Demikian luahan pilu Norkasmawati Cheleh, 42, ibu lima anak yang hidup serba kekurangan di Lot 7868, Jalan Aman, Kampung Bahagia di Bangi, Selangor.

Jika dilihat secara luaran, wanita ini nampak peramah serta mudah mesra dengan sesiapa saja.

Namun, di sebalik keramahan itu tersembunyi dugaan besar apabila suami yang dahulunya sentiasa bersama, kini hanya terlantar di atas katil akibat strok separuh badan dan tempurung kepala terpaksa dibuang sejak 10 tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan suaminya, Md. Hisam Aman, 46, yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, terpaksa bergantung harap pada isteri dan ahli keluarga untuk mengurus diri.

Sudah kering air mata Norkasmawati atau mesra dipanggil Shima, menangisi apa yang berlaku.

Kini, dia reda dan tabah menjalani kehidupan seharian dengan jerih payah, kerana masih mempunyai amanah yang perlu dijaga, iaitu lima anak yang sedang membesar berusia antara 9 tahun hingga 19 tahun.

Bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji bulanan sebanyak RM1,000 sahaja, dia berkata, pada awalnya suami sering mengadu sakit kepala dan bergantung dengan ubat migrain.

Pada suatu ketika, akibat terlampau sakit, suaminya mendapat sawan dan terus mengalami strok separuh badan.

“Pada tahun pertama mengalami strok, dia masih boleh berjalan perlahan-lahan dan tetap bekerja seperti biasa. Namun, lama-kelamaan kesihatannya semakin merosot dan tidak mampu untuk bangun atau duduk.

“Melihat keadaan suami begitu dan saya pula ketika itu baru melahirkan anak bongsu, sedar bahawa saya perlu bangkit daripada kesedihan kerana kini perlu menjadi tulang belakang keluarga.

“Habis sahaja pantang saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat. Mujur majikan dan rakan sekerja memahami keadaan saya dengan melonggarkan waktu bekerja saya supaya saya dapat menguruskan suami dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Malangnya, selepas lima tahun, Shima meninggalkan syarikat tersebut yang terpaksa ditutup.

Sejak itu, dia mencuba pelbagai kerja seperti membantu rakan berniaga pada waktu malam, membuat kerja-kerja membersihkan surau dan menjadi pembantu rumah.

Dia tidak memilih pekerjaan asalkan pendapatan yang diperoleh halal serta memberi ruang untuk dia menguruskan suami dan anak-anak di rumah.

Menurutnya, meskipun terbeban dengan pelbagai perkara, Shima percaya kepada rezeki.

“Kalau ada duit, alhamdulillah, kalau kesempitan saya akan usahakan juga demi anak-anak dan suami.

“Adik-beradik dan kenalan terdekat sudah banyak membantu sampai saya terlalu malu untuk meminta bantuan mereka lagi.

“Selain keperluan rumah dan perbelanjaan sekolah anak-anak, saya juga perlu menanggung lampin pakai buang dan susu tenaga untuk suami. Itu belum lagi sewa rumah sebanyak RM450 sebulan,” ujarnya yang mendapat bantuan bulanan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bersyukur dikurniakan anak-anak yang memahami, anak sulungnya, Siti Nurhidayu Md. Hisam, 19, sanggup tidak menyambung pelajaran ke kolej kerana mahu membantu menguruskan bapanya.

Apa pun, sedikit sebanyak Shima merasa terkilan dan sedih kerana disebabkan kesempitan hidup, masa depan anak-anaknya seakan-akan samar.

Katanya, dalam menguruskan pesakit terlantar ini, semangat penjaga dan ahli keluarga perlu kuat, malah sentiasa peka dengan perubahan emosi pesakit.

Perkara paling utama untuk dijaga adalah emosi suami kerana dia menjadi begitu sensitif sejak terlantar. Adakala suami mudah marah dan merajuk disebabkan perkara kecil seperti dia pulang lambat dari kerja atau lambat diberi makan.

“Saya akui, penat mengangkat dia setiap hari untuk dimandikan tetapi saya tidak pernah anggap ia menyusahkan. Lagi pun, memang sudah menjadi tanggungjawab isteri untuk menguruskan suami baik ketika dia sihat mahu pun sakit.

“Kalau kita reda dengan sebarang ujian, beban yang ditanggung itu seakan-akan ringan. Saya percaya dengan hikmah yang akan berlaku selepas ini, mana tahu di sebalik segala kesedihan ini ada sinar kegembiraan yang menanti di penghujung nanti,” ujarnya.

  • Bank Simpanan Nasional Berhad
  • 1016441000069505 
Norkasmawati Che leh
  • Bantuan boleh dihulurkan ke akaun