Anugerah yang pertama kalinya dianjurkan rentetan daripada Anugerah Ibu Mithali pada tahun 2014 itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada seluruh institusi keluarga, bukan sahaja kepada ibu tetapi bapa dan anak.

Di samping itu, anugerah ini juga diwujudkan dalam usaha melahirkan keluarga mithali contoh sebagai teladan atau role model kepada seluruh anggota masyarakat.

Idea penganugerahan ini tercetus daripada keadaan semasa isu sosial melibatkan institusi kekeluargaan di negara ini. Jika dilihat daripada data yang ada, setiap satu jam empat pasangan bercerai manakala enam anak tak sah taraf dilahirkan.

Data ini membimbangkan. Tetapi dalam kebimbangan ini kita berbangga kerana masih boleh bermegah dengan kewujudan keluarga dalam masyarakat. Penekanan kepada peri pentingnya pembentukan sebuah keluarga mithali dalam masyarakat perlu diamati dan diungguli demi kesejahteraan negara pada masa akan datang.

Pada 2014 Yadim memberi anugerah kepada empat kategori yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong. Majlis gilang gemilang itu disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Tentunya pada abad ke-21 ini, membina keluarga mithali lebih mencabar kerana kebanyakan keluarga hari ini kedua-dua ibu bapa bekerja. Persoalannya, siapakah yang menjaga, mengurus dan mendidik anak-anak? Selain itu, banyaknya kes perceraian, keganasan rumah tangga, kelahiran tidak sah taraf dan penganiayaan terhadap kanak-kanak serta warga tua, menjadikan masyarakat merasakan kita ketandusan nilai kehidupan keluarga yang harmoni.

ISYARAT KELUARGA BAHAGIA

Anugerah Keluarga Mithali ini memberi isyarat kepada masyarakat bahawa masih ada banyak keluarga bahagia dan mithali dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Kita juga ingin mengembalikan kepada masyarakat tentang erti perkahwinan seperti dalam firman Allah SWT bermaksud: “Dan sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah, bahawa telah Dia jadikan jodoh untukmu daripada manusia sesama kamu, supaya kamu berdiam padanya. Dan Dia (Allah) jadikan antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir,” (ar-Rum:21).

Selain itu, kita juga ingin melihat nilai kasih sayang yang tinggi dalam keluarga seperti dalam sebuah hadis diriwayatkan Anas bin Malik ketika menggambarkan kasih sayang Rasulullah kepada anak-anak. Beliau mengatakan, “Tidak pernah saya melihat seorang yang lebih cinta kepada keluarganya lebih daripada Rasulullah.” - Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, Usamah bin Zaid bercerita: “Rasulullah pernah mendudukkan aku pada satu pahanya dan mendudukkan Hasan pada paha yang satu lagi. Kemudian beliau merangkul kami berdua sambil berdoa: “Ya Allah cintailah kedua-duanya, sungguh aku mencintai mereka berdua.” - Riwayat Bukhari

Ayat al-Quran dan hadis ini menunjukkan bahawa keluarga yang dibina kerana Allah akan mendapat keberkatan daripada-Nya. Inilah keluarga yang dicari dalam Majlis Anugerah Keluarga Mithali. Inilah bapa mithali yang ingin dicari dan ibu Mithali seperti isteri-isteri nabi.

Borang penyertaan Anugerah Keluarga Mithali boleh didapati di pejabat Yadim dengan menghubungi 03-88703870 sambungan 3962/3982, atau Puan Norhayati melalui talian 0192810323 atau menghantar e-mel kepada [email protected]