Buktinya, saban hari ada sahaja ajaran sesat yang dilaporkan cuba mempengaruhi mentaliti masyarakat bukan sahaja kepada golongan tidak berpelajaran malah berpelajaran tinggi.

Ajaran sesat atau fahaman mulhid adalah kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Sejarah menunjukkan, fahaman mulhid atau ateisme mula berkembang pada abad ke-19 dan menjadi satu aliran pemikiran yang menafikan kewujudan tuhan dengan alasan ingin bebas daripada ikatan agama.

Menurut perspektif Islam, golongan ini hanya berpegang kepada prinsip logik dalam membuktikan sesuatu perkara termasuk kewujudan Allah SWT. Mereka berpendirian bahawa semua kepercayaan beragama yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik adalah tidak benar.

Dengan segala bentuk persoalan logik akal yang diutarakan, dikhuatiri akan mempengaruhi seseorang Muslim yang kurang jati diri dan pegangan iman kukuh. Mereka akan mudah menyokong fahaman ini yang dilihat begitu terbuka dan longgar daripada pedoman agama.

Fahaman ini memberikan akal manusia bebas untuk mengkaji sesuatu di luar kemampuan pemikiran tanpa berpandukan kepada petunjuk wahyu sama ada al-Quran atau sunah. Mereka percaya adanya agama tetapi menafikan kewujudan Tuhan.

Kepercayaan seperti ini adalah merupakan sifat kufur yang berdosa besar.

Firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, malaikat, kitab, rasul dan juga hari akhirat, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (an-Nisa: 136)

LEMAH IMAN PUNCA TERPENGARUH

Pemerhatian yang dilakukan mendapati, ramai dalam kalangan masyarakat terpengaruh dengan fahaman sesat ini disebabkan lemah pegangan iman kepada Allah, kurang didikan agama, mementingkan diri, material dan nafsu, bangga dengan darjat keturunan sehingga sanggup mengasingkan agama daripada kehidupan serta berfikiran sempit.

Lantaran itu, golongan mulhid ini mudah mempengaruhi pemikiran umat Islam yang lalai dengan ajaran Islam. Mereka menggunakan medium media massa dengan mengagungkan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan Islam.

Mereka juga menimbulkan pelbagai keraguan tentang kebaikan syariat Islam, melakukan aktiviti melalaikan dan tidak berfaedah serta gemar membudayakan perkara yang bertentangan dengan Islam demi kepuasan diri sendiri.

Hakikatnya, kepercayaan golongan ini boleh mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan prinsip kehidupan beragama serta memusnahkan kepercayaan kepada tuhan yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini.

Justeru peranan semua pihak amat diperlukan bagi membasmi penularan fahaman ini:

1 Peranan ibu bapa dan keluarga

* Ibu bapa dan keluarga adalah pihak yang utama untuk mengelakkan fahaman ini daripada menular dalam keluarga. Ajarlah anak-anak dengan acuan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, ilmu agama dan akhlak Islam kerana ia mampu menyelamatkan mereka daripada pengaruh ajaran sesat.

2 Peranan institusi pendidikan

* Sokongan daripada guru dengan memberikan kefahaman yang jelas tentang perkara-perkara dibenar dan dilarang dalam Islam. Ini menyebabkan mereka faham, menghayati dan meyakini segala ajaran agama. Hasilnya, kekeliruan dan kejahilan dapat dielakkan lebih awal.

3 Peranan pihak 
berkuasa

* Pihak berkuasa juga boleh bertindak sebagai penggerak dalam usaha membasmi penularan fahaman berkaitan akidah dalam kalangan masyarakat. Mereka boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Islam dalam menyekat penularan secara lebih berkesan.

4 Peranan masyarakat

* Sememangnya peranan masyarakat tidak dapat dipisahkan dalam membanteras fahaman sesat ini. Masyarakat yang prihatin dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa dapat mempercepat proses mengekang penyebaran fahaman ini.