Awang lontarkan persoalan ini kerana sejarah dan latar belakang hubungan Dr. Mahathir dengan pimpinan DAP dan PKR begitu tebal dengan permusuhan.

Meskipun dalam politik, segala-galanya berkemungkinan namun realiti untuk padamkan episod hitam bukanlah mudah.

Mereka akan terus dihantui rasa curiga dan waspada termakan jerat muslihat politik, apatah lagi lagi Dr. Mahathir, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim makin dimamah usia. Dimalukan dan gagal besar pada penghujung usia, lagi sakit rasanya.

Awang tidaklah terkejut dengan perkembangan terbaru politik tanah air ini. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Dr. Mahathir yang juga mantan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah menampakkan aliran dan petanda ke arah itu.

Siapa sangka Dr. Mahathir sanggup berbaik-baik dan menjalin gerakan bersama Kit Siang dan Anwar. Umpama mimpi dalam mimpi.

Keterdesakan Dr. Mahathir tidak dapat disembunyikan setelah gagal menjatuhkan Perdana Menteri sejak tahun lalu. Tidak kisah walaupun akibatnya kepada UMNO dan BN yang lebih dua dekad beliau terajui. Kepada Kit Siang dan Anwar, tindakan Dr. Mahathir menjatuhkan ego merayu mereka bekerjasama dilihat sebagai kejayaan besar. Umpama sudah mengantuk disorongkan bantal.

Awang masih ingat banyak kenyataan keras Dr. Mahathir ke atas Kit Siang. Antaranya pemimpin rasis, tidak boleh dipercayai, pengamal kuat nepotisme dan ada agenda bahaya terhadap Islam dan Melayu. Selama ini beliau menjadikan DAP jijik pada kacamata orang Melayu yang sentiasa diminta waspada dengan muslihat parti itu.

Kit Siang tidak kurang dahsyatnya menghina, mentohmah dan mempersoalkan Dr. Mahathir sepanjang sejarah perseteruan mereka. DAP menjadi hidup kerana anti-Dr. Mahathir yang dilabelkan zalim, menerajui kerajaan rasuah dan sebagainya. Malah DAP yang beliau kuasai mahu menangkap dan memenjarakan Dr. Mahathir jika berkuasa suatu hari nanti. Jauh mengatasi rekod, Kit Siang pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika era kepimpinan Dr. Mahathir.

Sejarah dengan Anwar lebih berduri. Dendam Anwar dan keluarga terhadap Dr. Mahathir tidak mudah lenyap. Karier Anwar jatuh daripada Timbalan Perdana Menteri selepas dipecat kerana isu akhlak dan kemudian dipenjarakan atas tuduhan salah guna kuasa. Apakah selepas ini Dr. Mahathir akan menarik balik segala kenyataan, label termasuk tuduhan meliwat ke atas Anwar? Awang tidak pasti hal itu tetapi tidak mengejutkan jika beliau menyokong pembebasan Anwar sama seperti desakan banyak pihak asing.

 

Persoalan lebih menarik, siapa lebih untung daripada pakatan baharu ini? Juga siapa lebih dipergunakan?

Menyatukan pembangkang kecuali Pas yang menolak gerakan untuk menjatuhkan Najib, adalah jalan keluar terakhir Dr. Mahathir tetapi bukan bagi Kit Siang dan Anwar.

Presiden Pas , Hadi Awang dan golongan ulama yang berpengaruh dalam parti itu tidak akan termasuk perangkap Kit Siang. Setakat ini, tindakan Dr. Mahathir meninggalkan UMNO buat kali kedua, ternyata tidak gugat parti itu. UMNO tidak terkesan sekadar ahli bercakap mengenainya. Seperti tiada peristiwa besar berlaku. Juga tiada gelombang reaksi menyokong beliau yang bersekutu dengan DAP dan beberapa NGO. Sama keadaannya apabila beliau hadir dua kali ke perhimpunan Bersih tahun lalu, yang rata-rata majoriti Melayu menolaknya.

Awang lihat itu antara kesilapan besar dalam sejarah politik Dr. Mahathir. Beliau kini memilih jalan yang songsang sambil terlupa banyak gerakan untuk menjatuhnya sama ada oleh DAP mahupun PKR dan Semangat 46 akibat daripada krisis besar UMNO sepanjang jadi Perdana Menteri, semua gagal di sebalik banyak isu. Beliau dipertahankan oleh UMNO dan para pemimpin yang setia meskipun ditafsir sokong membuta tuli oleh Anwar. Prinsip mendokong kepimpinan semasa atas asas government of the day, yang beliau selalu tekankan dulu, masih didokong hari ini. Najib antara pemimpin yang mengambil langkah signifikan memilih menyokong Dr. Mahathir di kemuncak krisis pertama. Disebabkan sokongan Najib, Dr. Mahathir menang dalam percaturan dengan pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Nampaknya Dr. Mahathir banyak lupa. Kit Siang pernah menggunakan istilah Dr. Mahathir ada kalanya berpura pura nyanyuk sebagai sinikal kepada strategi untuk menjayakan apa sahaja kehendaknya. Matlamat menghalalkan cara. Tokoh-tokoh lama seperti Tengku Razaleigh, Musa Hitam dan Anwar antara yang pernah dipalit krisis dengan Dr. Mahathir, sangat kenal siapa beliau. Tengku Razaleigh dan Musa walaupun selalu kritis terhadap Najib, tidak mahu terheret dengan agenda Dr. Mahathir. Ternyata tindak- tanduk beliau tidak lagi elegan.

