Pengasas YKK yang juga Pengerusi Permai, Tan Sri Annuar Musa berkata, karaoke al-Quran membolehkan pengguna memilih qari dan jenis taranum yang disukai untuk membaca surah pilihan mereka.

Beliau berkata, makmal percubaan teknologi karaoke tersebut dilakukan di Pusat Pembelajaran al-Quran Darul Saadah di Chengal, Ketereh di sini yang turut disertai barisan qari terkenal negeri ini.

"Kita nak cuba tukar tabiat orang suka menyanyi kepada mengaji al-Quran, sebahagian kita suara tidak sedap pun tetapi tetap suka menyanyi.

"Jadi kita berusaha gunakan konsep karaoke ini dengan bacaaan al-Quran di mana pengguna boleh bersama-sama membaca bersama keluarga.

"Kita gabungkan dengan visual yang menunjukkan kebesaran Allah dengan diiringi pilihan cara bacaan qari-qari terkenal," katanya semasa berucap pada majlis penutup Seminar Pengurusan Masjid dan Surau 2017 di sebuah hotel di sini hari ini.

Program julung kali anjuran YKK dan Permai dengan tema 'Bagaimana Menjadi Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid Berkesan' tersebut disertai oleh 300 pegawai dan ahli jawatankuasa masjid khususnya dari kawasan Parlimen Ketereh. -UTUSAN ONLINE