‘‘Aku memenuhi panggilan-Mu ya Allah aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagi-Mu,’’

Bermula 24 Julai ini, puluhan ribu jemaah haji Malaysia mula meninggalkan negara ini secara berperingkat-peringkat dan berpisah buat sementara waktu dengan keluarga serta sahabat handai untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu ibadah haji ke Tanah Suci Mekah.

Pada waktu itu, pelbagai perkara bermain dalam kotak fikiran jemaah. Banyak yang perlu dipelajari malah ada yang tidak melepaskan buku panduan ibadah haji daripada genggaman dengan niat untuk melaksanakan ibadah berkenaan sebaiknya.

Namun begitu, persiapan dari sudut ilmu dengan melengkapkan diri yang bersangkut paut dengan rukun, sunat, makruh atau haram haji telah pun dilaksanakan dalam banyak kursus yang dianjurkan pelbagai pihak.

Oleh demikian, ibadah haji itu sendiri menunjukkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan Muslim serta penyerahan jiwa kepada Allah SWT.

Ibadah haji ini dilakukan pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijah, bulan terakhir dalam takwim Islam.

Dalam hal ini, jemaah haji Malaysia perlu maklum bahawa mengetahui serba sedikit sejarah haji ini adalah lebih baik supaya pemergian ke Tanah Suci itu difahami selain melaksanakan Rukun Haji yang ditetapkan.

Sebenarnya, sejarah haji tidak boleh terlepas daripada sejarah pembangunan Kaabah seperti yang diperintahkan Allah SWT kepada Nabi Ibrahim a.s.

Ketika Baginda selesai membangunkan Kaabah, Allah SWT memerintahkannya untuk menyeru manusia agar melaksanakan haji.

Dalam hal ini terdapat beberapa dalil mengenai 
ibadah haji. Antaranya adalah seperti dalam ayat ke-27, Surah al-Hajj dan ayat ke-97, Surah Ali Imran.

Sejarah nabi ibrahim a.s. dan nabi ismail a.s. di mekah

Banyak peristiwa yang berlaku pada sejarah pembangunan kota Mekah.

1. Menghantar Siti Hajar 
dan Ismail a.s.

Nabi Ibrahim a.s, Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. berangkat dari Hebron bergerak ke arah tenggara menyusuri laluan kafilah yang dikenal sebagai laluan wangian sejauh 1,200 kilometer dan tiba di lembah tandus pergunungan Sirat yang puncak-puncaknya meliputi Jabal Ajyad, Jabal Qubais, Jabal Qu’aiq’an, Jabal Hira dan Jabal Thur.

Lembah itu bernama Bakkah (Mekah). Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. dibawa ke Mekah atas perintah Allah SWT, Siti Hajar dan puteranya itu ditinggalkan di bawah sebuah pohon oleh Nabi Ibrahim yang kembali ke Palestin menemui Siti Sarah (isteri pertamanya). Baginda berdoa dan menyebut nama Allah agar Siti Hajar dan Nabi Ismail berada bawah perlindungan-Nya.

Pada satu ketika, saat air susu kehabisan dan bekalan air menjadi kontang, Siti Hajar menaiki Bukit Safa mencari air untuk puteranya atau jika ada kafilah yang dapat membantu. Ketika itu tiada sesiapa melalui jalan berkenaan dan Siti Hajar berjalan menuruni bukit, lembah, dan mendaki ke Bukit Marwah.

Tujuh kali pergi dan balik dilakukan, hingga akhirnya Allah SWT mengeluarkan air zamzam di tempat Nabi Ismail a.s. ditinggalkan. Peristiwa yang dilakukan itulah kini diangkat sebagai antara Rukun Haji iaitu melakukan saie.

2. Menyembelih 
 Nabi Ismail a.s.

Saat Nabi Ismail berusia antara 11 dan 12 tahun, Nabi Ibrahim a.s. menemui keluarganya di Mekah. Baru sahaja Baginda melepaskan rindu, Allah SWT memerintahkan melalui mimpi agar menyembelih anaknya itu.

