Daging wagyu yang sehingga detik ini merupakan antara daging lembu termahal di dunia itu dimasak kicap bersama kentang. Bunyi masakan sahaja sudah kedengaran sedap. Kecur air liur dibuatnya.

Mereka yang berkongsi menu tersebut di media sosial melahirkan kehairanan mengapa daging lembu baka mahal menjadi menu makanan pemimpin.

Menurut mereka, perlukah pemimpin dihidangkan dengan makanan mewah sedangkan negara kini menanggung hutang yang tinggi sehingga rakyat rela hati menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia bagi membantu melunaskan hutang negara.

Menjawab isu ini, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed berkata, Parlimen Malaysia tidak pernah berbelanja mewah untuk tujuan tersebut malah kadar kelayakan seorang tetamu ditetapkan sebanyak RM50 sahaja.

“Ini menjadikan nilai perbelanjaan di meja utama bernilai RM400 bagi santapan lapan orang tetamu dan menu tambahan tersebut bukan dipesan oleh Parlimen Malaysia tetapi disediakan oleh pihak katerer bagi meraikan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pihak tersebut menjelaskan daging itu bukan berharga RM2,000 sekilogram seperti yang ditularkan sebaliknya hanya berharga RM280 sekilogram.

Semakan harga secara online di salah sebuah pasaraya di Malaysia https://www.jayagrocer.com pula menunjukkan satu kilogram daging itu dijual dengan harga RM446.90.

Daging lembu wagyu

Daging lembu wagyu dengan marbleing yang cantik.

Apakah lembu wagyu? Wagyu berasal dari perkataan Jepun iaitu Wa dan Gyu bererti lembu Jepun. Mengapa daging lembu ini lebih mahal berbanding harga lembu-lembu yang lain?

Ini disembabkan 'marbling' iaitu lapisan lemak tak tepu di antara daging wagyu yang tinggi iaitu kira-kira 30 peratus memberikan rasa yang kaya terhadap daging lembu jenis ini berbanding baka lain.  

Oleh kerana kualiti ini yang tiada pada baka lembu lain maka ia menjadi lembu yang paling bermutu.

Disebabkan keunikannya, lembu baka wagyu mendapat keistimewaan dengan diternak dalam kawasan khas dan pemakananya dikawal iaitu hanya diberi rumput hijau yang segar serta buah-buahan dan makanan tambahan lain.

Kandangnya perlu luas dan bersih. Untuk menghasilkan daging yang berkualiti lembu-lembu wangyu juga dipastikan bebas dari tekanan perasaan.

Daging lembu wagyu memiliki kandungan lemak asid shomifuri yang kaya akan Omega-3 yang mengandung kolestrol baik dan bagus untuk jantung. 

Daging wagyu dikategori kepada gred A, B dan C berdasarkan kualiti termasuk jumlah peratusan lemak tepu, warna dan testur daging tersebut.

Selain Jepun kini Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Britain adalah negara yang menternak dan mengeksport daging lembu wagyu.

Disebabkan faktor-faktor tersebut tidak hairan wagyu menjadi antara daging lembu paling mahal di dunia.

Sudah tentu segelintir rakyat terkejut apabila daging lembu tersebut dihidangkan kepada pemimpin ketika rakyat berhempas pulas dengan harga barangan yang tinggi ketika ini.

Dalam isu ini, niat katerer menghidangkan wagyu masak kicap dan tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap hidangan tersebut untuk meraikan pemimpin negara sudah pasti dipersoalkan.

Untuk tidak mendatangkan polemik pada masa depan mungkin pihak katerer boleh menghidangkan daging lembu hasil ternakan Pak Ali kepada pemimpin negara.  

Lembu tempatan walaupun tidak seenak wagyu namun tidak kurang kualitinya dan harganya pun mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana iaitu sekitar RM32 sekilogram.

Perdana Menteri dan pemimpin lain sudah tentu tidak kisah menu tidak mewah dihidangkan kepada mereka. Mereka juga mungkin terkejut dihidangkan dengan daging wagyu ketika itu.-UTUSAN ONLINE