Maksud petunjuk itu luas maknanya. Ia sekadar ­pengetahuan dan ilmu, data dan fakta, pedoman dan maklumat tetapi petunjuk daripada Allah itu Rabbaniah sifatnya dan mampu membentuk akal fikir dan hati nurani hingga terjelma watak contoh dan mithali.

Turunnya al-Quran di bulan Ramadan memberi erti yang amat besar kepada ahli abid yang sedang melakukan siyam supaya dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dalam maksud melaksanakan yang makruf dan menghindar diri daripada yang mungkar.

Dengan kekuatan akliah manusia tidaklah segala-gala. Binaan ruhiyyah yang menghubungkan akal dengan wahyu menjadikan fikir dan zikir berjalan seiring dan menghasilkan upaya tadabbur yang tinggi akan hal-hal nyata dan hal-hal ghaib.

Al-Quran sebagai faktor hudal linnas dan hudal lil muttaqeen membimbing manusia ke jalan siratul mustaqeen bukannya jalan yang bengkok membawa kepada kesesatan. Petunjuk itu amat penting bagi manusia yang memerlukan sandaran dan pedoman memahami yang ghaib kerana itulah landasan beragama.

Ditanzilkan al-Quran di gua Hira’ memberi makna yang besar kepada seorang Nabi yang amat cintakan kehidupan yang fitrah. Uzlah Nabi cuba mencari ketenangan dan jawapan makna sebenarnya hidup dan kehidupan. Manusia itu sendiri adalah pencari. Dalam usaha pencarian manusia hanya bertemu yang nyata dalam keterbatasan akliahnya.

Al-Quran menghubungkan yang nyata dengan yang ghaib supaya yang nyata itu dikaji kerana setiap kejadian dari Allah tidaklah sifatnya sia-sia tetapi terkandung hikmah yang amat hebat. Tetapi dalam pencarian hidup manusia banyak yang tidak diketahui. Ini menyebabkan kesesatan berlaku sehingga ke hujung hayat.

Surah yang pertama ditanzilkan kepada Nabi Muhammad ialah Iqra’. Ia membawa maksud “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”. Ayat ini memberi makna yang penting bagi manusia iaitu kepentingan ilmu. Ilmu dalam al-Quran adalah suluh. Ia memberi cahaya dan memimpin kebijaksanaan. Darinya manusia terpedoman dan terbimbing dalam kehidupan.

Membaca al-Quran bukan hanya dalam pengertian harfiah untuk mendapatkan fadhilah atau pahala. Al-Quran adalah untuk dimengerti dan difahami baik dari sudut asbab (sebab turunnya) mahu pun dari aspek makna , khulasah dan tafsirnya.

Bacalah! Tidak saja terhubung dengan hal-hal nyata secara empiris tetapi terkandung maksud tadabbur secara rohaniah.  Al-Quran tidak saja bersifat tekstual atau respon kepada apa yang ditanzilkan tetapi lebih bermakna lagi  adalah bersifat kontekstual iaitu sorotan terhadap faktor batini dan ghaib yang memberi makna terhadap kefahaman mengenai manusia, alam, kejadian dan juga peristiwa.

Al-Quran itu sendiri terkandung kisah untuk dijadikan ibrah, perjuangan para Rasul mendepani kerenah kaum yang sezaman dengannya memberikan kita iktibar bahawa sifat kisah dan sejarah adalah mengulangi. Apa yang berlaku di zaman Nabi Lut diulangi kini dalam konteks pola-pola gay dan lesbian yang sedang mewabak. Kalau pada zamannya kaum Lut dihancurkan pada zaman kini umat manusia sedang menghadapi musibah Aids/Hiv yang bakal menghancurkan mereka.

Ayat awal yang turun memberikan petunjuk tentang asal kejadian manusia dari darah beku (alaqa). Ia diperkukuhkan lagi dalam Surah al-Mukminun ayat 12-14 mengenai konsep turabb iaitu tanah yang terkandung banyak rahsia yang terhubung dengan Allah yang Maha Mencipta. Secara saintifik ia memberi asas kepada ilmu mengenai janin atau embriologi dan kedatangan roh kepada manusia.

Roh itu adalah milik Allah dan sifatnya ghaib. Upaya roh membolehkan manusia berfikir dan menjana ilmu. Upaya roh menjadikan kekuatan rohani perkasa dan dapat membeza yang buruk dengan yang baik. Ruh juga memberikan daya kepada manusia supaya ianya menjadi buah amal yang diterima oleh Allah.

Ayat ke 3-5 dalam Surah al-Alaq itu memberikan pedoman kepada manusia mengenai kepentingan alat atau teknologi (kalam) dalam meneroka ilmu (a’lam). Ughul Beg, seorang pakar astronomi Uzbekistan menggunakan balai cerap untuk mengetahui sedikit rahsia alam, cakerawala, bintang-bintang dan kaitannya dengan bumi, cuaca, silih gantian siang dan malam sebagai sunnatullah atau ketentuan dari Allah.

Oleh itu, turunnya al-Quran dalam bulan Ramadan terbinanya tradisi tilawah, tadarus supaya al-Quran tidak saja didekati dengan mengambil barakah harfiah yang dibaca tetapi lebih utama lagi menjadi sumber ilmu yang memberi petunjuk. Manusia boleh jadi pandai atau cerdas-pintar dalam mengingat dan mengkaji sesuatu.

Tetapi ketangkasan akliah saja tidak memadai. Ia menuntut kehebatan ruhiyah yang menjadi titik tolak kepada kelangsungan hidup insan. Petunjuk dari Allah tidak saja memberikan ilham dan inspirasi kepada manusia mengenai sesuatu tetapi juga kebijaksanaan untuk memahami hikmah sesuatu yang dicipta.

Dari situ manusia menerima makna dari maksud kehidupan supaya faktor duniawi dan ukhrawi dapat difahami dengan baik. Darinya usaha pencarian manusia tentang makna diri dan makna kehidupan akan terolah secara zahir tanpa menolak faktor batin. Faktor yang dipandu oleh al-Quran ini bakal menghasilkan manusia yang memiliki sahsiah seimbang dan insan soleh dan solehah yang dirahmati Allah.
DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).