Ibadat Umrah

Letih dan penat, maklumlah puasa. Malam pula sangat ramai, siang lebih lapang. Namun cuaca pada siang hari boleh mencecah 45 darjah Celsius, tapi apa pun, ganjarannya mengikut sepotong hadis, bersamaan pahala ibadat haji. Jika penat sangat, boleh sewa skuter untuk saie. Ada ongkos, tapi selesa.

Tarawih

Bersama jutaan jemaah - Tidak ada masjid lain mengatasi ganjaran beribadat di Masjidilharam, bahkan ini tarawih teramai di dunia. Ada rezeki, terus melihat Kaabah di hadapan. Syahdunya, berimamkan pula Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais atau pasukan beliau. Memang membelah keheningan malam.

Iftar

Lebih fokus mengikut sunah berbuka puasa. Tamar, air, susu laban dan makanan ringan seperti biskut. Terus maghrib berjemaah. Tiada kekenyangan tersandar akibat penangan bazar Ramadan hingga susah nak maghrib. Namun, nikmat untuk mereka yang berpuasa tetap sama seperti mana janji-Nya.

Sedekah

Sana sini terutama warga tempatan mengedarkan juadah berbuka, umpama pesta bersedekah. Peknya ringkas berisi beberapa biji kurma, air kotak atau susu laban bersama roti atau biskut tapi kesungguhan mereka menderma bagi merebut ganjaran memberi makan orang berpuasa sangat menginspirasikan. Selain itu, banyak premis makanan mengagihkan juadah berdasarkan sumbangan orang ramai. Saat pengagihan memang jadi tumpuan jemaah-jemaah kurang berkemampuan yang ‘berumah’ di sekitar Masjidilharam.

Witir

Bacaan doa qunut dalam solat sunat witir memang lebih panjang daripada kelaziman di tanah air. Tidak faham makna, tapi uniknya sangat menusuk jiwa. Tambahan pula bacaan Dr. Sudais. Boleh mencecah berminit-minit. Tapi satu pengalaman yang sukar diceritakan perasaannya. Sama menitis air mata keinsafan daripada hamba yang mencari keampunan pencipta-Nya. Yang umrah awal Ramadan juga berpeluang qunut dalam witir.

Taaruf

Memanjangkan silaturahim. Jemaah kiri dan kanan memang tidak dikenali, datang dari seluruh pelosok dunia. Namun bukan penghalang untuk berbalas senyuman paling tidak. Ada rezeki, saling bertukar juadah berbuka. Tidak perlu mangkuk tingkat, sekadar sebiji epal atau sekeping biskut cukup membuatkan senyuman terukir.

Makan

Selepas maghrib, peluang makan berat. Seperti biasa, Melayu cari nasi. Di tanah Arab carilah juadah mereka. Nasi bersama ayam panggang atau pun ikan goreng, tiada kuah kari seperti lazim kita. Namun, cukup menyelerakan. Carilah di pusat beli-belah di sekitar Masjidilharam, harga berpatutan, satu boleh dikongsi dua orang. Atau boleh cuba ayam AlBaik yang masyhur itu. Azan isyak dilewatkan sejam, jadi masa cukup.

Ais krim dan air tebu

Bukan tidak ada di tanah air, tapi kelazatannya, memang lain macam. Kalah budak-budak makan ais krim. Nak pula, tebu Mekah. Manis memang terangkat, tumpuan jemaah pelbagai bangsa selepas bertarawih. Rahsianya, barang kali sebab tebu-tebunya halus banding kita. Di mana ditanam, wallahualam.

Kopi berempah (gahwa)

Ini minuman wajib jemaah tempatan. Diusung mereka dalam thermos masuk ke masjid untuk berbuka. Yang bukan Arab, juga akan dihulur cawan kecil. Jangan ditolak, jika tidak kena marah, itu cara mereka memuliakan tetamu. Rasa berempah antaranya akibat buah pelaga tapi percayalah, memang power. Segar, sedap badan untuk bawa tarawih. Itulah rahsia orang tempatan. Ikut saja.

Air zamzam

Minumlah sebanyak-banyaknya. Air yang disebut dalam pelbagai riwayat mengenai kelebihannya. Apatah lagi, menjadi hidangan untuk berbuka. Tong-tong air zamzam sama ada sejuk atau suhu normal terdapat di seluruh Masjidilharam. Nikmat meneguknya, Allah yang tahu.

Membeli-belah

Tiada bazar raya khusus, tetapi kota Mekah tidak pernah tidur, begitu juga premis perniagaan. Bagi jemaah Malaysia, ini tidak dilepaskan. Oleh-oleh untuk keluarga dan kenalan. Apatah lagi sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan. Rebutlah ganjarannya.