Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Yakinlah Allah akan membantu

UMAT Islam perlu membuktikan keyakinan terhadap Allah dengan melaksanakan 2
UMAT Islam perlu membuktikan keyakinan terhadap Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dalam apa juga keadaan. GAMBAR HIASAN

“JIKA bukan kerana mengambil keputusan untuk berhenti kerja, mungkin sehingga sekarang saya adalah seorang pekerja kontrak yang bekerja di bawah terik matahari,” kata Yusha Evans.

Walaupun dalam keadaan terdesak dan memerlukan, namun kerana yakin apa dilakukan, membuatkan Evans yang kini merupakan pendakwah bebas antarabangsa nekad meletak jawatan serta merta pada masa itu.

“Ketika itu saya baru memeluk Islam dan berhijrah ke Florida, Amerika dari tempat kelahiran di Greenville, South Carolina untuk mencari kerja. Agak susah mendapatkan pekerjaan pada masa itu dan inilah tempat pertama saya diterima kerja.

“Keputusan itu dibuat setelah saya dilarang oleh majikan untuk berehat sebentar bagi menunaikan solat Jumaat. Biarpun pada hari cuti umum seperti Hari Natal saya sanggup bekerja, tetapi larangan ini saya tidak dapat terima,” ujarnya dalam ceramah umum yang disampaikan.

Siapa sangka keputusan yang dibuat tanpa sebarang persediaan lain itu dipermudahkan oleh Allah SWT apabila beliau dipertemukan dengan seorang ahli perniagaan dari Palestin selepas selesai menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut.

“Saya yakin, Allah ada bersama dan hanya kepada-Nya tempat bersandar. Saya tidak akan melanggar perintah-Nya semata-mata kerana perkara dunia. Namun, pada masa itu saya tidak mengetahui apa yang ingin dilakukan.

“Bagaimana ingin mencari nafkah untuk diri dan keluarga kerana saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Lalu selepas solat Jumaat saya berdoa, “Ya Allah, rezeki aku berada di tangan-Mu”. Ketika ingin keluar daripada masjid, saya terjumpa seorang lelaki.

“Dia menghampiri dan menegur saya: “Saudara apa pekerjaan kamu?”

Saya berkata: “Sebenarnya saya baru berhenti kerja.”

Tanpa disangka, dia berkata: “Kebetulan, saya sedang mencari seorang pekerja.” lalu lelaki itu menawarkan pekerjaan di Restoran Pizza miliknya yang baru dibuka di sini (Florida, Amerika) dan memberikan saya gaji dua kali ganda daripada gaji kerja lama,” katanya.

Begitulah antara kisah dikongsi oleh bekas penganut Kristian itu yang berlaku kepadanya setelah memeluk Islam.

Menamatkan pengajian sekolah tinggi pada 1996, kehidupan Evans berubah apabila beliau mula mengkaji dan menyedari terdapat pelbagai kekeliruan dalam kitab panduan agama lama yang dianuti.

Sejak daripada itu, beliau nekad untuk mencari kebenaran dengan mula membuat kajian dan perbandingan agama sehinggalah bertemu seorang lelaki yang memberikannya al-Quran. Setelah mengkaji al-Quran, Evans akhirnya memeluk Islam pada 1998.

Evans berkata, umat Islam perlu yakin bahawa Allah yang mengurniakan rezeki dan melindungi setiap hamba-Nya dengan melaksanakan setiap perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam apa juga keadaan.

“Jika kita menjaga dan mencintai Allah lebih daripada segalanya, percayalah, nescaya Allah juga akan mencintai kita dan mengurniakan pelbagai kelebihan kepada kita sejak di dunia Ini.

“Ia sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (hai Jibril) si Fulan itu. Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang kepada seluruh penghuni langit memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (hai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah penerimaan baginya (yang dimaksudkan ialah kecintaan padanya) di kalangan penghuni bumi.” - Riwayat Muttafaq alaih,” jelasnya.

Oleh itu tambahnya, jika majikan tempat bekerja tidak membenarkan kita beribadah, bermakna pekerjaan itu bukan untuk kita.

“Apabila kehilangan segala-galanya seperti pekerjaan, kita sering menganggap sudah tidak ada apa-apa atau tiada harapan, hakikatnya ketika kamu berharap kepada Allah, itulah segala-galanya buat kamu.

“Jika mereka tidak mengizinkan kamu solat atau berhijab, pasti mereka juga tidak akan membenarkan melakukan kewajipan lain sebagai umat Islam,” jelasnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain