Kecelaruan itu antaranya terdapat suara-suara yang mencabar kesucian Islam dan mempertikai kedudukan agama suci itu dalam perlembagaan negara ini.

Hal ini amat mendukacitakan dan jika dibiarkan boleh menjejaskan keharmonian beragama di negara ini. Sebagai Muslim, harus memahami dan menyakini bahawa agama tauhid itu dibawa oleh Nabi dan diajarkan kepada umat manusia.

Islam adalah agama yang mempunyai sumber dan ajaran jelas. Oleh itu, gagasan selain tauhid hanya mengundang masalah lebih besar berbanding menjadi penyelesaian kepada hubungan antara agama.

Kecelaruan seumpama ini amat berbahaya jika diterapkan ke dalam negara. Malaysia adalah sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Manakala Islam yang diamalkan pula adalah berasaskan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru, perlu diyakini, bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah ajaran rahmatan lil alamin dan diredai oleh Allah SWT.

Ini sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (al-Imran: 19)

ANCAMAN PELBAGAI BENTUK

Isu membabitkan ancaman terhadap akidah Islam datang dalam pelbagai bentuk seperti ajaran sesat, perbomohan, amalan khurafat dan tahayul serta aliran pemikiran yang menyeleweng.

Yang pasti, ancaman ini menjadi perangkap kepada kerosakan akidah dan akhlak yang kronik sehingga berani menggugat hukum Allah SWT.

Antara kesan-kesan yang bakal berlaku ialah:

  • Minda individu menjadi terkongkong malah tercetusnya perbuatan dan kelakuan yang tidak rasional kerana sifat ketaksuban mereka.
  • Menjadi lupa kepada tanggungjawab diamanahkan Allah sehingga menyebabkan berlakunya keruntuhan institusi yang dibina.
  • Perpaduan menjadi tergugat ekoran berlakunya keganasan dan penindasan sesama sendiri kerana masing-masing ingin menjadi kumpulan yang unggul serta mencari pengaruh.

Justeru, umat Islam diseru agar mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan Islam, bagi mengelakkan daripada tersesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Malah, di zaman teknologi komunikasi kini menyaksikan banyak lambakan maklumat mengelirukan berkaitan Islam diperoleh daripada Internet. Ini turut menyumbang kepada wujudnya pelbagai persepsi dan kecelaruan dalam masyarakat.

ISLAM MENGUBAH KEHIDUPAN

Kewujudan Islam berjaya mengubah kehidupan peribadi dan cara bermasyarakat umat Islam di negara ini. Ini terbukti dalam perubahan cara hidup masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka daripada sistem politik warisan Tamadun Hindu-Buddha kepada sistem Islam yang menyeluruh.

Islam kemudiannya muncul sebagai suatu kuasa politik baharu yang mampu mengatur kehidupan manusia dan memerintah negara.

Rentetan itu, masyarakat mula memahami bahawa kuasa pada pemerintah bukanlah mutlak tetapi adalah amanah yang dipinjamkan oleh Allah SWT. Tanggungjawab dan amanah seorang pemimpin dalam menggalas kuasa politik Islam bagi menegakkan syariah sering ditekankan dalam urus tadbir pemerintahan.

Ia dengan mengibaratkan pemerintah dan para rasul sebagai dua biji permata dalam sebentuk cincin. Apabila pemerintah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh rasul, maka samalah dengan memenuhi tugas kepada Allah untuk sama-sama memakmurkan dunia.

PEDOMAN

  • Ketegasan pemimpin dalam menggalas amanah menegakkan syariah akan mengelakkan kecelaruan beragama dalam kalangan umat Islam.
  • Umat Islam yang berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang akan menjadi pendokong kepada kepimpinan Islam.
  • Umat Islam 
perlu kembali bersatu berasaskan hakikat kita menyembah Tuhan yang satu 
iaitu Allah.