Dalam konteks di negara ini, zakat fitrah dinilai menerusi harga beras dan di Selangor misalnya kadar zakat ditetapkan RM7 seorang. Persoalannya bagaimana pula sekiranya seseorang itu menggunakan beras yang lebih mahal daripada kadar beras ditetapkan?

Menjawab persoalan tersebut, Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menggalakkan orang ramai membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan. Nilai tersebut adalah RM7, RM14 dan RM21 bagi seorang.

Berikut temu bual bersama Ketua Divisyen Penyelidikan Dan Pusat Kecemerlangan, LZS, Dr. Adibah Abd. Wahab mengulas keperluan kempen yang dijalankan, di samping dalil pensyariatannya mengikut pandangan Islam.

Mimbar: Adakah pelaksanaan ini merupakan fatwa baharu yang diperkenal?

Adibah: Amalan ini bukan baharu, ia dilaksanakan sebelum ini bukan sahaja di Selangor, tetapi beberapa negeri di Malaysia mengikut pusat pungutan zakat masing-masing.

Tetapi pelaksanaannya sebelum ini lebih kepada kesedaran individu. Namun, pada tahun ini, kita memikirkan perlunya usaha untuk menggalakkan umat Islam membayar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan supaya amalan zakat fitrah mereka lebih sempurna dan tepat.

Apakah hukum dan dalil terhadap pensyariatannya?

Zakat wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam yang cukup syarat. Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 12 Disember 2017 menetapkan kadar umum dan minimum zakat fitrah pada tahun ini ialah RM7.

Namun kadar bayaran mengikut harga beras yang dimakan ini hukumnya sunat. Tidak menjadi masalah walaupun kita menggunakan beras yang mahal untuk membayar mengikut nilai minimum iaitu RM7, begitu juga sebaliknya.

“Daripada Abi Said al-Khudri r.a., sesungguhnya kami pada zaman Rasulullah SAW memberinya (membayar zakat fitrah) satu sha’ daripada makanan yang dimakan, satu sha’ daripada kurma.” - Riwayat Bukhari

Apakah keperluan membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan ini?

Kita dituntut untuk melakukan ibadah secara yang terbaik apatah lagi ketika melaksanakan ibadah wajib seperti zakat fitrah.

Melebihkan bayaran zakat fitrah adalah sunat dan lebih afdal (lebih baik) yang akan dikurniakan oleh Allah dengan ganjaran berlipat kali ganda apatah lagi pada bulan Ramadan yang dijanjikan kerahmatan dan keberkatan.

Amalan ini juga merupakan satu peluang untuk mencantikkan amalan wajib selain sedekah sunat yang turut dilaksanakan.

Bagaimanakah kadar pengiraan bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini?

Kadarnya ialah satu sha’ (gantang) makanan asasi iaitu jika di Malaysia ialah beras. Satu gantang Baghdad menyamai 2.6 kilogram. Maka kadar fitrah ditentukan dengan mengambil 2.6 kilogram dan didarabkan dengan harga beras yang dimakan.

Namun, sebagai panduan dan memudahkan pembayar, kita menentukan kadar mengikut kategori beras. Ia berdasarkan harga beras yang dikeluarkan oleh pihak berwajib mengikut harga semasa.

Bagi sesiapa yang menggunakan beras berharga RM2.60 sekilogram, kadar zakat fitrahnya ialah RM7 dan bagi orang ramai yang menggunakan beras lebih mahal iaitu berharga RM2.60 sehingga RM8.80 sekilogram, mereka digalakkan membayar zakat fitrah pada kadar RM14 seorang, manakala bagi yang menggunakan harga beras berharga RM8.80 dan ke atas mereka digalakkan membayar fitrah pada kadar RM21 bagi seorang.

Kelebihan terhadap individu yang melebihkan membayar zakat atau mengikut harga beras dimakan?

Zakat adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan untuk menguji keimanan setiap hamba. Andai kata kita menjadi pemurah dan mampu memberikan lebih atau mengikut harga beras yang dimakan, itu menunjukkan kita berjaya mengikis penyakit kedekut atau bakhil dalam diri.

Rasulullah menggalakkan kita melipatgandakan kebaikan pada bulan Ramadan kerana amalan menunaikan ibadah fardu dalam bulan mulia ini akan digandakan oleh Allah sebanyak 70 kali, manakala amalan sunat akan menerima ganjaran ibadah wajib.

Selain itu, pembayaran zakat ini dapat menyucikan harta dan membawa keberkatan dalam hidup. Banyak harta tidak semestinya bahagia dan sedikit tidak semestinya tidak mencukupi. Itulah keberkatan yang perlu kita cari.

Kemudahan yang disediakan LZS untuk umat Islam membuat pembayaran zakat?

LZS melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini. Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat di 27 cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.

Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil institut pengajian tinggi (IPT) di 14 IPT seluruh Selangor.

Kesemua cawangan LZS beroperasi tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan. Ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

Orang ramai juga boleh membuat pembayaran menerusi dalam talian dengan melayari laman web rasmi LZS, pembayaran kad kredit dan menerusi perbankan dalam talian.

Kadar zakat fitrah mengikut harga beras

Bil Harga bagi 10kg Kadar zakat
   1           <RM26         RM7
   2          RM26 sehingga <Rm88         RM14
   3          RM88>         RM21