Jika diamati, pendekatan ini menjadi asas peruntukan “Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain dijamin kebebasan untuk diamalkan oleh penganutnya”. Ia menjadi sandaran utama kesejahteraan dan kestabilan hari ini.

Sejak sekian lama, negara mengamalkan keseimbangan dalam pengagihan kekayaan, kuasa politik dan penggunaan bahasa kebangsaan. Bagi tujuan ini, saya cuba menghuraikan kepentingan pendekatan wasatiyyah sebagai sebahagian daripada asas pembinaan negara Malaysia.

Pendekatan wasatiyyah tidak bercanggah dengan dasar kepimpinan terdahulu. Kabinet meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara (DWN) pada 21 Oktober 2016 yang bermatlamatkan:

  • Meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia terhadap pendekatan wasatiyyah.
  • Menyelesaikan permasalahan masyarakat yang dibelenggu isu integriti, ekstremisme, radikalisme.
  • Memperkukuh semangat toleransi dalam kalangan rakyat.
  • Membangun bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai, etika.
  • Menjadikan wasatiyyah sebagai cara hidup rakyat Malaysia.

Kerajaan turut merangka Pelan Strategik Pendekatan Wasatiyyah (2016 hingga 2020). Pelan ini merupakan dokumen penting DWN dalam melahirkan masyarakat harmoni melalui pengamalan dan penghayatan pendekatan wasatiyyah dalam setiap aspek kehidupan.

DWN membantu memperkasa misi nasional seiring dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50); Gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

PENGAJARAN DARIPADA TAMADUN TERDAHULU

Dalam sejarah ketamadunan terdahulu, keruntuhan sesebuah tamadun adalah kerana wujudnya dua golongan yang ekstrem dan keterlaluan, iaitu:

1. Pihak yang melampau sifatnya - memayahkan sesuatu tindakan hingga membebankan.

2. Pihak yang terlalu mengabaikan - menjadikan akal sebagai kayu ukur hingga tidak mempedulikan batasan agama, prinsip asas dan keutamaan.

Walau apa jua situasinya pada 2050, pendekatan wasatiyyah perlu menjadi teras pemikiran generasi akan datang. Pendekatan wasatiyyah diperkasa dalam gagasan TN50 dan merakyatkan pendekatan wasatiyyah dalam kehidupan masyarakat.

Pendekatan wasatiyyah perlu menjangkau politik kepartian, menjadi agenda untuk menguatkan keseluruhan umat dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara.

Semua pihak perlu memupuk pemikiran kesederhanaan dengan menjadikan pendekatan wasatiyyah sebagai mekanisma penyatuan rakyat berintipatikan kesederhanaan, pertengahan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan perlu dijadikan amalan dalam setiap tindakan sama ada pada peringkat rakyat mahupun kerajaan. Prinsip maqasid syariah, Piagam Madinah, siyasah syariyyah, fiqh awlawiyyat dan hikmah merupakan tonggak pendekatan ini.

PERLU SENSITIF, SENTIASA BERWASPADA

Masyarakat perlu sensitif terhadap isu dan cabaran yang membelenggu kini. Fahaman radikal dalam isu-isu tertentu yang menjurus kepada perpecahan dan mengganggu keharmonian perlu ditangani untuk melahirkan generasi unggul bersifat wasatiyyah.

Justeru idea kesederhanaan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diketengahkan dalam merangka strategi ke arah mewujudkan keadilan, kesamarataan, peluang dan keamanan sejagat yang menjadi hala tuju TN50.

Malah pendekatan ini diterima pada semua peringkat dalam negara dan antarabangsa. Pendekatan wasatiyyah perlu menjadi teras gagasan TN50.

Sudut pandang ummatan wasata sebagai umat pilihan lagi adil direalisasikan walau dalam apa jua arus kemodenan yang dihadapi ketika memasuki tahun 2050 dan Malaysia mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada tahun 2057.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan memanggil Nabi Nuh a.s dan baginda menyahut panggilan tersebut. Allah kemudian bertanya kepada Nuh: Adakah engkau sudah menyampaikan (risalah pada kaum engkau)? Nabi Nuh menjawab: Ya. Kemudian Allah memanggil kaumnya dan bertanya: Adakah kamu telah menerima (risalah daripada Nabi Nuh)? Kaumnya menjawab: Tidak datang kepada kami sebarang Rasul (pemberi peringatan). Kemudian Allah berkata pada Nabi Nuh: Jadi siapa yang akan jadi saksi engkau? Maka Nabi Nuh menjawab: Muhammad SAW dan umatnya. Kemudian Rasulullah berkata: Maka kamu akan menjadi saksi bahawa beliau telah menyampaikan. [Dan Rasul akan menjadi saksi ke atas kamu semua]. Atas sebab itulah Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud:

Demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) satu umat pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu,” - Riwayat Bukhari.

Kerja keras menjayakan TN50 perlu diteruskan dengan memastikan Malaysia berada pada landasan yang betul. DWN adalah satu dasar yang dirangka bagi mengetengahkan pendekatan kesederhanaan untuk memastikan negara kekal aman dan harmoni.

Pendekatan wasatiyyah menjadi kerangka pentadbiran negara. Ia menjadi nilai tambah kepada sistem tatakelola dan tadbir urus negara.

DWN dilaksanakan 
melalui enam bidang 
strategik iaitu:

1. Pendidikan dan belia

2. Ekonomi dan pembangunan

3. Pentadbiran dan perundangan

4. Perpaduan dan sosial

5. Politik dan kenegaraan

6. Keselamatan dan pertahanan.