Selawat adalah satu warisan tidak ketara dunia Islam yang disebarkan secara meluas ke seluruh pelosok wilayah Islam. Selawat merupakan satu daripada banyak kaedah yang digunakan oleh umat Islam bagi memperingati junjungan Nabi Muhammad SAW.

Dalam ajaran Islam sendiri terdapat pelbagai tulisan yang menyatakan kelebihan berselawat ke atas Baginda

Antaranya, mendapat keampunan daripada Allah SWT, mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW, dimakbulkan doa, mudah mengingati perkara yang terlupa, kesejahteraan pada hari Kiamat dan sebagainya.

Dalam Kitab Hadaiq al-Anwar yang dikarang oleh Ibnu Farhun menyatakan bahawa terdapat 42 kebaikan atau manfaat berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Dalam sejarah Islam, alunan selawat direkodkan sebagai tanda sambutan masyarakat Islam Madinah ketika menyambut kedatangan Baginda dari Mekah dalam peristiwa Hijrah. Masyarakat Islam di Madinah ketika itu diceritakan mengalunkan selawat dan memainkan alat muzik seperti kompang bagi menyatakan kegembiraan mereka dengan ketibaan Baginda ke Madinah dengan selamat.

Dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia, selawat turut dijadikan alunan dalam majlis-majlis keraian seperti majlis perkahwinan, majlis meraikan bayi yang baru lahir dan khatam al-Quran selain daripada sambutan Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun.

Irama yang digunakan untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW boleh dialunkan dengan atau tanpa alat muzik. Keindahan irama yang ada dalam susunan lirik itu menjadikannya boleh disampaikan tanpa sokongan muzik. Antara alat muzik tradisional yang sering digunakan ketika alunan selawat adalah seperti kompang dan rebana.

Alat muzik menjadikan alunan selawat lebih meriah dan berjaya mencuri tumpuan khalayak untuk terus fokus kepada alunan selawat yang sedang berkumandang atau turut serta mengalunkan selawat.

Seperti contoh, alunan selawat yang diiringi kompang dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu menandakan rombongan pengantin telah tiba dan disambut serta diraikan oleh masyarakat setempat. Malah persembahan selawat turut dialunkan oleh kumpulan wanita dalam sambutan keraian bayi yang baru lahir.

Bersesuaian dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi, selawat juga telah mendapat sentuhan baharu dalam bidang muzik. Terdapat pelbagai irama dan iringan alat muzik moden dalam gubahan semula irama selawat. Ini menunjukkan kreativiti dan inovasi masyarakat Islam dalam menghidupkan dan mengajak masyarakat Islam sentiasa mengalunkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW ketika menjalani kehidupan mereka.

Selawat adalah satu daripada warisan tak ketara dunia Islam yang masih diwarisi dan diwariskan kepada generasi Islam di Malaysia. Walaupun liriknya dalam bahasa Arab namun ia mempunyai susunan dan pilihan perkataan yang ringkas, mudah serta sangat bersesuaian dengan rentak dan bunyinya yang indah bila disebut.