengundi dengan pelbagai habuan seperti baja subsidi untuk meraih sokongan.

Habuan yang diberikan kepada pengundi sebenarnya tidak seberapa berbanding keuntungan yang diraih YB bagi mengisi poket dan tembolok sendiri.

Walaupun puisi berkenaan telah lama dihasilkan dan se­ring dideklamasi oleh Pyanhabib dan pihak lain, kerenah YB seperti yang didedahkan dalam sajak masih lagi relevan sehingga sekarang.

Masih tidak serik-serik lagikah YB, sedangkan rakyat sudah semakin pintar dan tidak lagi dapat menerima pemimpin yang hanya pandai menabur janji kosong?

Satu lagi ialah puisi bertajuk ‘Suara’ yang pernah digubah menjadi lagu oleh Raja Kobat Sallehudin Raja Muda Musa untuk drama televisyen bertajuk Gelisah Seorang Seniman.

Dalam puisi itu, Pyanhabib meluahkan kerinduannya untuk mendengar suara setelah tidak lagi dapat menikmati anugerah itu sejak usia remaja.

Pyanhabib yang aktif dengan kerja-kerja amal termasuk Muslim Aid turut menulis sajak mengenai penderitaan yang dialami penduduk Palestin.

Dalam sajak bertajuk ‘Duka Omaira’ beliau meluahkan kesedihan atas pembunuhan kejam gadis itu oleh tentera Israel.

Menerusi sajak ‘Blues III’ yang ditulis pada 1983, Pyanhabib menzahirkan kenangannya pada seseorang yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.

Puisi berkenaan diterbitkan di dalam sebuah majalah pada 1984 dan Pyanhabib sendiri telah lupa bahawa beliau menulis puisi berkenaan kerana tiada salinan dalam simpanannya.

Beliau hanya menyedarinya setelah dimaklumkan oleh rakan Facebook, Amir Hazlin Lin yang telah menyalin puisi itu dalam buku rampaian sekolah beliau yang kemudiannya berbesar hati menyerahkan salinan berkenaan kepada Pyanhabib.

“Terima kasih untuk harta karun ini, hah ha. Gua pun dah lupa benda alah ni ada gua tulis - banyak lagi yang dalam simpanan gua, hilang!,” tulis Pyanhabib dalam Facebook beliau.