Meskipun mengalami kepayahan, namun akhirnya berkat ketaatan Baginda dan anaknya, perintah itu dapat dilaksanakan tetapi Allah SWT menggantikannya dengan sembelihan kibas.

Soal ujian pengorbanan dalam bentuk apapun, Allah SWT sebenarnya tidak bermaksud menganiaya hamba-hamba-Nya, melainkan sekadar ujian untuk meningkatkan mutu keimanan dan amal soleh. Dalam ibadah haji, penyembelihan binatang ini dilaksanakan setelah melontar Jamrah al-Aqabah atau pada hari-hari tasyrik.

3. Menggantikan palang 
 pintu rumah

Nabi Ismail a.s. berumah tangga dan selepas Siti Hajar meninggal dunia, Nabi Ibrahim a.s. bertandang ke rumah anaknya itu. Namun tidak bertemu dengan puteranya, hanya menantunya sahaja yang ada.

Baginda merahsiakan identitinya dan ketika ditanya tentang keadaan rumah tangganya, isteri Nabi Ismail a.s. mengeluh tentang kesulitan dan kemiskinan hidup mereka, serta tiada kebahagiaan. Apa yang menariknya daripada pertemuan itu, Nabi Ibrahim a.s. tidak bercakap secara terus kepada menantunya sebaliknya menggunakan bahasa kiasan. Kata Baginda kepada menantunya itu: “Jika Ismail pulang sampaikan salam dan disarankan agar mengganti palang pintu rumahnya,’’

Ketika Nabi Ismail a.s. kembali ke rumah, lalu mendengar cerita isterinya tentang kedatangan tetamu dan pesanannya, maka Baginda mengerti dan mengambil keputusan menceraikan isterinya yang dinilai dengan sikap yang mengeluh dan tidak sabar serta tidak bersyukur atas nikmat yang Allah SWT berikan.

Dalam hal ini, jemaah haji hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat yang diterima, bersabar dalam apa juga dugaan mendatang dan jangan mudah mengeluh apabila menerima ujian Allah SWT.

4 Mempertahan palang 
pintu rumah

Setahun selepas itu, Nabi Ibrahim a.s. datang lagi ke Mekah untuk menemui puteranya. Sekali lagi tidak berpeluang bertemu dengannya. Hanya isteri anaknya ditemui.

Sebagaimana yang lalu, Baginda yang menyembunyikan identitinya, bertanyakan keadaan rumah tangga mereka. Wanita itu menjawab dengan cara yang baik, lalu Nabi Ibrahim berdoa “Ya Allah berkati daging dan air mereka,” - Riwayat Bukhari. Nabi Ibrahim a.s. berpesan: “Katakan palang pintunya tidak perlu diganti.’’ - Sahih Bukhari

Walaupun peristiwa ketiga dan keempat tidak nampak signifikan dengan ibadah haji, namun perlu dijelaskan bahawa perhubungan dalam rumah tangga juga adalah faktor yang membantu dalam urusan haji. Kepada jemaah haji, perlulah dikekalkan doa agar kembalinya ke tanah air nanti, hendaklah sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT iaitu “suu il munqolabi fiil maali wal ahli” (iaitu menghindarkan diri dalam hal yang merosakkan kehidupan keluarga).

5. Membangunkan 
Kaabah

Tanah agak tinggi berdekatan perigi zamzam adalah lokasi pilihan “Ini adalah tempat yang dipilih Allah,” kata Nabi Ibrahim a.s. kepada Nabi Ismail a.s.,” - Riwayat Bukhari, lalu kedua-duanya mula membina Kaabah di situ. Terdapat dua batu yang istimewa dalam pembinaan Kaabah berkenaan yang disebut, Hajar al-Aswad dan Makam Ibrahim.

Sewaktu ibadah haji berlangsung, Hajar Aswad akan menjadi tempat permulaan dan pengakhiran tawaf, di mana kemudiannya jemaah haji akan mengerjakan solat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim.