Tiada yang mengejutkan. Sepatutnya Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir telah lama dipecat. Begitu juga Mohd. Shafie Apdal, yang digantung keahlian. Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusannya berdasarkan banyak bukti terhadap pelanggaran disiplin parti, yang tidak boleh dikompromi lagi. Parti politik lain tidak terkecuali malah lebih keras terhadap gejala seumpama itu. Dalam sejarah UMNO, pemimpin dipecat dan digantung keahlian, bukan sesuatu yang luar biasa termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO sebagaimana yang menimpa Anwar Ibrahim.
Awang percaya Muhyiddin dan Mukhriz yang marah dan sinikal dengan keputusan tersebut, akhirnya akan dapat menerima hakikat. Kedua-duanya memilih laluan sendiri, yang keterlanjuran mereka memudaratkan parti. Lebih baik mereka berada di luar UMNO daripada kelihatan bertindak khianat terhadap parti seperti berulang kali berada di pentas pembangkang. Kini parti itu tanpa 3M iaitu Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Mukhriz. Inilah masa untuk UMNO terus melihat ke hadapan. Rekod kematangan ahli-ahli UMNO mengutamakan parti dalam hadapi gelora politik, akan memberi kelebihan. Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz hanyalah satu episod. Naik dan turun seseorang pemimpin adalah lumrah dalam politik. Bahtera UMNO mesti terus belayar biar apa pun dugaannya. 
Awang lihat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Najib Tun Razak akan dapat menangani cabaran malah menerajui kemenangan lebih besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan banyak petunjuk. Najib telah membuktikan beliau seorang pemimpin yang tabah, lasak dan mempunyai budaya menang dalam percaturan. Setiap kali melepasi ranjau dan krisis, beliau kelihatan makin kuat, itulah juga situasi ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Krisis menjadikan beliau lebih berwibawa. Cuma kali ini, faktor usia, tindakan songsang bersekongkol dengan DAP, pendekatannya yang kurang elegan dan realiti baharu, menjadikan keadaan tidak memihak kepada Dr. Mahathir. 
Apa yang berlaku ini, tentu ada hikmahnya. Dengan ketiadaan Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO mampu memainkan peranannya dengan berkesan. Zahid telah buktikan kemampuannya sebagai timbalan yang setia, bekerja keras dan pemain berpasukan. Antara lain dalam membantu Najib mencapai prestasi cemerlang BN pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sg. Besar. Awang yakini Zahid. Patah tumbuh, hilang berganti.

 

Iktibar Brexit
Fenomena Brexit atau Britain Exit daripada Kesatuan Eropah (EU) kini melanda benua itu selepas keputusan pungutan suara di Britain, kelmarin. Majoriti rakyat Britain telah membuat keputusan menolak EU dan sekali gus melenyapkan harapan kepada gagasan bangsa Eropah. Detik bersejarah itu akan mengubah landskap Eropah dari segi politik, ekonomi mahupun keselamatan. Perkembangan terbaharu ini menarik untuk dianalisis dan melihat kesannya kepada dunia termasuk Malaysia. Sudah tentu, ada iktibar juga buat kita. Renungkanlah.

Air Asia vs MAHB
Penegasan Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai agar AirAsia Berhad (AirAsia) menghentikan pertikaian berhubung penggunaan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), kelmarin, menarik perhatian Awang. Harap-harap dengan kenyataan tersebut, tidak berbangkit lagi soal pertukaran nama daripada KLIA 2 kepada Lapangan Terbang Tambang Rendah 2 (LCCT 2) sebagaimana desakan AirAsia. Isu tersebut telah mengheret satu lagi siri pertikaian antara AirAsia dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), yang mempertahankan nama KLIA2.
Antara asas pendirian Liow dan MAHB adalah KLIA2 telah dinamakan oleh kerajaan dan telah diperakukan oleh badan penerbangan dunia. Awang percaya AirAsia sebuah syarikat penerbangan yang dinamik akan akur keputusan kerajaan. Walau apa pun hujah AirAsia termasuk mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai 'Dubai Timur' dan hab penerbangan murah, ia tidak cukup kuat. Nasihat Awang utamakanlah kepentingan negara sebagaimana penegasan Tiong Lai. Ini bukan soal siapa menang atau kalah. Lagipun tanpa menamakan semula KLIA2, AirAsia tetap akan maju seperti yang telah dibuktikan oleh syarikat tersebut. Awang sudah bosan dengan pertikaian antara AirAsia dan MAHB yang kerap tercetus sejak beberapa tahun lalu. Cukup- cukuplah. Rakyat memerhati sambil bertanya apa lagi ni...
Mueller celupar?
Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Christopher Mueller bahawa sebahagian daripada 6,000 pekerja yang diberhentikan kerana didapati sering tidur pada waktu bekerja, adalah mengejutkan. Awang hairan seorang yang dipilih menerajui MAB sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut. Mueller sepatutnya tahu menjaga sensitiviti. Jika tidak mahu menghargai sumbangan 6,000 pekerja yang diberhentikan itu atau enggan bersimpati atas kehilangan punca pendapatan mereka, lebih baik berdiam. 
Adalah tidak adil membuat tuduhan sedemikian ketika kakitangan tidak berpeluang mempertahankan diri. Walaupun saiz tenaga pekerja didapati berlebihan di syarikat penerbangan nasional itu yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Airlines System (MAS), tentu ada cara lebih bijak bagi Mueller memberikan rumusan yang membina. Lagipun, semua orang tahu, kerugian besar yang berpanjangan dialami oleh MAS disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk harga produk dan bekalan begitu tinggi, yang diakui Mueller.
Kesatuan sekerja MAB antaranya NUFAM dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) serta beberapa tokoh termasuk bekas Pengerusi MAS, Abdul Aziz A. Rahman mendesak Mueller mohon maaf atas keceluparannya. Bukan itu sahaja MPM dan Abdul Aziz menggesa beliau dipecat serta-merta kerana kegagalannya memulihkan MAB. Ini termasuk isu pengambilan 15 ekspatriat menyandang pelbagai jawatan penting sehingga terhakisnya kepakaran tempatan di peringkat pengurusan. 
Mueller sebelum ini mengumumkan akan berundur daripada MAB pada September ini. Beliau dilantik pada Mac 2015 selepas syarikat itu terjejas teruk ekoran dua nahas iaitu MH370 dan MH 17 pada 2014 yang menggemparkan dunia. Awang yakin Khazanah Holdings dan Lembaga Pengarah MAB mendapat mesej yang sangat jelas daripada perkembangan terbaharu ini. Dalam pelan pemulihan juga adakalanya perlukan pemulihan.

Rombakan ...
Minggu ini hangat diperkatakan tentang spekulasi rombakan Kabinet. Makin kuat cakap-cakap rombakan itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengisi beberapa kekosongan. Selain pelantikan muka baharu bagi jawatan menteri dan timbalan menteri, Awang lebih teruja nantikan apakah akan berlaku perubahan posisi menteri Kabinet sedia ada. Khabarnya seorang menteri, setidak-tidaknya akan bertukar kementerian. Awang merasakan sudah sampai masanya perubahan dibuat bagi menyuntik kesegaran pada Kabinet sedia ada. Lebih-lebih lagi jika menteri itu sudah agak lama dan dilanda sindrom selesa.
Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil iaitu kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar telah memberikan  isyarat yang kuat menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Beliau berada pada kedudukan terbaik untuk melakukan rombakan yang amat signifikan malah jika membawa kejutan sekalipun. Walaupun tempoh menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi, ia bukan halangan untuk Najib melakukan perubahan demi mengukuhkan lagi imej kerajaan bagi memberi lebih impak kepada persiapan menjelang PRU. Tentu Najib bercongak mahu memberikan peluang dan kepercayaan kepada orang muda kali ini. Itulah juga harapan Awang dan rakyat Malaysia.

Siapa ganti?
Awang ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed atas segala jasa dan sumbangan beliau. Perkhidmatan Abu Kassim, 55, sepatutnya berakhir Disember 2018, dipercepatkan kepada 1 Ogos ini, seperti yang beliau sendiri mohon. Antara faktornya, beliau mahu menerima pelantikan tawaran bertugas di International Anti-Corruption Academy (IACA), Austria. Meskipun keputusannya itu mengundang pelbagai tafsiran ekoran kontroversi tertentu sebelum ini, Abu Kassim menegaskan beliau tidak menerima sebarang tekanan untuk berundur lebih awal. 
Jasa beliau begitu besar terutama dalam membawa transformasi kepada SPRM yang sebelum itu dikenali Badan Pencegah Rasuah (BPR). Persoalan ramai kini, siapa pengganti Abu Kassim, apakah orang dalam atau luar? Sentimen di SPRM mahukan pelantikan pegawai kanannya. Antara calon disebut-sebut Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Mustafar Ali. Pada masa yang sama, ada suara mahukan pembaharuan dengan perubahan ketara pada kepimpinan SPRM. Ketua Pengarah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Dzulkifli Ahmad antara calon luar mengetuai senarai.
Jawatan nombor satu organisasi pencegah rasuah itu pernah disandang oleh tokoh penjawat luar. Awang tidak mahu jauh bermain spekulasi walaupun pelbagai versi cerita yang didengar. Biarlah kerajaan membuat penentuan, yang diharap terbaik. Khabarnya, keputusan telah pun dibuat, kita tunggu sahaja.

Contohi Melaka
Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana mengambil langkah perundangan lebih keras ke atas perbuatan menggunakan anugerah, gelaran dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf. Persidangan Dewan Undangan Negeri telah meluluskan pindaan terhadap enakmen lambang-lambang dan nama-nama (mencegah penggunaan tidak betul) 2016, baru-baru ini. Antara lain ia memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM250,000 dan RM500,000 selain penjara antara satu hingga lima tahun.
Akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia telah menyiarkan beberapa siri laporan khas mendedahkan penggunaan darjah dan gelaran yang tidak diiktiraf secara berleluasa. Gejala tersebut ternyata mencabar kedaulatan institusi raja di negara ini. Terdapat individu termasuk di Melaka yang sekian lama berani mendakwa dia adalah Sultan Melaka dengan mengadakan acara penganugerahan darjah secara sesuka hati. Awang berharap kerajaan negeri lain mengikut jejak Melaka. Semoga ia dapat mengekang gejala tersebut kerana selama ini kita lebih banyak bercakap daripada bertindak.