Terdapat beberapa kisah mengenai OKU dalam Islam, antaranya peristiwa Allah SWT mendidik Rasulullah SAW dengan menegur layanan Baginda terhadap seorang sahabat buta, Abdullah bin Ummu Maktum ketika Baginda sibuk berbincang dengan pembesar Quraisy. Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa inilah sebab turunnya Surah ‘Abasa yang menjadikan Rasulullah selalu mengambil berat keadaan Ummu Maktum dan orang seumpamanya.

Begitu juga dengan kisah Julaibib r.a. yang tinggal di Madinah adalah seorang pemuda cacat, katik dan tidak tampan serta tiada apa yang boleh dibanggakan. Hidupnya penuh penghinaan menyebabkannya sentiasa disisih sekali gus menjadikannya seorang yang selalu rasa rendah diri.

Namun dengan adanya Rasulullah SAW, semangat dan tujuan hidupnya menjadi ceria dan boleh melupakan kekurangannya. Beliau rajin berzikir dan tidak pernah tertinggal untuk berada dalam saf pertama solat berjemaah, malah sentiasa menyertai peperangan besar bersama-sama Baginda.

Suatu hari Rasulullah SAW ingin menikahkannya dengan anak gadis seorang bangsawan Ansar. Walaupun pada awalnya mendapat pelbagai alasan tetapi akhirnya mereka berjaya dinikahkan juga. Selang beberapa hari, Julaibib menyertai Rasulullah SAW ke medan perang dan gugur sebagai syahid.

Ketika kesibukan mencari tentera Islam yang terkorban dan tercedera, Rasulullah SAW bersabda, ‘Daku telah kehilangan Julaibib!’. Rupa-rupanya tiada seorang pun menyedari kehilangan Julaibib melainkan Baginda. Setelah dicari, jasad Julaibib ditemukan di sisi tujuh mayat Musyrikin yang dibunuh olehnya. Lalu Rasulullah SAW berdiri di sisi mayat Julaibib dan berkata, “Dia daripada golonganku dan aku daripada golongannya.”

Lihatlah, betapa kasihnya Baginda SAW terhadap Julaibib. Darjatnya diangkat begitu tinggi oleh Allah SWT kerana ketakwaannya. Rasulullah sendiri menatang mayat Julaibib dengan kedua belah tangan dan meletakkannya ke dalam liang lahad.

Kisah ini memberi isyarat, betapa Islam meletakkan kemuliaan terhadap kedudukan insan istimewa ini. Namun bagi menggilap potensi mereka, bukan sesuatu yang mudah. Kerjasama padu semua pihak bermula daripada diri individu, keluarga, masyarakat dan kerajaan amat diperlukan sebagai menghormati kemuliaan tersebut.

UNIVERSITI AWAM PERTAMA CAKNA KEPERLUAN OKU

Peneraju di peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menggerakkan pelbagai program berkaitan OKU digalas oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Bermula 2006, sekumpulan pensyarahnya menerokai pengajian Quran Braille. Hasilnya, Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunah sebagai kursus wajib fakulti mula ditawarkan pada 2008. Ia adalah kursus pertama seumpamanya ditawarkan oleh universiti awam.

Daripada kursus ini, USIM mengorak langkah lebih jauh berkaitan OKU melalui penyelidikan dan inovasi; penerbitan, pengajaran dan pembelajaran; khidmat latihan, konsultasi, kesukarelawanan mahasiswa dan khidmat ummah.

* Pada 2012, FPQS menubuhkan Institut Quran Braille yang menjadi platform penyatuan ahli akademik pelbagai bidang bagi mendepani isu OKU dan cabaran semasa.

* Pada 2015 - inovasi Smart Iqra’ Braille dihasilkan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia.

* Selepas itu beberapa inovasi untuk manfaat OKU dihasilkan oleh penyelidik USIM antaranya, i-TALK PISKEB dan i-Sign QurANIS yang meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

* Kehadiran NGO Islam iaitu Yayasan Faqeh membuka jalinan baharu kepada mahasiswa USIM untuk aktif menyumbang dalam program kesukarelawan untuk anak-anak istimewa sebagai satu bentuk usaha dakwah.

* Bergerak melalui Sahabat Faqeh USIM, persatuan mahasiswa ini turut menubuhkan kumpulan nasyid tanpa suara, Saf al-Isharah dan Dai Pekak.

* USIM turut memberi sokongan kepada penglibatan mahasiswanya berdakwah kepada OKU seperti Kursus Dakwah Tanpa Suara; Kursus Kemahiran Dai Pekak; Kem Huffaz Remaja Pekak, Jom Duha bersama Anak-anak Istimewa dan Pameran Quran Sunnah for Special Needs serta beberapa program lain secara bersiri setiap tahun.

* Pusat Islam USIM mengambil peranan melakukan inovasi dalam penyampaian khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz iaitu khutbah bersama terjemahan bahasa isyarat oleh Dai Pekak.

* Mempelopori penyampaian takbir Hari Raya Tanpa Suara yang mendapat perhatian meluas masyarakat.