Golongan orang muda juga tidak teruja apabila sesuatu dilakukan secara keterlaluan dan terdesak. Bagi golongan tersebut, menukar pasukan bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak boleh diterima atas prinsip kesetiaan inikan pula pendirian politik yang dilakukan secara agak ekstrem. Maka deklarasi yang ditandatangani oleh para pemimpin pembangkang, beberapa tokoh dan pemimpin NGO untuk menjatuhkan Najib kelmarin, boleh bertukar menjadi kelebihan kepada BN.

Rakyat termasuk golongan atas pagar menilai semua perkembangan ini sambil tidak mahu mudarat besar melanda negara, lebih- lebih lagi orang Islam. Dalam hubungan ini, Muhyiddin, Mohd. Shafei Apdal dan Mukhriz tersasar kerana menandatangani deklarasi itu walaupun tidak ikut jejak Dr. Mahathir keluar parti. Sekali lagi, itu pilihan mereka, biarkanlah. Awang mahu ulangi ungkapan yang pernah dituis dalam ruangan ini. Ambillah perspektif agama, apa jua yang berlaku telah ditetapkan Allah SWT dan apa yang tidak ditetapkan, pasti dan pasti tidak akan berlaku. Sehebat mana sekalipun manusia merancang, Allah SWT yang menentukannya.

 

Oh jalan

Awang pernah menulis tentang sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Brotherhood yang membela pengguna dalam isu kualiti jalan terutama di Lembah Klang. Brotherhood yang dianggotai rata-rata anak muda, antara lain sanggup menurap jalan berlubang dan rosak tidak kira siang atau malam. Kegagalan PBT menyelia dan mengurus jalan dengan baik; gejala korek dan timbus jalan oleh syarikat-syarikat utiliti dan kualiti turapan yang teruk serta lemahnya penguatkuasaan antara punca masalah tersebut. Selain berbahaya kepada penunggang motosikal terjebak nahas dan menyebabkan kenderaan mudah rosak, ia menyakitkan mata memandang. Awang amati, banyak PBT lebih ghairah mengutip cukai dan melaungkan pelbagai wawasan namun hakikatnya tidak hiraukan soal kualti jalan biarpun banyak aduan pengguna. Melainkan jika pembesar istana dan pemimpin negara mahu melalui jalan berkenaan, barulah responsif. Sebab itu, Awang boleh faham tindakan Timbalan Menteri Sains dan Innovasi, Abu Bakar Mohd. Diah duduk dalam permukaan jalan berlubang di Bukit Rambai, Melaka, baru-baru ini sebagai tanda protes kepada pejabat daerah. Gambar yang beliau muatkan di laman sosial (turut disiarkan muka depan The Sun) mendapat respons ramai yang menyokong tindakan itu. Menurut Abu Bakar, sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu yang dipilih oleh rakyat, beliau kecewa kerana aduannya demi kepentingan awam, juga tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan. Alangkah bagusnya jika ramai wakil rakyat agresif seperti beliau, mungkin tiada lagi jalan berlubang. Awang tabik.

Jubah ketat

Seorang teman menarik perhatian Awang kepada fesyen jubah ketat untuk lelaki, yang diperkenalkan oleh seorang usahawan menerusi laman sosial. Jubah yang sepatutnya dipakai mengikut adab dan tertib bertukar menjadi pakaian yang menjolok mata. Bayangkan pemakaian jubah lelaki kini dicemari dengan fesyen yang liar. Macam tidak percaya tetapi itulah realitinya. Awang harap pihak berkuasa campur tangan dalam isu tersebut bagi mengelakkan ia membawa mudarat sosial yang kemudian hari menjadi lebih parah. Itu belum menyentuh pengusaha tertentu yang memutarbelit dan mengelirukan fakta promosi di laman sosial kononnya jubah tersebut sudah ditempah oleh dua juta pelanggan. Jika benar, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu siasat segera agar syarikat berkaitan tidak terlepas daripada dikenakan cukai sewajarnya. Baru tahu nanti langit tinggi, rendah.