Walaupun pelbagai usaha dan langkah dilakukan sehingga ke peringkat global, namun kekejaman dilakukan oleh Presiden Syria, Bashar al-Assad itu masih menemui jalan buntu malah dipandang sepi oleh pihak berkuasa dunia.

Kesannya, ratusan ribu rakyat terkorban manakala berjuta-juta yang lain terpaksa menjadi pelarian meninggalkan kediaman masing-masing bagi menyelamatkan diri daripada terkena serangan secara rambang oleh pihak tentera.

Sehubungan itu, dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terutama masyarakat negara ini mengenai penderitaan dilalui masyarakat Syria, pertubuhan misi kemanusiaan, Aman Palestin menganjurkan kempen World Syria Hour.

Program yang akan berlangsung selama satu jam pada 18 Mac ini bermula pukul 11.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari itu juga bertujuan mengumpul dana bantuan untuk disumbangkan kepada penduduk Syria yang tertindas dan memerlukan bantuan.

Pengurus Pemasaran Aman Palestin, Mohammad Faizal Mohd. Safri berkata, kempen tersebut lebih memfokuskan kepada orang ramai untuk membantu menyebarkan maklumat mengenai keadaan di Syria dalam masa sama menyalurkan sumbangan ke tabung Aman Palestin.

“Dalam tempoh itu, kita menyasarkan kutipan sebanyak RM160,000. Kita berharap semua masyarakat negara ini tidak kira bangsa dan agama dapat turut sama memberi sokongan dengan hanya berkongsi video, artikel, gambar dan info grafik pembunuhan di Syria menerusi laman sosial masing-masing serta menyumbang serendah RM10.

“Daripada jumlah kutipan itu akan ditambah dengan dana sedia ada untuk disalurkan dalam bentuk keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal serta kesihatan perubatan kepada mereka yang memerlukan di Syria,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar kempen World Syria Hour di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab.

Acara kemuncak World Syria Hour bakal berlangsung pada 17 Mac sehingga 19 Mac ini di Dewan Kristal, TM Convention Centre, Kuala Lumpur. Dengan slogan ‘One Hour To Feel Them’, program terbuka kepada penglibatan masyarakat awam bagi mendedahkan mengenai peristiwa dan keadaan sebenar berlaku di Syria.

Antara program yang bakal diadakan termasuk busking, Sesi Meet & Greet bersama Duta Aman Palestin, perkongsian bersama Duta Aman Palestin dan Live Art Demonstration.

Tabung Bantuan Aman Palestin bagi kempen World Syria Hour turut akan diedarkan bagi menggalakkan orang ramai menderma serendah RM10.

KURANG KESEDARAN

Sementara itu, duta Aman Palestin, Muhammad Firdaus Maulana Mohamed berkata, kesedaran orang ramai terhadap kesengsaraan rakyat Syria masih berada pada tahap kurang memuaskan terutama bagi generasi muda.

Justeru tambah bekas peserta program realiti televisyen itu, merasa terpanggil untuk bersama Aman Palestin memberi penjelasan mengenai keadaan yang berlaku di Syria dan Palestin dalam masa sama meningkat kesedaran khususnya umat Islam terhadap saudara seagama di kedua-dua negara tersebut.

“Ramai dalam kalangan kita masih tidak mengendahkan apa yang berlaku kepada penduduk di Syria sehingga ada menggelar Zombi World, kubur besar dunia dan sebagainya.

“Kita hanya akan sedar apabila berlaku sesuatu serangan besar-besaran atau waktu tertentu sahaja, sedangkan mereka memerlukan bantuan daripada kita setiap masa. Saya berharap bantuan yang diberi ini tidak bersifat bermusim tetapi konsisten agar lebih meringankan bantuan mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke dalam akaun Aman Palestin 12029010047880 (Bank Islam Malaysia Berhad) dan 562263010787 (Maybank Berhad) atau mengikuti perkembangan situasi terkini di Syria dan Palestin menerusi laman Facebook rasmi Aman Palestin