Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, terdapat 200 badan pengiktirafan sijil halal di serata dunia yang mengguna pakai sijil dan logo masing-masing sekali gus menjadi satu lagi cabaran untuk menegakkan integriti halal.

“Walau bagaimanapun, caba­ran berkenaan tentunya ada jalan penyelesaian. Kita perlu mewujudkan keseragaman pengiktirafan bersama antara pensijilan masing-masing.

“Saya sangat berharap perkara ini diambil tindakan serius untuk direalisasikan,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, kerajaan mengambil pendekatan holistik bagi mewujudkan ekosistem halal untuk muncul sebagai hab halal global.

Katanya, kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyatakan minat untuk membangunkan ekosistem itu di negara ini.

‘‘Saya juga mahu mengajak negara-negara anggota ASEAN lain untuk meningkatkan kerjasama strategik bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk halal.

‘‘Aspek halal bukanlah menjadi agenda satu negara sahaja tetapi ia merupakan usaha ba­nyak pihak sekali gus menuntut pembangunan program berstruktur dan efisien untuk membawa agenda ini sebagai industri utama,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, nilai eksport produk halal negara menunjukkan pe­ningkatan memberangsangkan de­ngan mencatat kenaikan daripada RM23.9 bilion pada 2011 kepada RM39.3 bilion pada tahun lalu dan dijangka nilai berkenaan melebihi RM50 bilion menjelang 2020.

Beliau turut memberitahu, nilai pelaburan taman halal Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (Halmas) setakat akhir tahun lalu berjumlah RM11.8 bilion dengan RM7 bilion disumbangkan pelabur asing di samping telah mencipta 10,941 peluang pekerjaan.

Pameran antarabangsa yang berlangsung selama empat hari tersebut disertai sebanyak 580 pempamer dari 33 buah negara.