Namun kini tidak lagi, golongan wanita yang sinonim dengan sifat lemah turut tidak ketinggalan menjadi sasaran sebagai pejuang perang. Itulah yang dilakukan kumpulan militan Daesh bagi meluaskan pengaruh sesatnya di seluruh dunia.

Jika dahulu, golongan belia dan remaja menjadi sasaran sebagai pengikut, kini berselindung dengan kalimah jihad, di samping menebus dosa silam serta memperoleh syahid, helah kumpulan pengganas tersebut terus menyasarkan kaum wanita.

Lebih membimbangkan, hasil pemerhatian dilakukan mendapati kumpulan pemberontak yang kononnya mendakwa ingin menubuhkan pemerintahan Islam sebenar sebagaimana pentadbiran Rasulullah SAW dan Khalifah ar-Rasyidin itu kini tertumpu kepada wanita di Asia Tenggara.

Panel Modul Akidah dan Pemikiran Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Wan Fariza Alyati Wan Zakaria berkata, hal ini kerana kebanyakan negara di Asia Tenggara merupakan negara Islam yang mempunyai penduduk majoriti Muslim berbanding negara Barat.

Tidak ketinggalan tambahnya, Malaysia turut menjadi sasaran malah dilaporkan telah ada mangsa wanita terpengaruh dengan dakyah kumpulan pelampau agama tersebut sehingga berhijrah ke Syria yang menjadi kubu kuat militan itu.

“Hasil kajian pelbagai pihak mendapati, penglibatan golongan wanita dalam militan Daesh semakin kurang mendapat sambutan negara Barat termasuk dari Iraq dan Syria sendiri.

“Antaranya, Sara Mahmood dalam kajiannya bertajuk ‘Female Fighters of Islamic State: Why More from The West?’ menyatakan bahawa penghijrahan wanita pejuang asing Daesh dari Barat ke zon konflik Syria dan Iraq tidak pernah berlaku dalam konflik jihad ini terutama wanita Barat.

“Oleh itu, Daesh kini meletakkan sasaran baharu mereka iaitu wanita dari Asia Tenggara dengan menawarkan pelbagai kelebihan di dunia termasuk menjanjikan ganjaran syurga di akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘Daesh, Jihad dan Wanita: Sensasi dan Manipulasi atas Nama Agama’ dalam siri wacana Tun Fatimah Hashim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Strategi UKM, Profesor Dr. Fariza Md. Sham.

Malah Wan Fariza berkata, strategi merekrut wanita merupakan antara senjata paling berkesan dalam melancarkan serangan terutama di kawasan tumpuan awam.

“Penglibatan golongan wanita dalam kumpulan ini memberi kesan yang sangat besar untuk jangka masa panjang kerana mereka ini satu hari nanti akan melahirkan anak dan pengikut baharu, sekali gus menambah bilangan pengikut.

“Malah kehadiran mereka sebagai militan juga sukar dihidu kerana perwatakan wanita itu sendiri dapat mengaburi orang ramai daripada dikesan berbanding kaum lelaki,” jelasnya.

JERAT ‘JIHAD 
AL-NIKAH’

Setelah bergelumang hidup dengan dosa besar dan zina, siapa yang tidak mahu ditawarkan keampunan malah dijanjikan masa depan cerah di dunia dan akhirat.

Wan Fariza berkata, begitulah antara jerat digunakan Daesh bagi mempengaruhi wanita menerusi ‘Jihad al-Nikah’ atau bahasa mudah ‘jihad seks’ sebagai menebus segala dosa silam.

“Penemuan ini adalah hasil soal siasat dilakukan anggota Polis Diraja Malaysia terhadap wanita yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana disyaki ingin ke Syria bagi menyertai Daesh.

“Soal siasat juga mendapati wanita itu sedia maklum bahawa mereka diperlukan untuk melayan nafsu seks pejuang militan termasuk empat lelaki serentak.

“Di sana, mereka dijanjikan untuk dijadikan sebagai isteri pejuang dan memperoleh kehidupan lebih baik selain diberikan elaun sara hidup serta bahagian dalam harta rampasan perang,” katanya.

Selain itu tambahnya, kajian mendapati penglibatan wanita dalam pengaruh Daesh juga adalah akibat kecewa dengan dunia Islam masa kini yang dianggap kacau bilau, pemerintahan negara Islam tidak mengikuti syariat sebenar, menginginkan kebebasan serta lemah akidah.

“Bermula dengan rasa simpati melihat keadaan tentera militan Daesh, timbul perasaan menyokong apa yang dilakukan seterusnya mereka mula taksub untuk menyertai gerakan sesat tersebut.

“Mereka menganggap sokongan diberikan terhadap perjuangan Daesh dapat membina negara Islam sebenar dengan menghapuskan pengaruh Barat melalui jihad selain berkorban untuk mencapai kemenangan dan menghina penindas,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Fariza menasihatkan ibu bapa agar mengawasi anak-anak terutama wanita daripada terjebak dengan fahaman sesat kumpulan diketuai Abu Bakar al-Baghdadi tersebut.

“Selain giat merekrut pengikut dan menyebarkan pengaruh mereka menerusi laman sosial termasuk Facebook, Twitter dan Youtube, kumpulan militan ini juga mewujudkan majalah khusus untuk memperluas agenda mereka di Asia Tenggara menerusi majalah al-Fatihin yang ditulis dalam bahasa Melayu.

“Manakala, Daesh turut melancarkan majalah rasmi mereka berjudul Dabiq dalam bahasa Inggeris yang juga bertujuan menyebarkan propaganda sesat mereka kepada masyarakat dengan membicarakan soal jihad dan peperangan,” katanya.