Antara lain beliau mahu meningkatkan kesedaran politik kepada golongan muda. Ramai yang membantah dan tidak kurang yang menyokong cadangan tersebut berdasarkan maklum balas di media sosial. Selama  ini amalannya,  rakyat yang berusia 21 tahun dan ke atas sahaja yang layak mengundi sebagaimana Artikel 119(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Awang bersikap terbuka kepada cadangan  tetapi ia memerlukan kajian lengkap. Sekiranya baik, laksanakanlah sebagaimana di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, India dan Iran, juga Thailand dan Filipina. Tiada apa yang perlu digundahkan. 


Rugi, rugi, rugi...
Ketika ditutup 5 petang Jumaat, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat sedikit kenaikan 1.83 mata kepada 1,694.15 berbanding 1,692.32 Khamis. Sejak Pakatan Harapan ambil alih kerajaan pada 9 Mei, FBM KLCI mencatat penurunan 11 peratus. 

Kejatuhan indeks pada Khamis,  merupakan penurunan selama sembilan hari berturut-turut dan menghampiri paras terendah sejak Februari 2017.

Pelabur asing yang kini menyesuaikan diri dengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad (yang dilaporkan berusaha menyelesaikan hutang negara yang menjejaskan pasaran), telah menarik keluar dana ekuiti setiap hari sejak Mei lalu.

Pelabur asing telah menarik keluar dana AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada ekuiti tempatan bulan ini selepas membawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei, iaitu ketika Pakatan Harapan memenangi PRU-14. 

Faktor luaran turut menjadi penyebab Bursa Malaysia susut iaitu 'perang dagangan' antara AS-China serta faktor harga minyak mentah yang rendah.

Lebih mengganggu fikiran Awang adalah kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM6.09 bilion menerusi 10 syarikat senaraian awam (PLC) selepas  Pakatan Harapan memerintah.   

Menurut laporan The Edge, nilai pelaburan menjunam daripada RM51.21 bilion kepada RM45.12 bilion dalam tempoh sebulan. 

Antara 10 saham utama yang mencatatkan prestasi terburuk adalah Telekom Malaysia Berhad, Axiata Group, Tenaga Nasional Berhad dan Malayan Banking. Semua fakta ini Awang paparkan untuk renungan kita bersama.

Perkembangan ini mengundang kritikan terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan Pakatan Harapan terutama banyak langkah pembatalan inisiatif kerajaan terdahulu dan kewujudan Tabung Harapan supaya rakyat menyumbang. 

Awang berharap kerajaan akan berusaha mengatasi cabaran ini agar tidak mengheret negara kepada kancah ekonomi yang meruncing. Buktikanlah kemampuan. 


Teguran Anwar
Apabila pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim menegur Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya lebih sensitif dan berhati-hati dalam memberi kenyataan agar tidak menjejaskan keyakinan pelabur asing, ramai setuju. 

Awang berpendapat dalam  Guan Eng  ghairah membongkar dan mencari kesalahan kerajaan terdahulu, ia harus lebih kelihatan membina keyakinan semua terhadap kewangan negara. 

Jika tidak, ia akan memberi mesej bercelaru apatah lagi ramai melihat berlakunya  manipulasi fakta hutang negara secara keterlaluan (sehingga terpaksa mewujudkan Tabung Harapan yang memberi kesan psikologi negatif). 

Harus diingat, apa sahaja yang Menteri Kewangan nyatakan sentiasa dinilai oleh penganalisis, agensi penarafan, ekspatriat, diplomat, pelabur dan rakyat keseluruhan. 

Kerajaan baharu Pakatan Harapan harus memberikan harapan kepada rakyat, bukan sebaliknya memberikan gambaran suram dan ketidaktentuan kepada ekonomi negara. 

Awang percaya Guan Eng akan mengambil positif teguran Anwar, yang merupakan bekas Menteri Kewangan. Tidak rugi belajar. 


Rais atau Hannah?
Siapa bakal menjadi Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat kini hangat diperkatakan. 

Calon utama bagi jawatan itu adalah bekas Menteri Kabinet, Rais Yatim yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysi (PPBM) dan Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh. 

Memandangkan jawatan tersebut mempunyai kedudukan yang tinggi dalam perundangan, ia memerlukan seorang tokoh berpengalaman luas untuk mengendalikan persidangan. 

Lebih-lebih lagi Yang Dipertua Dewan Rakyat akan turut memainkan peranan diplomatik antaranya menerima kunjungan dan lawatan ke atas pemimpin luar negara. Awang melihat Rais adalah calon terbaik yang boleh membantu mengangkat imej Pakatan Harapan.
 

Mat Sabu
Ketika menghadiri satu program di perbatasan baru-baru ini, Menteri Pertahanan Mohamad atau Mat Sabu kelihatan memakai jaket coloreng dan berseluar biasa. 

Awang mahu memberi sedikit maklum balas kepada beliau. Adalah lebih sesuai  jika Mat Sabu mengenakan pakaian seragam lengkap dan bukannya ala rojak iaitu atas lain, bawah lain. 

Ini bagi mencerminkan tradisi dan etika berpakaian seragam dalam profesion kententeraan yang begitu dihormati. Sekiranya Mat Sabu enggan atau kurang selesa mengenakan seragam penuh, elok sahaja berpakaian awam dalam lawatan kerjanya. 

Apa pun pada Awang, sebagai Menteri Pertahanan, beliau nampak segak jika berpakaian lengkap. Bukankah begitu?


Sampai Bila?
Setiap kali berlangsung temasya bola sepak Piala Dunia maka bermainlah soalan di benak fikiran bila pula Malaysia akan layak ke pusingan akhir. 

Sebagaimana rakyat Malaysia, Awang juga mengimpikan pasukan negara akan melangkah ke pentas akhir Piala Dunia suatu hari nanti.

Tetapi impian dan realiti, dua perkara yang berbeza. Sejak tiga dekad lalu, prestasi Malaysia di arena antarabangsa merudum dan belum mampu untuk bangkit. 

Daripada pasukan yang pernah dua kali layak ke Sukan Olimpik ( 1972 dan ucapan 1980) dan pemenang gangsa Sukan Asia (1962 dan 1974), kedudukan ranking Malaysia terus merosot dan lebih  banyak kalah. 

Sudah beberapa kali sasaran untuk ke Piala Dunia ditetapkan namun pencapaian Malaysia masih di takuk lama - gagal unggul di peringkat serantau dan tenggelam di Asia. Ada yang menyifatkan misi ke Piala Dunia seakan-akan kisah dongeng buat Malaysia namun Awang tidak mahu berputus asa dengan mengambil inspirasi kejayaan negara kerdil Iceland ke pusingan akhir selain Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi, Iran dan Mesir. 

Maka sudah tiba masanya sasaran ke Piala Dunia dijadikan misi negara, kerajaan dan rakyat, bukan semata-mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara menanti semua itu menjadi kenyataan, kita tiada pilihan melainkan terus bersorak menyokong pasukan negara lain. Setidak-tidaknya terubat sedikit kekecewaan.


Hormatilah 
Langkah Parti Gerakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebagaimana diumumkan semalam, sudah dijangka. 

Pada Awang, keputusan itu harus dihormati dan biarlah Gerakan memilih haluannya sendiri jika itu yang dirasakan terbaik. 

Kekalahan teruk BN pada PRU-14 sehingga hilang kuasa, merubah landskap politik negara. Baru-baru ini, parti-parti komponen BN di Sarawak bertindak meninggalkan BN bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak atas kepentingan politik lokal. Awang percaya BN khususnya UMNO sudah bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan. 

Dengan perkembangan terbaru ini, BN kini dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC. Ketiga-tiga parti inilah yang merintis kerjasama antara parti pelbagai kaum pada 1955. Situasi kembali asal.  Inilah putaran politik.