Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

[VIDEO] Hayati sirah 
dengan sukan sunah

MEMANAH berkuda menggabungkan kemahiran menunggang dan memanah 8
MEMANAH berkuda menggabungkan kemahiran menunggang dan memanah dalam keadaan bergerak.

SAMBIL memegang busur dan mengikat kemas kantung berisi anak panah di pinggang, seorang pemanah yang lengkap berpakaian ala pendekar memberi sepenuh tumpuan kepada sasaran ingin ditujukan.

Secara perlahan-lahan, tangan kanannya mengeluarkan sebatang anak panah dan kemudian diletakkan pada tali pemacu sebelum ditarik ke belakang menggunakan busur panah yang digenggam erat.

Menggunakan tenaga yang ada, apabila kuda ditunggang melintasi sasaran, dia pun melepaskan anak panah tepat ke arah sasaran panahan. Walaupun dalam keadaan bergerak, dia menggunakan segala kemahiran ketika menunggang kuda dan mampu mengenai sasaran sejauh kira-kira 10 meter.

Sekali pandang, mungkin bagi sesetengah individu sukan memanah serta berkuda ini seperti mudah dan tiada yang istimewa dalam. Hakikatnya, sukan yang dikaitkan dengan sunah Rasulullah SAW itu mempunyai falsafah tersendiri.

Jika dahulu, memanah digunakan sebagai satu daripada senjata utama dalam peperangan. Sehinggakan, kekuatan pasukan memanah dikatakan merupakan antara faktor mempengaruhi kalah atau menang sesuatu pasukan.

Antaranya, diriwayatkan tentera Islam pada zaman Rasulullah SAW pernah tewas dalam perang akibat pasukan pemanah dipimpin oleh Abdullah bin Jubayr r.a., ingkar pesanan Rasulullah supaya tidak meninggalkan posisi pertahanan dalam Perang Uhud.

Malah, memanah juga merupakan antara senjata utama digunakan di seluruh dunia terutama kerajaan Uthmaniah untuk menentang musuh dan menakluk kembali empayar Islam daripada pihak lawan.

Malangnya, peredaran semasa menyaksikan ramai dalam kalangan masyarakat dilihat kurang meminati sukan memanah.

Ini kerana segelintir beranggapan sukan itu dikategorikan sebagai permainan lapuk, kurang mengeluarkan peluh selain melibatkan kos tinggi.

Menurut Pengasas Kelab Memanah dan Berkuda Meru (Mrca), Shahruddin Ahmad, bukan sekadar sukan biasa sebaliknya memanah dan berkuda merupakan amalan sunah Rasulullah SAW, malah mampu memberi penghayatan kepada pemanah untuk memperingati sejarah silam.

Perkara itu tambahnya, turut dinyatakan dalam beberapa hadis menekankan kepentingan memanah antaranya, diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir r.a. berkata: “Saya mendengar Rasulullah bersabda di atas mimbar: Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.” - Riwayat Muslim

“Jika kita lihat, mengapa Rasulullah bersabda seperti ini, sehingga diucapkan berulang kali. Apabila kita hayati perkara ini, pastinya ia merupakan satu tuntutan yang penting namun kita tidak ketahui hikmah sebaliknya.

“Ternyata banyak kelebihan daripada sukan memanah, apatah lagi dilakukan sambil berkuda, semua anggota tubuh kita daripada otak, pandangan, kekuatan tangan dan kaki begitu juga mental serta emosi akan berfungsi ketika ini.

“Ketika memanah menggunakan peralatan tradisional, serba sedikit kita akan merasai kesukaran dihadapi oleh pejuang Islam dan pahlawan terdahulu mempertahankan agama serta negara kerana inilah merupakan antara senjata utama mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 2015, Mrca menawarkan aktiviti memanah menggunakan peralatan tradisional kepada semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Selain menyediakan kelengkapan memanah secara berdiri, orang ramai juga boleh merasai memanah sambil berkuda.

Lebih istimewa, kelab yang terletak di Jalan Dusun, Bukit Kapar, Klang, Selangor itu turut menawarkan perkhidmatan pertempuran memanah untuk penggemar sukan ini merasai pengalaman memanah ala peperangan.

“Untuk pertempuran memanah ini, kita menyediakan busur dengan anak panah yang dilekatkan dengan span pada bahagian hadapan. Setiap kumpulan iaitu seramai lima ahli pasukan perlu memakai pakaian disediakan ketika pertempuran diadakan.

“Setiap pemanah perlu merebut sebanyak mungkin anak panah yang diletakkan di tempat tertentu iaitu biasanya di tengah-tengah medan pertempuran sebaik sahaja permainan dimulakan. Bagi mereka yang terkena panah dikira mati atau terkeluar,” jelasnya.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain