Jadi, terpulanglah kepada kita untuk tentukan nasib apabila dibangkitkan Allah pada hari kemudian. Dia mengurniakan banyak peluang dan kesempatan untuk berbuat kebaikan tetapi malangnya ramai yang menolak mentah-mentah.

“HAMKA pernah berkata dalam satu tafsirnya bahawa hidup ini perlu ada tujuan kerana kalau hidup sekadar hidup, maka babi di hutan juga hidup.

“Ulama terkenal di alam Nusantara itu turut menyatakan satu kisah mengenai dua jenazah. Kedua-duanya diuruskan pengebumiannya pada waktu sama tetapi apabila selesai, hanya satu sahaja yang disebut-sebut kebaikannya,” kata Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Kalkulator Dunia vs Kalkulator Akhirat’ 
di Seminar Celik Wakaf peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar setengah hari itu dianjurkan oleh Yayasan 
Wakaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan CIMB Islamic Bank Berhad.

Jelas Asyraf, umat Islam 
perlu menjadikan kematian itu tidak akan ‘mematikannya’ 
tetapi sebaliknya terus hidup subur sampai hari kiamat.

Antara salurannya adalah dengan berwakaf atau bersedekah sebagaimana dengan satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud:

“Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh.”

Asyraf menambah, perkataan jariah itu sendiri dalam bahasa Arab bermaksud berjalan atau mengalir seperti aliran air 
sungai.

“Jadi, amalan berwakaf itu tidak seharusnya ditangguh kerana sekarang ini instrumen wakaf bukan setakat tanah atau bangunan tetapi ia boleh dalam bentuk tunai, kereta, penghawa dingin, saham, hospital, air dan lain-lain.

“Bukan itu sahaja, cara pembayaran wakaf pun telah dipermudah apabila institut kewangan dan bank turut menyediakan platform dalam talian untuk sesiapa yang berminat,” katanya.

Cuma apa yang menjadi isu dalam berwakaf hari ini adalah stigma yang menyatakan, jika banyak memberi, maka cepatlah berkurang harta milik kita tetapi semua itu adalah ajaran syaitan kerana ia mendidik kita untuk bersikap kedekut.

“Kita tidak harus bersikap sedemikian kerana secara puratanya umur kita tidaklah panjang sangat iaitu sekitar 60 hingga 70 tahun sahaja,” katanya.

Jangan susahkan orang hidup

Dalam masa sama, Mohd. Zamro menyeru kepada golongan pewakaf supaya tidak menjadikan keinginan mereka untuk berwakaf itu menyusahkan waris apabila meninggal dunia kelak.

Pewakaf seharusnya menyelesaikan setiap perkara berkaitan semasa mereka masih hidup. Niat berwakaf tidak seharusnya terhenti pada niat pada hati atau mulut sahaja. Ia perlu diselesaikan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin wakaf tunai tidak ada masalah tetapi yang berbentuk fizikal seperti tanah dan bangunan, perlu diselesaikan mengikut undang-undang.

“Ini supaya tidak akan ada pertikaian atau bantahan daripada kalangan ahli keluarga, saudara mara atau waris terdekat apabila meninggal dunia kelak,” katanya.