Usah terperanjat. Inilah antara senario yang sering berlaku dalam kamus kehidupan individu bergelar amil. Gelagat manusia dalam mentaati suruhan Ilahi terlalu banyak boleh diambil ibrah. Ada yang tulus dan pasrah. Tak kurang juga yang bongkak dan megah. Ibadah yang dilakukan tiada maksud sebuah ketundukan. Tidak kurang pula yang mengungkit-ungkit pemberian. Mendabik dada persis Firaun dan Qarun zaman milenium.

MINDA DAN 
JIWA SI KAYA

Jujur, sukar sekali memahami minda insan-insan ‘kelas tinggi’ sebegini. Tetapi, bukan semuanya begitu. Mereka yang menyulam harta dengan iman dan takwa sentiasa menyejuk jiwa. Menyebut pemberian tersipu malu, suara tertahan menahan sendu walau yang dibayar itu ratusan ribu.

Alhamdulillah kita masih punya hartawan sebegini. Namun, masih ramai yang menganggap dengan memiliki harta seakan dunia berada bawah arahannya. Minda yang penuh dengan fakta dan figura sentiasa berkira-kira dan bermacam kata hatta tatkala melaksanakan ibadah.

Akhirnya pemberian mulia itu hanya dianggap sebagai satu perbelanjaan dalam senarai lebaran imbangan.

Khuatir lagi bila terasa sukar dan dianggap segalanya sebagai beban perbelanjaan. Sehingga hilang rasa manis dan penghayatan dalam mengharap reda Allah.

Dalam Tabaqat Hanabilah karya Ibnu Abi Ya’ala pernah dinukilkan sebuah kisah.

“Tatkala al-Kaludzani Rizqullah bin Musa mengundang Ismail bin al-A’lla’ ke rumahnya. Turut diundang ialah para ulama ummah antaranya Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, Abu Kaithamah. Al-Kaludzani menyediakan makanan yang banyak berupa manisan dan memberikan sedekah kepada setiap tetamu undangannya sebanyak 80 dirham!

“Melihatkan itu, Abu Khaithamah memberi komentar: ‘Ini satu perbuatan yang bersifat boros!’

Mendengar ulasan itu, Imam Ahmad bin Hanbal tampil memberi dimensi minda yang agak berbeza: ‘Seandainya dunia dikumpulkan lalu dijadikan umpama satu suapan. Kemudian seorang Muslim mengambilnya lalu diletakkan ke dalam mulut saudara Muslimnya yang lain, pada hematku ini bukanlah satu pemborosan.’

“Pandangan Imam Ahmad ini disokong oleh Yahya bin Ma’in dalam majlis yang sama.”

Inilah minda dan jiwa yang perlu disemai dalam lapangan sanubari. Tiada yang rugi jika ia hanya kerana Ilahi. Bahkan dipandang tinggi oleh ahli yang tertinggi. Amalan di bumi menerobos sempadan langit lalu sampai ke ‘tangan’ Ilahi. Diterima dipupuk, dibelai dan dijaga hingga menjadi mahar syurgawi di akhirat sana.

IMAN ITU MANIS

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata, iman itu punya rasa. Kemanisan dan kelazatannya mampu dirasai hati. Umpama manisnya makanan dan minuman yang boleh dirasai dengan lidah serta mulut. Iman adalah sarapan dan kekuatan bagi hati sebagaimana makanan jadi kekuatan pada tubuh badan.

Manis dan lazat hanya mampu dirasa ketika jasad itu sihat. Sebaliknya ketika sakit semuanya terasa pahit. Bahkan, ketika sakit semakin parah, meskipun makanan dan minuman itu tidak membahayakan, namun kerana tubuhnya itu sakit maka jasad tidak mampu membezakan rasanya. Begitulah perihalnya hati yang sakit. Tidak mampu merasa manisnya iman dan ibadah yang dilakukan.

Justeru, Nabi SAW mengajar kita merasai perisa dalam beribadah kepada-Nya.

Usai ditanya oleh Aisyah r.a. mengenai maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminun, ayat ke 60:

“Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.”

Tanya Aisyah r.a, “Apakah mereka ini mencuri, berzina dan minum arak lalu takutkan Allah? Maka jawab Baginda: “Tidak wahai anak perempuan al-Siddiq! Mereka inilah orang yang solat, berpuasa dan melaksanakan tuntutan sedekah dan zakat namun mereka takut dan khuatir amalan itu tidak diterima Allah. Mereka inilah yang berlumba-lumba melaksanakan kebajikan.” - Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah.

ZAKAT BUKAN 
ALA KADAR

Ibadah bukanlah sesuatu yang dilakukan sambil lewa tanpa jiwa dan rasa. Zakat bukan ala kadar asal sahaja dibuat. Ia menuntut keikhlasan, rasa ketundukan, kesungguhan dan ketekunan mengharap pandangan dan penerimaan Allah. Usahlah sombong kerana hartamu itu hakikatnya milik al-Mannan. Pinjaman daripada-Nya bernilai amanah terhadap insan.

Nasi berlauk kuih nekbat,

Teh tarik kopi panas,

Ibadah zakat menuntut berkat,

Bersulam iman, ihsan dan ikhlas.