Penyertaan itu diperlukan bagi melaksanakan dasar, agenda dan programnya kerana tenaga kerja yang berbayar dalam sesebuah pertubuhan sukarelawan sangat terhad bilangannya.

Malah, tenaga berbayar itu tidak mampu mengendalikan dasar dan program kerana sudah pastinya, ia melibatkan golongan sasaran yang ramai jumlahnya.

Islam sendiri menggalakkan umatnya terlibat dalam aktiviti seperti ini kerana ia bukan hanya penting untuk agama dan kebajikan masyarakat Islam yang tidak bernasib baik. Bahkan, aktiviti sukarelawan itu dapat mengisi masa golongan remaja atau belia dengan lebih bermanfaat, berbanding terlibat dengan kegiatan yang kurang berfaedah.

Allah berfirman yang bermaksud: Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (ar-Rum:38)

Lantaran itu, penganjuran Karnival Khidmat Komuniti dengan tema Helping Others, Changing Lives oleh Pengajian Perniagaan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur, baru-baru ini dilihat sebagai satu usaha yang murni.

Apatah lagi, salah satu segmen dalam karnival sehari itu memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi maklumat dan pengalaman bersama tenaga sukarelawan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara NGO yang hadir adalah Pertiwi Soup Kicthen, Islamic Relief Malaysia (IRM), Organisasi Kesihatan dan Kebajikan Malaysia, Cooking For Homeless, Persatuan Rumah Wahidayah Malaysia (Pewahim) dan Yayasan Basmi Kemiskinan.

Forum santai yang dipengerusikan pensyarah kanan dari UniKL, Adibah Zainualdin itu mengharapkan perkongsian ilmu itu mampu menjadi inspirasi kepada pelajar untuk bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan.

Beliau menegaskan lagi, penglibatan pelajar tersebut tidak seharusnya terhenti sebaik sahaja menamatkan pengajian masing-masing.

“Saya menganggap NGO adalah sekumpulan hero yang sanggup berkorban masa, tenaga dan ada ketikanya, nyawa mereka bagi membantu kelompok manusia yang memerlukannya.

“Pengorbanan mereka itu bukanlah dalam tempoh yang singkat tetapi memakan masa bertahun lamannya,” katanya.

Atas sebab itulah, Adibah merasakan perlu untuk diketengahkan golongan tersebut supaya dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda, terutama pelajar UniKL.

“Anak-anak muda perlu diberikan galakkan supaya mereka boleh memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat umum,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengerusi Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid, penyertaan dalam aktiviti NGO tidak boleh dibuat secara paksaan atau atau sekadar ikutan trend.

Beliau pasti kelompok sukarelawan itu tidak akan menikmati kepuasan apabila tidak dapat membantu mereka yang memerlukan. Apatah lagi, penglibatan dalam kerja-kerja NGO memerlukan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

“Sebenarnya tidak ada formula magis untuk aktif dalam aktiviti NGO tetapi kita perlu ada perasaan ikhlas kerana dari situlah, kita akan merasai kepuasan kerana dapat tolong orang.

“Malah, saya merasa lebih puas hati dan bertuah apabila dapat berkongsi apa yang mereka rasakan tentang kehidupan yang dilalui,” katanya.

Guru Pembimbing Pewahim, Jamaiyah Mohd. Noor pula menyatakan bahawa sokongan tenaga sukarelawan amat diperlukan, khususnya kepada NGO yang mengendalikan warga emas, kanak-kanak, mereka berpenyakit dan golongan orang kurang upaya.

Beliau berkata, sokongan sedemikian bukan hanya satu motivasi untuk mangsa untuk meneruskan kehidupan seharian mereka tetapi sebagai satu petanda masyarakat umum menerima nasib yang menimpa mereka.

“Golongan tidak bernasib baik ini sebenarnya bukan hanya mengutamakan duit tetapi sokongan moral yang berterusan bagi membolehkan mereka kembali kepada kehidupan yang normal,” katanya. - Gambar Fariz Rusadio