Keadaan itu dilihat menjadi lebih tegang apabila wujudnya pelbagai gangguan tanpa sebab atau bukti nyata anggota tentera Israel ke atas penduduk Gaza pada sepanjang masa.

Namun begitu, warga Gaza menyedari matlamat utama gangguan rejim Zionis itu ialah kerana mereka mahukan penduduk Gaza meninggalkan semenanjung tersebut bagi mewujudkan negara Israel dan ternyata usaha tersebut masih gagal sehingga kini.

Pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk Gaza bagi memperkasa semangat jati diri, khususnya dalam kalangan generasi muda. Antaranya adalah mendekatkan diri dengan al-Quran.

Galakan membaca, menghafal dan memahami kandungan al-Quran dilakukan dengan sokongan moral dan kewangan daripada umat Islam dari serata dunia melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Antaranya, Humanitarian Care Malaysia (MyCare). NGO Islam itu melaksanakannya melalui kempen Adopt A Hafiz In Gaza dengan kerjasama Muslim Professionals Forum (MPF).

Kempen itu bertujuan mengumpul dana bagi menaja seramai mungkin warga Gaza berusia antara lapan hingga 20 tahun untuk menjadi hafiz.

“Kami telah jalankan kempen tersebut sejak lima tahun lalu dan sumbangan dana oleh orang ramai terhadapnya cukup membanggakan.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan kutipan dana RM600,000 bagi membiayai kira-kira 610 pelajar tahfiz selama setahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar ketika ditemui di ibu pejabat MyCare, Selangor, baru-baru ini.

Selain Gaza, kempen tersebut turut meliputi kawasan di utara dan tengah Gaza, Rafa dan Khan Younis. Sesi pengajian tahfiz bagi tahun ini akan bermula bulan Jun dan setiap pengajian memakan masa selama setahun.

Bagi membolehkan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang menderma, pihak MyCare menyediakan pakej tajaan iaitu RM900, RM450 dan RM50.

Jika ada yang menderma bawah nilai pakej-pakej itu juga turut dialu-alukan kerana penyediaan pakej tersebut hanyalah untuk memudahkan urusan birokrasi sahaja.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, sudah pasti kedudukan kewangan masyarakat umum agak terjejas dan atas sebab itulah, kami mengamalkan sikap terbuka kerana tidak mahu semangat menderma menjadi luntur,” katanya.

Menyentuh kejayaan kempen itu, Kamarul Zaman memberitahu bahawa ia bukan hanya kerana minat mendalam warga Gaza terhadap al-Quran tetapi MyCare mempunyai pejabat cawangan dan memiliki akaun di Bank of Palestine di Gaza.

“Dengan adanya kelebihan itu, apa jua aktiviti berkaitan kempen tersebut dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.