Mereka nyata mengambil peluang untuk keluar di kawasan lapang dan ada yang menadah tangan dengan menyatakan kesyukuran di atas rahmat itu, apatah lagi membasahi bumi Mekah yang panas dengan suhu harian sekitar 43 darjah celsius.

Berdasarkan maklumat, hujan lebat ni berlaku setahun sekali dan pada tahun lepas juga berlaku seminggu sebelum wukuf.

Dengan hujan itu, ia melegakan sebahagian besar jemaah haji terutamanya dari Malaysia dan berharap akan menyejukkan bumi seketika menjelang hari Wukuf yang tidak sampai 10 hari lagi.

Hujan yang berlaku sebaik sahaja jemaah haji selesai mengerjakan solat asar hari ini, menyebabkan ramai yang menginap di maktab penginapan yang juga ibu pejabat Tabung Haji, Abraj Al-Janadriyah, keluar di kawasan lapang hadapan maktab ini.

Kata beberapa jemaah di maktab ini, “Alhamdullilah, hujan lebat itu menyejukkan sedikit bahang panas di kota suci ini.”

Suhu di sini lazimnya mencecah antara 40 hingga 43 darjah celsius dan dengan penurunan suhu akibat hujan itu, dijangka kawasan Masjidilharam akan kembali sesak dengan jemaah haji yang keluar beramai-ramai malam ini.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, hujan lebat itu adalah rahmat daripada Allah dan menyejukkan suasana di Tanah Suci.

"Alhamdullilah hujan rahmat kerana setiap tahun suhu adalah panas di Tanah Suci masih ada hujan yang dapat menyejukkan suasana dan membersihkan kawasan Arafah dan Mina yang kita gunakan setahun sekal," katanya. - UTUSAN ONLINE