Bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan baik sedia ada, amalan ziarah juga mengajar umat Islam bersyukur dengan nikmat kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT.

Menziarahi pesakit menunjukkan keprihatinan seseorang individu terhadap sahabatnya yang berada dalam kesusahan, malah dalam masa sama membuktikan bahawa ajaran Islam begitu mengambil berat tentang hubungan dan ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Memuliakan amalan baik tersebut, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah telah menganjurkan Program Ziarah Dakwah Bil Hal ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.

Program disertai tujuh petugas yang diketuai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Jawi, Mohamad Rosly Omar.

Bermula pukul 10 pagi, kehadiran kumpulan petugas daripada Jawi di Wad 11A dan 11B PPUM sedikit sebanyak telah memberi kesan positif kepada pesakit.

Antara objektif Program Ziarah Dakwah Bil Hal adalah memberi kekuatan dan membentuk sifat sabar yang tinggi kepada pesakit ketika berhadapan ujian Allah.

Untuk itu, petugas ziarah dakwah bertindak membantu pesakit membina kekuatan diri dan sentiasa reda dengan ujian diberikan, sekali gus mengukuhkan kekuatan pesakit dari segi mental serta rohani.

Semua usaha tersebut diharap dapat melaksanakan tuntutan Dakwah Bil Hal (dakwah melalui perbuatan) dengan menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa pesakit, seterusnya menguatkan semangat pesakit untuk terus dekat dengan Allah dan mentaati perintah-Nya.

Bagi memberi sedikit keceriaan kepada pesakit, kumpulan ziarah dakwah menyampaikan sedikit sumbangan berupa kain pelekat, kain batik serta bahan bacaan panduan ibadah ketika sakit.

Rata-rata pesakit di Wad 11A dan 11B memberikan maklum balas positif dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan bagi membuktikan kepekaan masyarakat terhadap golongan memerlukan.