Katanya, kepemimpinan ulama perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengajak umat Islam supaya bersatu dan menjadikan budaya Quranik, iaitu al-Quran serta hadis sebagai rujukan utama dalam setiap perkara.

“Apabila umat Islam dapat membentuk akal Quranik dalam ummah, ia sekali gus mewujudkan sahsiah atau keperibadian Quranik, akhirnya ummah Quranik dapat diwujudkan.

“Kita harus jadikan al-Quran sebagai tapak tasawwur yang visinya jauh berpandangan ke hadapan dan akan menentukan ummah bukan untuk tiga hari atau 30 tahun tapi jangka masa panjang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Majlis tilawah dan menghafaz berlangsung selama enam hari bermula semalam sehingga 8 April ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, antara perkara yang mengancam perpaduan rakyat masa kini adalah perbezaan fahaman dalam kalangan umat Islam serta penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

Katanya, kemajuan teknologi maklumat ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, masyarakat perlu bijaksana dalam menyaring serta menapis segala maklumat yang disebarkan.

“Semua lapisan rakyat perlu sentiasa bersyukur di atas kurniaan keamanan yang dinikmati di samping berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekal dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.

“Ini seiring dengan tema maj­lis tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan ka­li ini iaitu Ukhuwah Islamiah Asas Pe­nyatuan Ummah,” jelasnya.