Apabila ditanya, pastinya tiada siapa dalam kalangan umat Islam yang mengaku mengikut telunjuk golongan itu. Namun sedari atau tidak kebanyakan amalan yang dilakukan oleh mereka sebenarnya diikuti umat Islam hari ini.

Buktinya, pelbagai budaya dan gaya hidup negatif dilihat semakin menular dalam kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia.

Guru Sekolah Menengah Islam IQKL, Taman Tun Dr. Ismail, Mohd. Solleh Ab. Razak berkata, antara agenda terancang orang kafir bagi menggugatkan akidah umat Islam adalah dengan memperkenal pelbagai gaya fesyen terkini.

Katanya, orang kafir menyedari tidak mampu memaksa umat Islam mengikuti mereka secara terang-terangan, justeru mereka menggunakan kaedah halus iaitu menerusi pemakaian umat Islam.

“Pada peringkat permulaan mereka memperkenal pakaian singkat seperti skirt pendek. Ada umat Islam memakai pakaian ini tetapi sedikit.

“Lalu diperkenal pula kain belah. Ada yang berbaju kurung tetapi terbelah sehingga menampakkan lutut.

“Suatu ketika dahulu fesyen belah ini menjadi popular, namun masih tidak ramai pengikut.

“Seterusnya mereka memperkenal pula pakaian ketat. Ini yang kita lihat berleluasa sekarang. Walaupun berpakaian menutup tubuh tetapi menampakkan segala bentuk tubuh,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar, baru-baru ini.

Tambah Mohd. Solleh yang juga penulis buku, ‘Diva Solehah’, walaupun agenda itu tidak tercapai sepenuhnya, namun sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi golongan sasar sehingga sanggup mengorbankan wang ringgit bagi mengikuti fesyen diperkenal.

“Alasan mereka tidak mahu ketinggalan. Sebab itu sekarang sukar membezakan pakaian patuh syariah atau tidak.

“Jika dahulu apabila bercakap mengenai jubah pasti orang menganggap sopan dan menutup aurat, tetapi kini sebaliknya.

“Ada jubah direka dengan sengaja untuk menampakkan lentok tubuh menggunakan jenis kain nipis dan melekat sehingga kelihatan lebih seksi dan menarik perhatian lelaki,” katanya.

PAKAIAN GAMBARAN IMEJ ISLAM

Dalam pada itu, Mohd. Solleh berkata, menutup aurat merupakan tuntutan agama yang jelas dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Ia bertujuan membezakan umat Islam dengan agama lain di samping sebagai simbol ketaatan kepada Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” (Al-Ahzab: 59)

“Setiap garis panduan ditetapkan Islam adalah berasaskan kepada perintah Allah, oleh itu ia wajib dipatuhi dan dilaksanakan.

“Umat Islam berpakaian mencolok mata secara tidak langsung memberi gambaran negatif terhadap agama.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana, jika kita tahu sesuatu perbuatan itu boleh memburuk dan mempersenda agama tetapi masih melakukannya ia dikhuatiri boleh menjejaskan akidah,” katanya.